Leopard 2 Sudah Tidak “Kelihatan” Di Barisan Hadapan Ukraine – Akhbar Jerman

Dalam satu analisis oleh akhbar Jerman, Die Welt, ia menyatakan bahawa kereta kebal Leopard 2 kebanggaan Jerman itu seolah-oleh “menghilangkan diri” kerana kelibatnya di barisan hadapan bersama-sama tentera Ukraine sukar dilihat pada ketika ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kereta kebal Leopard 2 yang dibanggakan oleh negara pembuatnya, Jerman dan negara-negara Eropah yang menggunakannya kini sudah kurang “kelihatan” di barisan hadapan bersama-sama tentera Ukraine.

Pada mula kedatangannya di Ukraine, kereta kebal Leopard 2 itu membawa harapan yang amat tinggi di kalangan tentera Ukraine, dengan jangkaan ia akan mengetuai serangan darat dan memecah bentang-benteng pertahanan Russia.

Bagaimanapun, harapan menggunung terhadap kereta kebal Leopard 2 itu tidak menjadi.

Dalam satu analisis oleh akhbar Jerman, Die Welt, ia menyatakan bahawa kereta kebal Leopard 2 ini seolah-oleh “menghilangkan diri” kerana kelibatnya di barisan hadapan bersama-sama tentera Ukraine sukar dilihat pada ketika ini.

“Ketika mula dikerah, kereta kebal ini (Leopard 2) dengan armornya yang teguh, tembakan yang tepat dan mobility yang amat baik akan mengetuai usaha memecah benteng pertahanan tentera Russia di selatan Ukraine.”

Kereta kebal Leopard 2

 

“Bagaimanapun kereta kebal Leopard 2 yang digelar sebagai ‘game-changer’ tanpa disangka-sangka telah berundur daripada tugas utamanya di medan peperangan Ukraine-Russia,” menurut analisis oleh akhbar Jerman itu.

Kereta kebal Leopard itu dibangunkan oleh syarikat Jerman, Rheinmetall.

Akhbar Die Welt itu menyatakan harapan tentera Ukraine untuk menembusi barisan pertahanan dan seterusnya mengalahkan tentera Russia menggunakan aset-aset ketenteraan teknologi Barat telah gagal mencapai matlamatnya sehingga kini.

Ia juga berkata, keperluan untuk menggunakan kereta-kereta kebal pada konflik Ukraine-Russia adalah sebagai meriam berikutan ketiadaan bantuan daripada udara (close air support).

Penganalisis-penganalisis tentera Russia menurut akhbar Jerman itu telah pun mengetahui lebih awal sebelum “kebanjiran” kereta-kereta kebal Barat di Ukraine bahawa kejayaan di medan perang tidak bergantung kepada kereta kebal tetapi kepada taktik.

Sudah empat bulan serangan balas musim panas tentera Ukraine berlangsung, sehingga kini ia tidak tidak mencapai banyak kejayaan.

Pakar ketenteraan Russia, bekas Kolonel Viktor Litovkin meramalkan bahawa kereta-kereta kebal Barat akan lebih terdedah pada bahaya pada musim luruh/sejuk yang bakal menjelma beberapa minggu akan datang ini.

Katanya, kereta-kereta kebal Barat adalah jauh lebih berat berbanding kereta kebal Russia, iaitu perbezaan kira-kira 20 tan.

Sebab itulah, katanya, kereta kebal Barat seperti Abrams dan Leopard dengan berat mencecah 70 tan lebih mudah untuk “tersekat” di tanah-tanah lembut Ukraine, sekaligus menjadikannya sasaran mudah untuk peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal milik tentera Russia.

Pada musim luruh/sejuk, tanah hitam Ukraine atau “chernozem” akan menjadi penghalang kepada kereta-kereta kebal Barat itu.

Pada musim luruh, Ukraine akan mengalami peningkatan hujan yang tinggi dan ia bakal menyebabkan tanah di negara itu menjadi lembek dan berlumpur, seterusnya menyukarkan lagi kereta kebal seberat 60 hingga 70 tan seperti Abrams dan Leopard untuk beroperasi.

Pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa tentera Ukraine hanya memiliki di antara 30 hingga 45 hari lagi untuk mencapai “sesuatu” dalam fasa serangan balasnya pada ketika ini, sebelum keadaan menjadi bertambah sukar apabila tibanya musim luruh dan musim sejuk.

Pada musim luruh, kenderaan-kenderaan tentera terutamanya kereta kebal Barat yang memiliki berat lebih daripada 60 tan akan berhadapan dengan masalah untuk bergerak, sekaligus mengurangkan prestasi tempurnya.

Ukraine dijangka berhadapan dengan kekurangan terutama membabitkan pergerakan anggota tenteranya yang terpaksa bergerak dengan pantas untuk menawan kedudukan tentera Russia, yang berada dalam keadaan bertahan.

Anggota tentera Russia sudah berbulan-bulan menyiapkan kubu-kubu pertahanan mereka dengan barisan periuk api yang sukar ditembusi oleh  tentera Ukraine dan musim luruh dijangka akan memberikan kelebihan kepada Moscow. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredJermanKereta KebalLeopard