Pakistan Bayang Peroleh Pesawat Pejuang Halimunan J-31 China “Tidak Lama Lagi”

Perolehan pesawat pejuang halimunan generasi kelima  J-31 itu akan hanya menambah pegangan pesawat-pesawat pejuang China dalam inventori Tentera Udara Pakistan selepas memperolehi J-10 dan juga JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Islamabad dan juga Beijing.

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Tentera Udara Pakistan telah memberikan bayangan bahawa negara itu akan memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima  J-31 “Gyrfalcon” atau F-31 yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.

Bercakap dalam majlis induksi peralatan baru di Islamabad baru-baru ini, Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu berkata bahawa pesawat J-31 buatan itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara “tidak lama lagi.”

“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-31, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada majlis terbabit.

Perolehan pesawat pejuang halimunan generasi kelima  J-31 itu akan hanya menambah pegangan pesawat-pesawat pejuang China dalam inventori Tentera Udara Pakistan selepas memperolehi J-10 dan juga JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Islamabad dan juga Beijing.

Menurut para penganalisis, perolehan pesawat halimunan generasi kelima J-31 itu adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat serta Mirage 5 buatan  Perancis milik Pakistan yang semakin usang.

Jika benar perolehan pesawat-pesawat pejuang J-31 itu, penganalisis mengatakan ia akan mengubah imbangan kuasa udara di benua itu dan bakal “memeningkan kepala” seteru utamanya iaitu India.

Pesawat halimunan J-31

 

Pesawat pejuang J-31 itu akan meningkatkan fleksibiliti taktikal Pakistan dan membolehkannya menyelinap masuk lebih dalam di ruang udara musuh. 

Kerajaan China semamangnya mahu mempromosi pesawat J-31 untuk pasaran eksport dan telah mewujudkan sebuah pejabat khas bertujuan menarik pelanggan luar berpotensi untuk memperolehi pesawat pejuang F-31 itu.

Pesawat J-31 yang telah membuat kemunculannya pada Zhuhai Air Show beberapa tahun lepas adalah pesawat generasi kelima yang kedua oleh China selepas J-20 “Mighty Dragon” yang kini sedang beroperasi dengan Tentera Udara China.

Beijing tidak membenarkan pesawat J-20 Mighty Dragon dieksport, sama seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap pesawat F-22 Raptor.

Sama juga seperti Amerika Syarikat,  Beijing bimbang teknologi canggih pesawat J-20 itu akan jatuh ke negara musuh jika ia membenarkan penjualan pesawat generasi kelima itu yang dipanggil “Mighty Dragon.”

J-31 adalah pesawat pejuang generasi kelima satu tempat duduk, dua enjin, pesawat pejuang bersaiz-sederhana (medium-sized fighter jet) dengan kemampuan halimunan yang ampuh serta kos yang kompetitif.

Laporan media menyatakan bahawa pesawat pejuang J-31 bakal berkhidmat dengan kapal-kapal pengangkut peswat negara itu dan usaha-usaha sedang dilakukan ke arah itu.

Sememangnya pasaran utama pesawat J-31 adalah khusus untuk pasaran eksport, dengan kemungkinan Pakistan muncul menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang halimunan itu.

Menurut laporan, tentera China sedang menpersiap-sediakan pesawat J-31 itu untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawatnya, sama seperti F-35B dan terkini F-35C yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Walaupun spesifikasi teknikalnya masih tidak diketahui dengan mendalam, namun Maximum Take-Off Weight (MTOW) telah meningkat kepada 28,000kg daripada 25,000kg dan dilengkapi dengan enjin WS-19 dengan kuasa tujahan 12 tan.

Dengan dua buah internal bays yang masing-masing mampu membawa dua buah peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana.

Selain itu, pesawat pejuang itu juga memiliki hardpoints yang boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis bom dan peluru berpandu. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

featuredJ-31PakistanPesawat
Comments (0)
Add Comment