Lanjutan Pembinaan, Perubahan Spesifikasi Punca Peningkatan Kos LCS Pada RM11 Bilion

“Antara penambahan kos terbesar adalah perubahan spesifikasi berdasarkan kepada keperluan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kerajaan meluluskan spesifikasi bagi Surface-to-Surface Missile System, Decoy Launching System (DLS) dan beberapa sistem lain,” kata Timbalan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peningkatan kos sebanyak RM2. 2 bilion yang telah menyebabkan kos keseluruhan projek pembinaan Littoral Combat Ship (LCS) itu meningkat daripada RM9 bilion sehingga RM11.2 bilion antaranya berpunca daripada perlanjutan tempoh pembinaan kapal-kapal itu dan perubahan spesifikasi.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata mengikut Supplemental Agreement (SA6) yang ditandatangani pada LIMA ’23 baru-baru ini, kapal-kapal itu memerlukan tambahan 83 bulan untuk tempoh pembinaan.

“Apabila kita bersetuju untuk meneruskan projek LCS ini, sudah pasti kita memerlukan tempoh. Kalau kita tengok perjanjian asal itu sepatutnya kapal LCS pertama itu dapat kita siapkan pada 2019 pembinaannya. Jadi, pertambahan 83 bulan itu memberikan beberapa kos.

Lakaran grafik kapal LCS TLDM

 

“Antara penambahan kos terbesar adalah perubahan spesifikasi berdasarkan kepada keperluan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kerajaan meluluskan spesifikasi bagi Surface-to-Surface Missile System, Decoy Launching System (DLS) dan beberapa sistem lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai timeline projek LCS dapat dimulakan semula dan sama ada ia dapat diselesaikan sebagaimana perancangan awal iaitu untuk ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada 2026.

Adly menjelaskan perubahan spesifikasi tersebut adalah satu keperluan pertahanan negara, manakala SA6 yang ditandatangani pada 26 Mei lepas merupakan tarikh permulaan bagi memulakan kerja-kerja semula pembinaan LCS.

Katanya, berdasarkan milestone yang terkandung dalam perjanjian tambahan itu, kapal LCS pertama dapat disiapkan pembinaannya pada November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian oleh pihak TLDM sendiri seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT).

Justeru, beliau berkata kapal LCS pertama dijangka dapat ditauliahkan pada TLDM pada akhir tahun 2026.

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia bulan lepas, syarikat Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) menyatakan bahawa nilai keseluruhan kontrak pembinaan lima buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) telah berubah kepada RM11.2 bilion berbanding RM9 bilion sebelum ini.

Kontrak sebelum ini antara Boustead Naval Shipyard (BNS),  yang merupakan syarikat bersekutu BHIC dengan Kementerian Pertahanan telah ditandatangani pada 17 Julai 2014 melibatkan pembinaan enam buah kapal LCS pada kos RM9 bilion.

Ia juga berkata bahawa kapal LCS yang pertama akan diserahkan kepada kerajaan selepas dilaksanakan segala ujian pada Ogos 2026 manakala kapal kelima dan terakhir pula diserahkan pada April 2029.

 Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pemberita di LIMA ’23 di Langkawi baru-baru ini menyatakan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap pembinaan LCS iaitu BNS.

Pelaksanaan projek LCS itu katanya tetap akan dipantau menerusi Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Beliau juga berkata bahawa laporan berkala kepada Jemaah Menteri akan disediakan sebagiaman syarat-syarat disediakan Ketua Audit Negara.
Pelaporan berkala kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga akan dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali supaya kemajuan projek ini dapat dipantau bersama oleh semua pihak.
“Ini perlu untuk kita memastikan supaya hasrat kita untuk meneruskan pembinaan LCS ini dapat dicapai dan berjaya sepertimana yang dikehendaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya beliau. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AdlyfeaturedKapalKosLCSSpesifikasi
Comments (0)
Add Comment