Boeing, ST Engineering Kaji Bangunkan Pusat Selenggara P-8 “Poseidon” Di Singapura

Adakah kerjasama di antara Boeing dan syarikat Singapura itu juga menunjukkan bahawa republik itu semakin hampir untuk menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki dan mengoperasi pesawat peronda maritim dan peperangan anti-kapal selam (ASW) P-8 “Poseidon”?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Boeing dan syarikat Singapura, ST Engineering telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melihat potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bersama-sama membangunkan pusat penyelenggaran untuk pesawat P-8 “Poseidon” di Singapura.

P-8 “Poseidon” merupakan pesawat pelbagai misi (multi-mission) jarak jauh yang memberikan kemampuan tidak boleh disaingi dalam peperangan anti-kapal selam dan peperangan permukaan laut, perisikan, pemantauan dan bantuan kemanusiaan serta misi kemanusian.

“Boeing telah menandatangani MoU dengan ST Engineering untuk menggariskan bidang-bidang yang berpotensi untuk kerjasama dalam aspek integrasi sistem, latihan, pengedaran alatan dan komponen, bantuan dan kerja-kerja pengoperasian pesawat P-8A Poseidon.”

Pesawat P-8 Poseidon milik Australia di Pangkalan Udara Butterworth. (Defence Australia)

 

“Boeing dan ST Engineering telah mengenalpasti peluang-peluang kerjasama dalam beberapa bidang dan akan menerokanya dengan lebih terperinci termasuk bersama-sama membangunkan pusat penyelenggaran P-8 di Singapura dengan jurutera dan anggota teknikal penyelenggaran pesawat untuk menyokong perkhidmatan penyelenggaraan dan kejuruteraan,” menurut kenyataan Boeing.

Adakah kerjasama di antara Boeing dan syarikat Singapura itu juga menunjukkan bahawa republik itu semakin hampir untuk menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki dan mengoperasi pesawat peronda maritim dan peperangan anti-kapal selam (ASW) P-8 “Poseidon”?

Pesawat P-8A “Poseidon” yang berdasarkan kepada pesawat komersial 737-800 Next Generation menggabungkan prestasi dan daya tahan dengan sistem misi yang canggih bagi memastikan ia terus relevan dan interoperabiliti dengan peperangan pada masa depan.

Antara sistem sensor yang digunakan oleh pesawat P-8A “Poseidon” termasuklah radar pemantauan maritime Raytheon AN/APY-10, sensor L-3 Wescam MX-20HD digital electro-optic/infrared (EO/IR), Northrop Grumman AN/ALQ-240(V)1 sistem electronic support measures (ESM) and sistem pengurusan peperangan elektronik Terma AN/ALQ-213(V).

Pada ketika ini, sebanyak 160 buah pesawat P-8 “Poseidon” beroperasi di seluruh dunia termasuk dengan Tentera Laut Amerika Syarikat, Royal Air Force United Kingdom, Tentera Udara Diraja Australia, Tentera Udara Diraja New Zealand, Tentera Laut India, Tentera Udara Diraja Norway, Tentera Laut Korea Selatan dan Tentera Laut Jerman.

Keadaan di dalam pesawat P-8 “Poseidon”

 

Amerika Syarikat yang memiliki perjanjian keselamatan dengan Singapura mula menempatkan pesawat P-8 “Poseidon” di republik itu pada 2015 dipercayai untuk menjalankan rondaan-rondaan pemantauan di perairan Laut China Selatan.

Seperti biasa, China mengkritik penempatan pesawat P-8 “Poseidon” di Singapura.

Pada 2020, media antarabagsa melaporkan bahawa Indonesia telah beberapa kali menolak permintaan Amerika Syarikat untuk membenarkan pesawat peronda maritimnya, P-8 Poseidon untuk mendarat dan mengisi minyak di negara Asia Tenggara itu.

Permintaan oleh Amerika Syarikat didakwa telah diajukan terhadap empat pegawai tinggi kerajaan Indonesia.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat mengemukakan permohonan “peringkat tertinggi” itu Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Indonesia pada Julai dan Ogos 2020, menurut seorang pegawai kanan Indonesia.

Sebuah pesawat peronda maritim P-8 “Poseidon” membuat lintasan atas kapal pemusnah USS Donald Cook .

 

Pada 2014, media antarabangsa turut mendakwa Malaysia membenarkan pesawat P-8 Poseidon milik Amerika Syarikat itu berlepas daripada pengkalan udara di Malaysia Timur.

Ketika berucap pada satu forum di Washington, Komander Operasi Tentera Laut Amerika Syarikat pada ketika itu, Laksamana Jonathan Greenert berkata, tawaran Malaysia supaya pesawat Amerika itu berlepas daripada Malaysia Timur memberikan kelebihan kepadanya  kerana kedudukan wilayah itu yang hampir dengan Laut China Selatan.

Bagaimanapun ketika ditanya oleh pemberita, Menteri Pertahanan negara pada ketika itu Hishammuddin Hussein menafikan kenyataan Greenert itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikaBoeingfeaturedP-8 PoseidonSingapura