Apabila “The Monster” Keluar-Masuk Perairan EEZ Kita, Apa Yang Boleh Kita Lakukan?

Dibina pada tahun 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai, kapal CCG 5901 aka “The Monster” itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia kerana beratnya yang mencecah sehingga 12,000 tan. Berkemampuan meluncur selaju 25 knot, kapal gergasi itu telah digunakan oleh Beijing sejak seawal 2017 untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan “bagi mempertahankan hak-hak maritim China.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dinamakan “The Monster” kerana saiznya yang sememangnya setaraf dengan seekor “gergasi” lautan, kapal pengawal pantai China CCG 5901 dilaporkan telah keluar-masuk perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, Indonesia dan Vietnam di Laut China Selatan sejak beberapa bulan ini.

Tumpuan “kehadiran” kapal CCG 5901 aka “The Monster” dan beberapa buah kapal pengawal pantai China yang lain adalah kawasan-kawasan perairan EEZ milik ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu yang diketahui kaya dengan sumber minyak dan gas.

Antara kawasan perairan tumpuan “The Monster” sejak kebelakangan ini adalah di Natuna (Indonesia), Beting Patinggi Ali/Luconia Breakers (Malaysia) dan Vanguard Bank (Vietnam).

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh ketiga-tiga negara ini apabila “The Monster” dan kapal-kapal pengawal pantai China apabila mereka “keluar-masuk” perairan EEZ mereka dengan “sesuka-hati”.

Kemungkinan tindakan kita hanyalah nota bantahan diplomatik yang disalurkan “secara diplomatik” kepada kedutaan besar China.  

Terdapat laporan OSINT (Open Source Intelligence) mengatakan ada di antara kapal-kapal pengawal pantai China itu menghabiskan masa selama 25 hari di dalam perairan EEZ Malaysia.

Luconia Breakers (Hempasan Bantin) adalah sebahagian daripada Gugusan Beting Patinggi Ali yang juga dikenali sebagai South Luconia Shoals.

Ia juga merangkumi Richmond Reef (Terumbu Balingian), Comus Reef (Beting Merpati) dan Connel Reef (Terumbu Dato Talip).

Selain “The Monster” CCG 5901, kapal pengawal pantai China lain yang dikesan berada di Luconia Breakers sebagaimana dilaporkan, termasuklah CCG 4301 dan CCG 5305.

Kapal-kapal pengawal pantai CCG 4301 dan CCG 5305 yang seberat kira-kira 4,000 tan itu tidaklah sebesar “The Monster”, tetapi kedua-dua kapal itu masih lagi juga adalah jauh lebih besar berbanding kapal-kapal perang tentera laut Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang beratnya adalah sekitar 2,000 tan.

Beting Patinggi Ali dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

Manakala kapal-kapal pengawal pantai sama ada milik APMM mahupun pengawal pantai Bakamla (Indonesia) dan Vietnam adalah jauh lebih kecil.

Dibina pada tahun 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai, kapal CCG 5901 aka “The Monster” itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia kerana beratnya yang mencecah sehingga 12,000 tan.

Berkemampuan meluncur selaju 25 knot, kapal gergasi itu telah digunakan oleh Beijing sejak seawal 2017 untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan “bagi mempertahankan hak-hak maritim China.”

Dengan berat 12,000 tan itu, saiz kapal pengawal pantai China CCG 5901 itu menyamai atau lebih besar daripada kapal-kapal perang destroyer kelas-Arleigh Burke atau kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat.

Untuk lebih tepat, saiz “The Monster” itu adalah kira-kira 30 peratus lebih besar daripada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke dan Ticon Tentera Laut Amerika Syarikat .

Kapal destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Mustin.”

 

Kapal pengawal pantai Jepun daripada kelas-Shikishima juga hanya seberat 6,700 tan sahaja.

Walaupun saiz “The Monster” itu adalah amat besar, tetapi sistem persenjataannya utamanya hanyalah meriam 76mm, dua lagi meriam sampingan berkemungkinan 30mm dan sebuah helikopter.

Bagaimanapun ia juga memiliki sebuah hangar yang besar untuk menempatkan sebuah lagi helikopter.

Selain itu kapal pengawal pantai “The Monster” milik pihak berkuasa China itu juga dipercayai membawa beberapa buah pesawat tanpa pemandu dan Underwater Surveillance Vehicle (USV).

Oleh kerana ia adalah sebuah kapal pengawal pantai dan bukan kapal tentera laut, maka sistem persenjataannya adalah minimal sahaja bersesuaian dengan misi dan tugasannya untuk menguatkuasakan undang-undang maritim China.

Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

“The Monster” tidak digunakan untuk tugas-tugas dan misi kombatan.

Bagaimanapun saiznya yang amat besar itu membuatkan kehadirannya di mana-mana lokasi di Laut China Selatan itu diberikan perhatian, kerana secara simboliknya “The Monster” itu menggambarkan saiz negara China itu sendiri serta tekanan “kekuasaan” sebuah negara besar terhadap negara-negara jirannya yang jauh lebih kecil.

Dengan jumlah kapal pelbagai jenis dan saiz yang mencecah hingga 300 buah, Pasukan Pengawal Pantai China adalah diantara, jika bukan pasukan pengawal pantai terbesar di dunia. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Beting Patinggi AliCCG 5901featuredLaut China SelatanThe Monster