Korea Selatan Bangunkan MUAV Untuk Misi-Misi “Sensitif” ISR

“Medium Altitude Unmanned Aerial Vehicle” (MUAV) yang dibangunkan oleh Korea Selatan dibangunkan sejak lebih 10 tahun yang lalu dengan kos US$402 juta (RM1.6 bilion) oleh Defense Acquisition Program Administration (DAPA) dan Korea Air Aerospace Division (KAL-ASD) di bawah pemantauan Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagai kuasa baru di dalam industri pertahanan antarabangsa,  Korea Selatan turut telah membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) Medium-Altitude Long Endurance (MALE) dipanggil “Medium Altitude Unmanned Aerial Vehicle” (MUAV), khusus untuk melaksanakan misi-misi “sensitif” Intelligence,Surveillance and Reconnaisance (ISR).

“MUAV” itu dibangunkan sejak lebih 10 tahun yang lalu dengan kos US$402 juta (RM1.6 bilion) oleh Defense Acquisition Program Administration (DAPA) dan Korea Air Aerospace Division (KAL-ASD) di bawah pemantauan Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Sistem-sistem dalaman pesawat tanpa pemandu “MUAV” itu dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Korea Selatan, membuktikan industri pertahanan negara itu adalah bertaraf dunia.

Melakukan penerbangan sulungnya pada 2011, MUAV itu dilengkapi dengan sistem Electro Optical/Infra Red (EO/IR) yang dibangunkan oleh syarikat Hanwha dan Synthetic Aperture Radar yang dibuat oleh sebuah lagi syarikat Korea Selatan LIG Nex1.

KAL-ASD juga bekerjasama dengan LIG Nex1 dalam sistem avionik “MUAV”.

Dilengkapi dengan enjin berkuasa 1200 kuasa kuda, pesawat tanpa pemandu MUAV itu berkemampuan beroperasi pada ketinggian 45,000 kaki dan berada di udara lebih daripada 24 jam tanpa henti.

Dalam satu ujian yang dijalankan terhadap kemampuan “MUAV”, ia telah berjaya mengenalpasti dengan tepat kerusi tempat duduk yang terdapat di Kompleks Sukan Seoul daripada jarak sejauh 130km.

Produksi bersiri MUAV dijangka bermula pada tahun depan dengan pesawat pertama itu bakal diserahkan kepada Tentera Udara Korea Selatan pada penghujung tahun depan atau suku pertama pada tahun 2024.

Pesawat Tanpa Pemandu MUAV itu dijangka mencapai keupayaan operasi penuh pada tahun 2025 dan bakal berkhidmat dengan 39th Reconnaissance Wing Tentera Udara Korea Selatan, sekaligus menyertai beberapa jenis sistem UAV yang digunakan oleh tentera negara Asia Timur itu.

Walaupun varian pertama MUAV ini akan digunakan untuk misi-misi ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance) Tentera Udara Korea Selatan, usaha-usaha juga sedang dilakukan untuk membangunkan MUAV kepada varian UCAV (Unmanned Combat Aerial Vehicle – UCAV) yang dilengkapi dengan beberapa jenis sistem persenjataan termasuk peluru berpandu udara-ke-darat.

Kehadiran MUAV di dalam bentuk UCAV bakal menonjolkan Korea Selatan sebagai kuasa besar terbaharu di dalam pembuatan dan pembangunan sistem pesawat tanpa pemandu itu.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Varian UCAV bagi “MUAV” dijangka akan digunakan oleh unit-unit tentera darat Korea Selatan dan semestinya sasaran-sasaran utamanya adalah aset-aset daratan serta maritim tentera Korea Utara sekiranya konflik di Semenanjung Korea itu tercetus.

Selain memenuhi keperluan tempatan iaitu Korea Selatan, pihak berkuasa pertahanan negara itu turut bercita-cita untuk mengeksport MUAV kepada negara-negara luar sebagaimana yang dilakukannya terhadap produk-produk pertahanan keluarannya yang lain.

Selain Korea Selatan, pesawat tanpa pemandu “MUAV” yang dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu turut telah menarik minat negara-negara luar termasuk Arab Saudi yang telah menunjukkan minat mereka terhadap sistem itu. — DSA

 

 

DAPAfeaturedISRKorea SelatanMUAV