(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM telah melakukan lawatan kerja ke Itali baru-baru ini untuk meninjau perkembangan terkini pembinaan pesawat peronda maritim P-72M yang diperolehi Malaysia.
Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak perolehan dua buah pesawat peronda maritim itu yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo pada 2023 dan dijangka mula menerima pesawat-pesawat peronda maritim itu pada tahun 2026.
Kedua-dua pesawat peronda maritim itu dianggarkan bernilai lebih RM700 juta.
Menurut kenyataan media sosial TUDM baru-baru ini, delegasi TUDM diketuai oleh Mohd Asghar telah ke LAD Caselle, Turin, lokasi modifikasi pesawat P-72M yang sedang giat dilaksanakan.
“Delegasi (TUDM) telah diberikan taklimat komprehensif mengenai status terkini projek dan meninjau kerja-kerja modifikasi yang telah dilakukan,” menurut kenyataan.
Panglima TUDM juga telah melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, Lt Jeneral Luca Goretti, Ketua Staf Tentera Udara Itali (ITAF), di Ibu Pejabat ITAF di Rome.
Perbincangan empat mata dengan Goretti itu bertujuan mengeratkan lagi kerjasama bilateral di antara kedua-dua tentera udara khususnya dalam aspek latihan dan perkongsian kepakaran ITAF yang berpengalaman luas dalam pengoperasian pesawat MPA jenis tersebut.
Dalam pertemuan tersebut, Panglima TUDM turut menjemput rakan sejawatnya dan delegasi ITAF untuk menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 20-24 Mei 2025.
Delegasi TUDM juga berkesempatan melawat ibu pejabat Leonardo dan bertemu pengurusan tertinggi syarikat itu.
“Pertemuan ini membincangkan usaha untuk mempercepatkan proses pemasangan sistem pesawat serta penerimaan pesawat P-72M bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi TUDM selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).”
Mengakhiri lawatan kerja beliau ke Itali, Panglima TUDM dan delegasi turut melawat beberapa tempat strategik, termasuk sistem baru kawalan pertahanan udara di Practica di Mare Air Base dan ELT Elettronica Group, syarikat berpengaruh dalam teknologi elektronik pertahanan.
Semasa di Practica Di Mare Air Base, delegasi TUDM berpeluang menyaksikan demonstrasi pengoperasian sistem Command & Control (C2) berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh Leonardo dan dikenali sebagai “Blueshield” bagi pengoperasian sistem pertahanan udara ITAF.
Dengan laksananya lawatan ini, ia mencerminkan komitmen TUDM di dalam memastikan kelancaran perolehan aset-aset baharu serta memastikan jalinan kerjasama strategik jangka panjang antara TUDM dan ITAF dapat dicapai.
Dibawah program CAP55 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), negara merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya enam buah pesawat peronda maritim, dengan perolehannya meliputi beberapa Rancangan Malaysia.
Dua buah pesawat peronda maritim itu telah pun diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) dan empat lagi akan diperolehi dalam dua buah rancangan pembangunan lima tahun yang akan datang.
Dipromosikan sebagai pesawat dengan kos operasi yang rendah, P-72M adalah platform peronda maritim berkeupayaan tinggi yang boleh melaksanakan misi peperangan anti-kapal selam (ASuW), peperangan anti-permukaan (ASW_ serta misi-misi perisikan elektronik (ELINT).
Pesawat rondaan maritim itu boleh berada di udara untuk melaksanakan misi melebihi tempoh selama 8 jam.
Maximum take-off weigh pesawat peronda maritim ini adalah 23 tan dan ia berkemampuan terbang selaju 465km sejam serta terbang setinggi 25,000 kaki. — DSA