BHIC Jual Kepentingan Boustead Naval Shipyard Pada Hanya RM1

Pelupusan 27 juta saham itu yang dipegang oleh anak syarikat milik penuh tidak langsung BHIC, Perstim Industries Sdn Bhd, adalah untuk memudahkan keputusan kerajaan memperoleh 100 peratus saham BNS bagi memastikan projek kapal Littoral Combat Ship (LCS) siap, kata kontraktor pertahanan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah menjual keseluruhan 20.77 peratus kepentingannya dalam Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS)  yang terlibat dalam projek pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM11 bilion untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Ocean Sunshine Bhd, iaitu unit tidak langsung Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada harga RM1.

Pelupusan 27 juta saham itu yang dipegang oleh anak syarikat milik penuh tidak langsung BHIC, Perstim Industries Sdn Bhd, adalah untuk memudahkan keputusan kerajaan memperoleh 100 peratus saham BNS bagi memastikan projek kapal Littoral Combat Ship (LCS) siap, kata kontraktor pertahanan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Syarikat induk BHIC, Boustead Holdings Bhd kini memiliki 68.85 peratus kepentingan ekuiti dalam BNS, manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang mengawal kumpulan Boustead, memegang baki 10.38 peratus kepentingan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship di Lumut. (kredit FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

 

BNS, yang terbabit dalam pembinaan, pembaikan dan penyenggaraan kapal tentera laut, merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM150.12 juta dan liabiliti bersih RM848.45 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Pada 26 Mei, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Kementerian Kewangan telah mewujudkan syarikat bertujuan khas (SPV) untuk mengambil alih BNS.

“Ini perlu untuk kita memastikan supaya hasrat kita bagi meneruskan pembinaan LCS ini dapat dicapai dan berjaya seperti yang dikehendaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia,” kata beliau pada waktu itu.

Dalam pengumumannya itu, BHIC berkata selain memudahkan keputusan kerajaan untuk mengambil alih BNS, cadangan pelupusan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula organisasi dan operasi kumpulan untuk menyelaras dan menjajarkan semula entiti dalam syarikat dan anak-anak syarikatnya yang berkaitan.

Syarikat itu menambah bahawa ini adalah untuk memastikan BNS dapat menyiapkan pembinaan dan penghantaran LCS kepada TLDM dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut kontrak LCS.

Selain itu, BHIC berkata Ocean Sunshine sebagai pemegang saham strategik baharu adalah selaras dengan rancangan BNS untuk mengukuhkan perniagaan dan operasinya berhubung pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan kapal-kapal tentera laut dan pembinaan kapal komersial.

Tertakluk kepada semua kelulusan yang perlu diperoleh, cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada suku keempat 2023. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BousteadfeaturedKapalLCS
Comments (0)
Add Comment