Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pesawat Pertama J-35A China Dari Kemudahan Mass Production Sudah Mulai Terbang ??

Video dan gambar-gambar pesawat pejuang generasi kelima kedua China, J-35A  itu sedang melakukan penerbangan di ruang udara salah sebuah bandar di negara itu telah pun tersebar di media-media sosial negara itu.

0 7,868
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi kelima China, J-35A pertama yang dihasilkan daripada produksi massa (mass production) dilaporkan telah pun melakukan penerbangan pertamanya beberapa hari lalu.
Video dan gambar-gambar pesawat pejuang generasi kelima kedua China, J-35A  itu sedang melakukan penerbangan di ruang udara salah sebuah bandar di negara itu telah pun tersebar di media-media sosial negara itu.
Mass production merujuk kepada peringkat di mana sesuatu model pesawat pejuang telah melepasi fasa prototaip, ujian penerbangan dan pra-pengeluaran, dan kini dihasilkan secara berterusan dalam jumlah yang besar di kilang untuk penggunaan operasi sebenar oleh tentera atau untuk eksport.
Pesawat pejuang J-35A pertama dihasilkan daripada mass production itu dilihat melakukan penerbangan dalam keadaan badan pesawat masih berwarna hijau.
Pesawat pejuang yang sedang dalam fasa pengeluaran besar-besaran sering kelihatan berwarna hijau ketika di peringkat pembinaan kerana ia disalut dengan lapisan primer khas anti-karat sebagai perlindungan, dan bukannya warna sebenar pesawat tersebut.
Warna hijau kekuningan yang kelihatan pada pesawat pejuang semasa proses pembinaan biasanya disebabkan oleh sapuan bahan primer berasaskan zink kromat atau zink fosfat.
Pesawat pejuang J-35A yang pertama keluar daripada kemudahan mass production itu dijangka akan dioperasikan oleh Tentera Udara China (PLAAF).
Pesawat pejuang J-35A itu dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) dan dikatakan bakal dieksport kepada negara-negara luar yang berminat, dengan Pakistan dilaporkan bakal menjadi pengguna pertamanya.
Pakistan dilaporkan sebelum ini akan memperolehi 40 buah pesawat pejuang J-35A,  dengan China dilaporkan akan mempercepatkan penghantaran pesawat-pesawat pejuang itu kepada Tentera Udara Pakistan berikutan konflik di antara Islamabad dan New Delhi.
Tentera Udara Pakistan dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang J-35A itu pada suku pertama tahun depan berbanding jangkaan awal pada akhir tahun 2026.
“Dengan Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A itu enam bulan, maka Pakistan dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang halimunan generasi kelima itu pada awal tahun 2026.”
Laporan sebelum ini juga menyatakan bahawa juruterbang Tentera Udara Pakistan yang bakal mengendalikan pesawat-pesawat pejuang J-35A itu telah pun dihantar ke China untuk menerima latihan bagi mengendalikannya.
Setakat ini, laporan-laporan tentang Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A hanya bersandarkan kepada sumber tidak rasmi dan Defence Security Asia masih menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Pakistan, Tentera Udara Pakistan atau SAC yang membangunkan pesawat pejuang itu.
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan seawal 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.

