Malaysia Kecam Penggunaan Peranti Komunikasi Sebagai Senjata di Lubnan – Wisma Putra
Malaysia bersolidariti dengan Lubnan dalam krisis ini dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam meredakan situasi yang sedia tegang.
By
admin on September 19, 2024
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Malaysia amat bimbang dengan penggunaan peranti komunikasi sebagai bahan letupan di seluruh Lubnan sejak 17 September 2024, yang telah meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa dan mencederakan lebih 3,300 orang.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan siber ini yang telah menggugat keselamatan, kestabilan dan kedaulatan Lubnan.
Malaysia bersolidariti dengan Lubnan dalam krisis ini dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam meredakan situasi yang sedia tegang.
Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi ini, serta kepada Kerajaan dan rakyat Lubnan.
Kami juga berdoa agar mereka yang cedera segera sembuh.
Setakat ini, tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang memantau perkembangan dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.
Semua rakyat Malaysia di Lubnan disaran untuk mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga, dan mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.
Untuk mendapatkan bantuan, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di butiran berikut:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BEIRUT
Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lebanon
No. Telefon: +961 71 380 063, +961 7677 2527
Emel: mwbeirut@kln.gov.my