(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sumber-sumber menyatakan kepada Defence Security Asia bahawa usaha Kementerian Pertahanan untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait sedang berjalan dengan lancar.
Malah sumber memberitahu bahawa terdapat kemungkinan besar Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan ke Kuwait pada November ini untuk berunding tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik negara Timur Tengah itu.
“Buat masa ini, rundingan tentang perolehan pesawat pejuang Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu berjalan positif. “
“Mungkin sesuatu akan termeterai pada November nanti,”kata sumber yang enggan mendedahkan identitinya kepada Defence Security Asia.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan telah menerima kunjungan hormat duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed ALSALEH dan antara topik perbincangan antara mereka meliputi soal hasrat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Menurut kenyataan oleh Menteri Pertahanan menerusi akaun FB miliknya, Malaysia berbesar hati melihat kemajuan positif dalam hubungan bilateral dan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.
Kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara akan terus diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman yang akan ditandatangani kelak.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) setelah KAF menerima Super Hornet baharunya.”
“Pertemuan tersebut turut membincangkan soal “Military-to-Military Cooperation”, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza,” kata beliau di dalam posting terbaru FB itu.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2024 di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas baru-baru ini, Menteri Pertahanan berkata, walaupun telah berusia tetapi secara teknikalnya, pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait itu masih lagi sesuai untuk digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Secara teknikalnya, pesawat berkenaan (F/A-18C/D Kuwait) sangat sesuai untuk Angkatan Tentera Malaysia, keputusannya akan ambil masa sebab ia tak mudah … kita masih menunggu (keputusan) dan sudah berhubung secara lebih dekat dengan Kuwait,” katanya.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Tentera Udara Kuwait mempunyai 39 pesawat F/A-18C/D Hornet terdiri daripada pesawat pejuang satu dan dua tempat duduk.
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya, Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion) — DSA