Russia Sasar “Motor Sich”, Syarikat Hasilkan Enjin Untuk Industri Pertahanan Turkiye

Kemudahan syarikat Motor Sich di Wilayah Khmelnytskyi di barat Ukraine, 300km daripada ibu negara Kiev itu turut menghasilkan pelbagai jenis enjin untuk pesawat tanpa pemandu Akinci, Kizilelma, Anka-3 dan juga helikopter penyerang Atak-2 yang dihasilkan oleh syarikat pertahanan Turkiye.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Serangan puluhan peluru berpandu Russia di Ukraine semalam turut mensasarkan kemudahan syarikat aeroangkasa, Motor Sich, yang berkemungkinan turut meninggalkan kesan terhadap industri pertahanan Turkiye.

Ini kerana kemudahan syarikat Motor Sich yang terletak di Wilayah Khmelnytskyi di barat Ukraine, kira-kira 300km daripada ibu negara Kiev itu turut menghasilkan pelbagai jenis enjin untuk pesawat tanpa pemandu Akinci, Kizilelma, Anka-3 dan juga helikopter penyerang Atak-2 yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Turkiye.

Syarikat Motor Sich juga dijangka membekalkan enjin untuk helikopter utiliti T925 yang sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Antara enjin dihasilkan oleh Motor Sich
Motor Sich

 

Buat masa ini tidak pasti bagaimanakah serangan puluhan peluru berpandu “Kalibr” dan peluru berpandu hypersonik “Khinzal” terhadap kemudahan syarikat Motor Sich itu menjejaskan Turkiye.

Tindakan Russia mensasarkan kemudahan syarikat pembuatan enjin untuk pesawat dan helikopter itu telah dinyatakan oleh Presiden Ukraine Volodymr Zelensky dalam ucapannya kepada seluruh negara semalam.

Syarikat Motor Sich itu merupakan antara syarikat strategik yang telah diambilalih oleh kerajaan Ukraine pada Disember tahun lepas.

Wilayah Khmelnytskyi yang menempatkan kemudahan syarikat Motor Sich dan sebuah pangkalan udara utama Tentera Udara Uktraine itu terletak ratusan kilometer daripada medan peperangan di selatan Ukraine.

Bagaimanapun ibu pejabat syarikat itu berada di wilayah Zaphorizia di selatan negara yang kini menjadi fokus dalam serangan balas musim bunga oleh tentera Ukraine.

Pesawat tanpa pemandu “Kizilelma” juga menggunakan enjin keluaran syarikat Motor Sich.

 

Pada November tahun lepas, semua saham syarikat Motor Sich itu telah dipindahkan kepada Kementerian Pertahanan Ukraine di bawaj pemerintahan tentera berikutan pencerobohan tentera Russia di selatan negara itu.

Syarikat yang mempunyai sejarah yang lama dalam pembuatan enjin itu turut menjadi sasaran China yang mahu membeli Motor Sich.

Bagaimanapun usaha China untuk membeli Motor Sich itu dihalang oleh Amerika Syarikat yang menjadi pendokong kuat kepada kerajaan Zelensky.

Akhirnya mahkamah Ukraine menghalang penjualan syarikat strategik itu kepada China.

“Akinci” juga menggunakan enjin keluaran Motor Sich.

 

Pada Oktober tahun lepas, ketua pegawai eksekutif Motor Sich Vyacheslav Bohuslayev telah ditahan dalam satu operasi oleh agensi keselamatan Ukraine di Zaphorizia selepas Bohuslayev didakwa menjual alat-alat ganti helikopter kepada pihak Russia.

Antara alat-alat ganti helikopter yang didakwa dijual oleh ketua pegawai eksekutif syarikat Motor Sich itu adalah untuk kegunaan helikopter Mi-8AMTSh-VN, KA-52 dan Mi-28N. — DSA

ATAK-2

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

EnjinfeaturedMotor SichPeluru berpanduRussiaSeranganTurkiye
Comments (0)
Add Comment