J-35A

Pada 2024 Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmad Babar dilaporkan berkata bahawa pesawat J-35A itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu  “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu
Pesawat pejuang generasi kelima pertama China iaitu J-20 “Mighty Dragon” tidak dieksport oleh China ke negara luar disebabkan sensitiviti teknologinya, sama seperti pesawat pejuang F-22 “Raptor” buatan Amerika Syarikat.
Ketua pakar di Institut Reka Bentuk Pesawat Shenyang yang beroperasi di bawah syarikat milik kerajaan China, Aviation Industry Corporation of China (AVIC), iaitu pemaju utama pesawat J-35A dilaporkan berkata bahawa ciri utama pesawat pejuang itu merangkumi keupayaan halimunan yang dipertingkatkan, keupayaan pemprosesan maklumat digital, integrasi rangkaian serta kebolehan sistem pintar yang lebih maju.
“Memandangkan pengguna menetapkan keperluan yang lebih tinggi terhadap ciri halimunan, pihak pemaju pesawat telah melaksanakan pelbagai langkah teknologi dan sistem baharu.
Sepanjang proses pembangunan itu, kemajuan ketara serta pelbagai inovasi berjaya dicapai dalam pelbagai aspek teknologi pesawat,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh Global Times Disember tahun lalu.
Ketika ditanya mengenai aspek teknikal pesawat J-35A dan kemampuannya untuk bekerjasama dengan pesawat lain, Wang menjelaskan bahawa J-35A beroperasi dalam rangka peperangan halimunan dan anti-halimunan.
J-35A
J-35A
“Misi utamanya adalah untuk memperoleh dan mengekalkan keunggulan udara, memusnahkan pesawat pejuang generasi keempat dan kelima milik musuh serta sistem pertahanan udara di darat dan permukaan.”
“Selain itu, pesawat ini juga direka untuk memintas sasaran udara musuh termasuk pesawat pejuang, pengebom dan peluru berpandu kruis.”
J-35A merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh China untuk memodenkan kekuatan tenteranya dan mencabar dominasi udara yang sekian lama dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Pesawat ini menggunakan konfigurasi dwi-enjin dan satu tempat duduk serta direka bentuk khusus untuk mengurangkan kebolehkesanan pengesanan radar (low observability), integrasi penderia canggih dan peperangan berasaskan rangkaian (networked warfare).
J-35A berfungsi sebagai “penyelaras” utama dalam rangkaian pertahanan udara, dengan keupayaan untuk mengunci sasaran, berkongsi data secara langsung dengan sistem lain seperti peluru berpandu darat ke udara, dan membimbing senjata ke arah sasaran untuk menumpaskan ancaman, termasuk pesawat musuh berteknologi halimunan (stealth) dan peluru berpandu kruis.
Pembangunan pesawat ini mencerminkan matlamat strategik China untuk membina armada pesawat pejuang halimunan yang berkuasa, mampu milik dan boleh dikerahkan secara besar-besaran, sebagai pengganti kepada pesawat-pesawat lama seperti J-7, J-8 dan J-10A.
Selain varian darat J-35A, China turut membangunkan varian laut dikenali sebagai J-35 yang direka untuk operasi di atas kapal pengangkut pesawat, menandakan serba-bolehnya platform ini merentasi semua cabang utama Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
J-35A
J-35A
J-35A
J-35A
Reka bentuk pesawat J-35A memberi penekanan kepada ciri halimunan (stealth), kelincahan dan fleksibiliti operasi dalam pelbagai senario peperangan moden.
Rekabentuk badannya yang anggun dengan permukaan licin serta konfigurasi ekor berbentuk “V” membantu mengurangkan kebolehkesanan radar dan memperbaiki aliran aerodinamik bagi mengurangkan gangguan udara (turbulen).
Tidak seperti pesawat J-20 yang menggunakan konfigurasi canard, J-35A memilih reka bentuk sayap ekor konvensional bersama penstabil menegak yang lebih lebar dan condong secara unik untuk mengimbangi aspek kelincahan dan kebolehan halimunan.
Konfigurasi dwi-enjin bukan sahaja memberikan daya tujahan yang lebih besar berbanding pesawat satu enjin seperti F-35, tetapi juga menyediakan ciri keselamatan tambahan sekiranya berlaku kegagalan enjin—meskipun ia boleh menambah sedikit kesan radar (Radar Cross Section, RCS) disebabkan saiz fizikal yang lebih besar.
Tahap halimunan J-35A turut ditingkatkan melalui penggunaan bahan penyerap gelombang radar, panel bertebing bergerigi (serrated paneling), serta reka bentuk ekzos yang licin untuk mengurangkan kesan inframerah dan gelombang radar.
Ruang simpanan senjata dalaman (internal weapons bay) membolehkan pesawat ini membawa peluru berpandu canggih seperti PL-17 untuk misi serangan jarak jauh, tanpa menjejaskan kebolehan halimunan ketika beroperasi.
Sistem avionik yang lengkap dengan radar jenis AESA serta rangkaian penderia yang diedarkan secara meluas membolehkan kesedaran situasi (situational awareness) yang menyeluruh dan perkongsian data masa nyata, menjadikan J-35A sebagai “pengawal utama” dalam rangkaian peperangan moden—mirip peranan “quarterback” yang dimainkan oleh pesawat F-35 dalam sistem operasi tempur rangkaian Amerika Syarikat.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.