(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad mencipta sejarah untuk muncul sebagai panglima tentera udara yang pertama menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM (M52-16).
Beliau menerbangkan pesawat pejuang itu pada 28 Disember lepas bersama Pegawai Memerintah No.12 Skn Lt Kol Norazan Othman.
Ackbal atau nama panggilan (callsign) “Krueger” adalah juruterbang penguji pesawat (test pilot) yang terlatih dengan ilmu dan kemahiran yang dimilikinya.
“Rekod beliau sebagai juruterbang penguji pesawat bermula pada tahun 1992 apabila beliau telah dipilih oleh Panel Pemilihan Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat di International Test Pilot School (ITPS), Boscombe Down, United Kingdom,” menurut posting terbaru laman sosial TUDM.
Menurut tentera udara lagi, penerbangan itu adalah untuk menguji kesiagaan pesawat pejuang buatan Russia itu.
“Ia selari dengan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-19 iaitu ‘Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM’ bagi menentukan sistem dan sumber manusia yang sentiasa bersedia seperti keperluan readiness condition yang ditetapkan.”
Antara pesawat yang telah diterbangkan oleh Panglima Tentera Udara termasuklah Jaguar, Aero Vodochody L-39 Albatross milik Republik Czech, Hawk, Lear Jet Variable Stability Test Platform, BAE 146, Saab 2000,King Air, Air Gliders, pesawat Aerobatic Extra 300, simulator Boeing 737-300, simulator Eurofighter dan lain-lain lagi.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Sebagai juruterbang penguji pesawat, beliau turut berpeluang menerbangkan pesawat Aermacchi, F-5E/F, MiG-29N/UB dan Beechcraft King Air B200T.
Penerbangan yang dilakukan oleh Ackbal itu turut disertai oleh dua juruterbang penguji yang turut menerbangkan pesawat pejuang yang sama.
Tiga lagi pesawat Sukhoi Su-30MKM yang turut mengiringi dan menjalani latihan.– DSA