Bolehkah Russia Capai Impian Bangunkan MiG-41 Dengan Kelajuan Mach 4-5?

Untuk melihat pesawat pejuang mencapai kelajuan sehingga Mach 4 hingga Mach 5 bukanlah suatu mimpi yang kosong kerana syarikat Mikoyan Gurevich sebelum ini telah pun berjaya membangunkan dua jenis pesawat yang memiliki kelajuan yang amat tinggi iaitu MiG-25 dengan kelajuan Mach 3.2 dan MiG-31 yang boleh terbang dengan kelajuan Mach 2.8.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seawal tahun 2016 lagi, pihak pengurusan kanan syarikat pembuat pesawat Russia, Mikoyan Gurevich telah membayangkan bahawa pesawat pemintas jarak jauh MiG-31 “Foxhound” akan ditamatkan khidmatnya pada tahun 2028 dan digantikan dengan pesawat ultra-laju generasi ke-6, MiG-41.

Pesawat pejuang ultra-laju MiG-41 atau nama teknikal programnya – PAK DP –  yang digambarkan adalah pesawat pejuang generasi ke-enam yang berkemampuan untuk terbang sehingga aras hampir dengan angkasa lepas (near space) dengan kelajuan ekstrim di antara Mach 4 hingga Mach 5.

Media-media Russia sebelum ini menyatakan bahawa terdapat kemungkinan pesawat MiG-41 itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, walaupun ramai di kalangan negara-negara Barat mengatakan program pembangunan MiG-41 itu hanyalah “fantasi” Russia.

“Menjelang tahun 2028 pesawat pejuang-pemintas MiG-31 tidak akan wujud lagi. Kita mempunyai masa untuk membangunkan pesawat baru sebagai pengganti (MiG-31),” menurut ketua syarikat Mikoyan Gurevich, Sergey Korotkov.

Pesawat pejuang-pemintas jarak jauh dan altitud tinggi MiG-31 mula dibangunkan oleh Russia pada awal 1970-an dan usaha Russia mencari penggantinya telah pun bermula, namun kejayaannya masih lagi samar-samar sehingga kini.

Lakaran grafik MiG-41 dibandingkan dengan pesawat Su-57

 

Pihak Mikoyan berpendapat sudah sampai masanya untuk pesawat MiG-31 itu digantikan dengan sebuah pesawat pemintas jarak jauh yang lebih berkeupayaan dan lebih laju.

Pengurusan kanan syarikat itu telah pun memberikan bayangan kepada media-media Russia bahawa syarikat Mikoyan Gurevich memiliki program pembangunan pesawat “pemintas berkelajuan tinggi yang baru” iaitu MiG-41 yang bakal menggantikan pesawat MiG-31 itu.

Pesawat MiG-41 yang sedang hebat diperkatakan oleh penganalisis aeroangkasa antarabangsa adalah pesawat generasi ke-6 Russia yang bakal menyaingi kemampuan pesawat generasi ke-6 Amerika Syarikat iaitu “Next Generation Air Dominance” (NGAD).

Mungkin ia tidak jauh tersasar daripada pesawat rekaan “Darkstar” yang diterbangkan oleh Tom Cruise dalam filem Top Gun: Maverick yang ditayangkan kepada penonton berjaya mencapai kelajuan sehingga 10 Mach. 

Secara rasminya, program untuk mencipta pesawat pengganti MiG-31 itu dinamakan “Mikoyan PAK DP” dengan syarikat Mikoyan mensasarkan pesawat pejuang baru itu bakal beroperasi seawal pada tahun 2030.

Memandangkan salah satu ciri paling utama pesawat yang sedang dibina itu adalah kelajuannya, maka berapakah kelajuan MiG-41 yang diperkatakan oleh pemerhati?

Lakaran grafik MiG-41

 

Kelajuan yang diimpikan oleh pengurusan kanan syarikat Mikoyan terhadap pesawat “pemintas berkelajuan tinggi” MiG-41 adalah Mach 4, malah terdapat pemerhati yang berkata bahawa pesawat generasi ke-6 Russia itu boleh mencapai kelajuan sehingga Mach 5.

Untuk melihat pesawat pejuang mencapai kelajuan sehingga Mach 4 hingga Mach 5 itu bukanlah sesuatu mimpi yang kosong kerana syarikat Mikoyan Gurevich sebelum ini telah pun berjaya membangunkan dua jenis pesawat yang memiliki kelajuan yang amat tinggi.

Berpuluh tahun sebelum perancangan membangunkan MiG-41 itu wujud dan diperkatakan oleh dunia penerbangan,  syarikat Mikoyan Gurevich telah pun membangunkan pesawat-pesawat MiG-25 dan MiG-31 yang masing-masing mencapai kelajuan maksimun Mach 3.2 dan Mach 2.8.

Jadi untuk mencapai Mach 4 hingga Mach 5 sebagaimana diperkatakan oleh penganalisis aeroangkasa Russia sememangnya adalah suatu impain yang boleh dicapai oleh syarikat Mikoyan Gurevich yang memiliki sejarah penghasilan pesawat berkelajuan yang amat tinggi.

Memandangkan ia disasar untuk terbang selaju Mach 4 atau Mach 5,  apakah enjin yang akan menjana kelajuan pesawat MiG-41 itu?

Pesawat MiG-41 itu dikatakan bakal dilengkapi dengan enjin Ramjet atau Turbo Ramjet bagi memastikan ia mencapai kelajuan yang sangat ekstrim di antara Mach 4 hingga Mach 5, selain beroperasi di dalam keadaan halimunan.

Pesawat MiG-31K bersama peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” mendarat di Pangkalan Udara Khemeimim, Syria. (gambar Kementerian Pertahanan Russia)
Lakaran grafik MiG-41

 

Selain memiliki kelajuan yang amat tinggi, pesawat MiG-41 yang diimpikan itu juga boleh beroperasi pada altitud yang tinggi, sehingga ada yang mengatakan ia boleh beroperasi di altitud berhampiran dengan angkasa lepas (near space altitude) sebagaimana pesawat MiG-31 pada ketika ini.

Oleh kerana ia bakal beroperasi di altitud berhampiran angkasa lepas, pesawat “berkepantasan tinggi” MiG-41 itu akan turut membawa peluru-peluru berpandu anti-satelit untuk memusnahkan satelit-satelit Low Earth Orbit (LEO) milik musuh Russia.

Ia juga dikatakan bakal membawa peluru berpandu hypersonik.

Bagaimanapun,  disebalik kata-kata manis tentang program MiG-41 ini, terdapat juga kemungkinan program bercita-cita tinggi Russia itu akan menemui kegagalan atau dirudung pelbagai masalah sebagaimana program-program persenjataan negara itu yang lain,

Adakah kita akan menunggu puluhan tahun lagi sebelum pesawat “Darkstar” versi Moscow itu benar-benar wujud. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

featuredMiG-41PesawatRussia
Comments (0)
Add Comment