Indonesia Sah Tunda Pembelian Kontroversi Pesawat Terpakai Mirage 2000-5 Milik Qatar

Keputusan menunda pembelian kontroversi pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar itu telah disahkan Dahnil Anzar Simanjuntak, yang merupakan jurucakap kepada Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dalam rancangan Kabar Petang terbitan stesen televisyen TV One semalam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia memutuskan untuk menunda rancangan kontroversi pembelian 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Tentera Udara Qatar disebabkan faktor  “keterbatasan fiskal” negara itu.

Perkara itu disahkan Dahnil Anzar Simanjuntak, yang merupakan jurucakap kepada Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dalam rancangan Kabar Petang terbitan stesen televisyen TV One semalam.

“Rancangan pembelian (pesawat pejuang Mirage 2000-5) itu buat sementara waktu ditunda kerana keterbatasan fiskal Indonesia,” menurut beliau ketika ditanya oleh pengacara rancangan itu mengenai keputusan pembelian pesawat pejuang terpakai buatan syarikat Perancis, Dassault Aviation.

Menurut Dahnil lagi, sememangnya ada keperluan pembelian pesawat pejuang terpakai milik Qatar itu kerana kewujudan apa yang disifatkannya sebagai “kekosongan pertahanan” (capability gap) sementara Indonesia menunggu kedatangan pesawat pejuang Rafale yang dipesannya daripada Perancis.

Jakarta bakal menerima kumpulan pertama pesawat pejuang Rafale yang dibelinya daripada Perancis pada tahun 2026.

Isu kontroversial pembelian pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar oleh Menteri Pertahanan Indonesia itu bertambah hangat dan menjadi topik perbincangan di kalangan calon-calon parti politik negara itu yang bakal bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu.

Pesawat Mirage 2000-5 Qatar

 

Pelbagai pihak mengkritik keputusan Prabowo untuk membeli pesawat pejuang terpakai itu daripada Qatar. Bapak Prabowo juga adalah salah seorang calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya presiden Indonesia bagi menggantikan Joko Widodo yang tamat tempoh sebagai presiden.

Tentera Udara Qatar memperolehi pesawat Mirage 2000-5 itu ada tahun 1998, kira-kira 25 tahun yang lalu.

Bagaimanapun ketika mengumumkan keputusan untuk membeli pesawat pejuang terpakai itu Julai tahun lepas, Menteri Pertahanan Indonesia itu berkata 12 buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 terpakai milik Qatar itu masih mempunyai 70 peratus jam penerbangannya.

“Pesawat pejuang Mirage 2000-5 masih mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun (dengan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara) kerana sehingga kini ia hanya menggunakan 30 peratus daripada jumlah jam penerbangannya,” kata beliau.

Pesawat pejuang yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation mempunyai jangka hayat selama 5,000 jam penerbangan, bermakna Tentera Udara Qatar baru menggunakan kira-kira 1,500 jam penerbangannya sepanjang 25 tahun ia berkhidmat dengan tentera udara negara Teluk itu.

Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto

Indonesia akan memperolehi sembilan buah pesawat satu tempat duduk Mirage 2000-5 dan tiga buah pesawat pejuang dua tempat duduk yang dianggarkan menelan belanja US$797 juta (RM3.6 bilion).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar telah berbelanja besar untuk meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya termasuk tentera udara termasuk memperolehi 36 pesawat pejuang Rafale, 24 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan 36 buah pesawat pejuang F-15QA.

Menteri Pertahanan Indonesia itu menyatakan bahawa perolehan 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 adalah langkah sementara bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tentera udara negara Asia Tenggara itu sentiasa tinggi sementara pesawat-pesawat pejuang sedia adanya menjalani kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih.

“Sementara kita menunggu ketibaan pesawat pejuang Rafale, kita memerlukan pesawat pejuang sementara yang kita boleh operasikannya serta-merta,” kata beliau.

Mengikut perancangan, 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 itu akan dioperasikan oleh Skuadron 1 Tentera Udara Indonesia yang berpangkalan di Pangkalan Udara Supadio di Pontianak.

“Rafale”

 

Sudah pasti, pesawat Mirage 2000-5 itu akan memastikan juruterbang dan krew dapat menyesuaikan diri dengan teknologi Perancis sebelum mereka mengoperasikan pesawat pejuang Rafale.

Tentera Udara Qatar menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang satu enjin yang dibangunkan oleh Dassault Aviation itu pada 2021, tidak lama selepas ia memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale pada 2015 dan 2017.

Jakarta dilapor menggunakan pinjaman asing untuk memperolehi pesawat pejuang Mirage 2000-5 Qatar yang mula diperkenalkan oleh syarikat pembuatnya, Dassault Aviation pada tahun 1967.

Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan bahawa negara itu telah menandatangani perjanjian pembelian pesawat pejuang milik Qatar itu dengan Excalibur International, anak syarikat Czechoslovak Group. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

featuredIndonesiaMirageQatarTunda
Comments (0)
Add Comment