Negara Arab Teluk Berlumba-Lumba Mahu Miliki Pesawat Pejuang Rafale, Oman Terkini

Negara Arab Teluk itu, Oman yang terletak di kedudukan strategik berhampiran Laut Arab dan bersempadan dengan Yemen, dilaporkan berminat untuk memperolehi di antara 18 hingga 24 buah pesawat pejuang Rafale F4. dan dilaporkan telah pun memulakan rundingan dengan syarikat Dassault Aviation kearah perolehan pesawat pejuang buatan Perancis itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah lagi negara Arab Teluk telah menunjukkan minat untuk menyertai “Kelab Pengguna Rafale” di rantau itu, membuktikan pesawat pejuang yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation itu sememangnya menjadi pilihan dikalangan negara Arab Teluk.

Negara Arab Teluk itu, Oman yang terletak di kedudukan strategik berhampiran Laut Arab dan bersempadan dengan Yemen, dilaporkan berminat untuk memperolehi di antara 18 hingga 24 buah pesawat pejuang Rafale F4.

Oman dilaporkan telah pun memulakan rundingan dengan syarikat Dassault Aviation kearah perolehan pesawat pejuang buatan Perancis itu.

Pada ketika ini, Tentera Udara Oman mengoperasikan kombinasi pesawat pejuang terdiri daripada 12 buah Eurofighter Typhoon buatan konsortium negara Eropah  manakala 24 buah pesawat F-16 miliknya pula dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Nampaknya, keengganan Amerika Syarikat menjual pesawat pejuang generasi kelima F-35 kepada negara-negara Teluk yang kaya-raya telah “memberikan peluang” kepada syarikat Dassault Aviation untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya di rantau itu dengan pesawat pejuang Rafale.

Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Mesir.

 

Negara-negara Arab Teluk yang kaya-raya bercadang memiliki pesawat pejuang generasi kelima F-35, tetapi disebabkan bantahan oleh Israel maka Washington enggan menjual pesawat pejuang canggih itu kepada negara-negara Arab itu.

Israel dan golongan pelobi berpengaruh Yahudi di Washington membantah cadangan penjualan F-35 kepada negara-negara Arab Teluk yang juga merupakan sekutu kuat Amerika kerana tidak mahu menjejaskan “kelebihan kualitatif” tentera Israel berbanding negara-negara jiran Arabnya.

Ini memberikan peluang kepada Perancis dan syarikat Dassault Aviation.

Sememangnya, pesawat pejuang Rafale kini diibaratkan seperti “goreng pisang” panas di rantau Teluk pada ketika ini, dengan satu demi satu negara cuba memilikinya.

Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan untuk memperolehi 54 buah pesawat pejuang Rafale itu, walaupun media Perancis mendakwa negara pengeluar minyak kedua terbesar dunia itu mahu membeli 100 buah pesawat pejuang buatan Perancis itu.

Minat mendalam Arab Saudi terhadap pesawat pejuang Rafale ketika ini menyusuli laporan sebuah lagi negara Teluk yang kaya-raya, Qatar sedang berbincang dengan syarikat aeroangkasa Perancis,  Dassault Aviation untuk menaiktaraf 36 buah pesawat pejuang Rafale miliknya kepada varian terkini dan paling berkemampuan iaitu “F4”.

Rafale milik Tentera Udara Qatar

 

Bukan sahaja Qatar mahu menaiktaraf pesawat pejuang Rafale miliknya kepada varian terkini, tetapi ia juga sedang berbincang dengan Dassault Aviation untuk memperolehi 24 buah pesawat Rafale tambahan pada tahun depan atau 2025.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Perancis Sebastien Lecornu yang melawat Qatar baru-baru ini dimana pemimpin pertahanan kedua-dua negara itu berbincang di Pangkalan Udara Dukhan yang menempatkan 36 buah pesawat Rafale milik Qatar itu.

Beliau berkata perbincangan menjurus terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan kemampuan angkatan tentera Qatar.

Tentera Udara Qatar memiliki 36 buah pesawat pejuang Rafale yang diperolehinya di antara tahun 2015 hingga 2017.

Ia menandatangani perjanjian bernilai US$7 bilion (RM31.5 bilion) dengan Perancis pada 2015 untuk membeli 24 buah pesawat pejuang Rafale dan membuat perolehan tambahan sebanyak 12 buah lagi dua tahun selepas itu pada 2017.

Menurut akhbar Perancis, La Tribune, negara Teluk itu mahu meningkatkan kemampuan pesawat pejuang buatan Dassault Aviation kepada standard F4, yang merupakan standard terkini dan baru sahaja memulakan perkhidmatan dengan Tentera Udara Perancis.

Pesawat Rafale F4-1

 

Tentera Udara Perancis mula menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang Rafale miliknya kepada standard F4 pada 2019 pada kos Euro 1.9 bilion (RM9.45 bilion).

Paris menjangkakan kesemua pesawat pejuang Rafale milik tentera udara negara itu akan menggunakan standard F4.

Negara jiran Qatar iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut memilih pesawat pejuang Rafale untuk tentera udaranya dengan memesan 80 buah pesawat pada standard F4.

Kesemua 80 buah pesawat pejuang Rafale dipesan oleh UAE itu akan mula dihantar kepada negara Teluk itu di antara tahun 2027 hingga 2030.

Selain itu menurut La Tribune lagi, Perancis dan Qatar turut berbincang tentang kemungkinan Qatar menambah bilangan pesawat pejuang Rafale itu sebanyak 24 buah lagi.

Jika itu terjadi, keseluruhan pesawat pejuang Rafale dimiliki oleh Qatar bakal meningkat kepada 60 buah dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Rafale”

 

Pada ketika ini,selain pesawat pejuang Rafale, Tentera Udara Qatar turut dilengkapi dengan 36 buah pesawat pejuang F-15QA “Ababil” dan 24 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 3, menjadikan tentera udara negara Teluk sebagai antara paling berkemampuan bukan sahaja di negara Teluk tetapi juga dikalangan negara-negara Arab. 

Perancis juga berharap Mesir akan menambah pesawat pejuang Rafale yang dimiliki kini berikutan keputusannya untuk membatalkan pembelian pesawat pejuang Su-35 daripada Russia.

Pada ketika ini Mesir sudah pun memiliki 54 buah pesawat pejuang Rafale. — DSA

 

 

featuredOmanRafaleTeluk