Hamas “Tawan” 14 Buah Kereta Kebal Merkava 4, 17 Kereta Perisai

“Kehilangan” kereta kebal Merkava 4 itu ditangan tentera amatur Palestin itu disifatkan oleh penganalisis tentera Israel sebagai sesuatu amat memalukan terutamanya selepas mereka mewar-warkan bahawa kereta kebal tempatan itu adalah yang terbaik di dunia dan armornya sukar ditembusi oleh mana-mana senjata anti-kereta kebal.

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Tentera Israel dilaporkan telah “kehilangan” sehingga 14 buah kereta kebal Merkava 4 apabila kem dan penempatan-penempatan tentera negara itu di selatan Israel diserang dan ditawan oleh kumpulan bersenjata Palestin.

Kereta kebal Merkava 4 seberat 65 tan yang mula memasuki perkhidmatan tentera Israel pada 2003 dikatakan adalah antara kereta kebal terbaik di pasaran pada ketika ini, bersama-sama Abrams, Leopard dan T-90.

Bernilai US$5 juta (RM22.5 juta) setiap sebuah, tentera Israel memiliki sehingga 600 buah kereta kebal varian Merkava 4 yang dilengkapi dengan meriam 120mm, mesingan berat 12.7mm dan juga 7.62mm.

Ia juga berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu LAHAT.

“Kehilangan” kereta kebal Merkava 4 itu ditangan tentera amatur Palestin itu disifatkan oleh penganalisis tentera Israel sebagai sesuatu amat memalukan terutamanya selepas mereka mewar-warkan bahawa kereta kebal tempatan itu adalah yang terbaik di dunia dan armornya sukar ditembusi oleh mana-mana senjata anti-kereta kebal.

Salah sebuah kereta kebal Merkava 4 yang ditawan oleh kumpulan bersenjata Palestin.
Individu bersenjata Palestin menggunakan senjata anti-kereta kebal PG-7VR

 

Disebabkan kecanggihannya itu, Israel melarang sebarang eksport kereta kebal Merkava.

Kereta kebal Merkava 4 itu dibangunkan oleh agensi Israel, MANTAK/IDF Ordnance itu turut dilengkapi dengan sistem perlindungan aktif “TROPHY” bagi melindunginya daripada ancaman senjata anti-kereta kebal.

Dengan enjin berkuasa 1,500 kuasa kuda, kereta kebal Merkava 4 mampu bergerak selaju 65km sejam di atas jalan.

Video dan imej viral di media sosial menunjukkan ada di antara kereta kebal Merkava 4 milik Israel itu terbakar selepas terkena tembakan senjata anti-kebal PG-7VR yang dilengkapi dengan bahan peledak Tandem HEAT (High Explosive Anti-Tank) Shaped Charged.

Senjata itu dikatakan amat berkesan terhadap pelbagai kereta kebal dan kereta perisai, walaupun ia dilengkapi dengan armor, ERA (Explosive Reactive Armor) dan perlindungan lain.

Video lain yang dikeluarkan oleh kumpulan bersenjata Israel menunjukkan kereta kebal Merkava 4 mengalami kerosakan yang teruk selepas terkena peluru PG-7VR yang digugurkan oleh dron.

Detik-detik sebelum sebuah kereta kebal Merkava dimusnahkan menggunakan bom digugurkan oleh dron.

Penggunaan dron-dron untuk mengugurkan bahan letupan terhadap kenderaan armor dan infrastruktur tentera Israel oleh kumpulan bersenjata Palestin itu berkemungkinan besar meniru teknik yang digunakan oleh tentera Russia dan Ukraine.

Terdapat juga video menunjukkan kereta kebal Merkava ditinggalkan di tepi lebuhraya, berkemungkinan selepas mengalami kerosakan.

Selain “kehilangan” kereta kebal Merkava 4 kepada pejuang-pejuang Palestin, tentera Israel juga dilaporkan kehilangan 10 buah kereta perisai “Achzarit”, lima buah kereta perisai M113 dan dua buah kereta perisai “Namer.”

Selain itu, tentera Israel juga kehilangan lebih daripada 10 buah kenderaan Humvee dan kenderaan pacuan empat roda yang kerap digunakan oleh anggota tenteranya dalam rondaan di Semenanjung Gaza sebelum ini.

Kereta perisai Israel yang ditawan oleh anggota Palestin.

Selain itu, laporan juga menyatakan empat buah helikopter penyerang Apache tentera Israel telah ditembak sistem anti-pesawat ketika melaksanakan operasi di Gaza.

Walaupun terkena tembakan, namun keempat-empat buah helikopter tentera Israel itu berjaya melakukan pendaratan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

featuredIsraelKereta KebalMerkavaPalestin
Comments (0)
Add Comment