(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk menyelesaikan segala permasalahan berkaitan penghantaran sebuah kapal selam daripada China yang sudah tertangguh bertahun-tahun lamanya.
Dipetik sebagai berkata oleh Bangkok Post, Menteri Pertahanan negara itu Phumtham Wechayachai berkata, walaupun mahu menyelesaikan permasalahan penghantaran kapal selam daripada China itu secepat mungkin tetapi ada beberapa perkara perlu diselesaikan.
Antara masalah paling utama yang perlu diselesaikan adalah berkenaan prestasi enjin buatan China yang akan digunakan oleh kapal selam itu.
“Isu penggantian enjin (daripada enjin buatan Jerman kepada enjin buatan China) telah menjadi masalah yang amat besar dan memerlukan lebih banyak rundingan terperinci antara semua pihak terlibat,” kata beliau.
Menteri Pertahanan Thailand itu menyatakan tentang betapa pentingnya untuk memastikan prestasi enjin kapal selam buatan China itu, walaupun enjin yang sama telah digunakan oleh lapan buah kapal selam Pakistan.
Beliau mahukan kapal selam Thailand yang dibuat dan menggunakan enjin China itu menjalani ujian prestasi sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan terlebih dahulu sebelum Bangkok menerima kapal selam itu.
Sementara itu Wechayachai turut mengadakan perbincangan dengan Jerman untuk meninjau kemungkinan negara Eropah itu menjual enjin kapal selam secara langsung kepadanya untuk digunakan oleh kapal selam Thailand yang diperbuat oleh China.
Kerajaan Jerman bagaimanapun, masih belum memberi reaksi balas terhadap cadangan Thailand itu.
Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.5 bilion).
Kapal selam buatan China yang sepatutnya diterima oleh Thailand itu dikatakan telah 50 peratus siap, sebelum pembinaannya dihentikan akibat Covid.
Bangkok sepatautnya menerima kapal selam buatan China itu pada akhir tahun lepas.
Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam kontrak.
Beijing tidak boleh melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin MTU396 buatan Jerman kerana China telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah yang melarang sebarang eksport alatan atau komponen tentera kepada China.
Sebagai jalan penyelesaian, Beijing telah mencadangkan penggunaan enjin kapal selam buatannya sendiri, CHD 620 yang dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.
Bangkok bagaimanapun enggan tunduk kepada desakan China supaya kapal selam pertamanya itu dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat China dan berkeras mahu ia menggunakan enjin buatan syarikat Jerman.
Laporan media Thailand menyatakan bahawa kedua-dua negara dilaporkan telah mencapai persetujuan pada Jun tahun lepas, yang bakal menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China.
Namun, kejatuhan kerajaan Thailand dipimpin jeneral tentera Prayut Chan-o-cha nampaknya telah mengubah keputusan kerajaan mengenai kapal selam.
Kerajaan Sreetha Thaivisin menggantikan kerajaan pimpinan Jeneral Prayut Chan-o-cha enggan menerima penggunaan enjin buatan China pada kapal selam terbabit menyebabkan perolehan kapal selam itu semakin tertangguh.
Keadaan nampaknya tidak berubah walaupun kerajaan pimpinan Sreetha Thaivisin telah tumbang dan kini digantikan oleh kerajaan Paethongtarn Shinawatra yang nampaknya mempunyai masalah untuk mempercayai prestasi enjin kapal selam buatan China itu, walaupun ia telah digunakan oleh Tentera Laut Pakistan. — DSA