Pembunuh Jejaki Bekas Komander Kapal Selam Russia Guna Apps Jogging

Bekas komander kapal selam diesel elektrik kelas-Kilo  “Krasnodar” Tentera Laut Russia Stanislav Rzhytsky itu ditembak sebanyak empat das oleh pembunuh yang dikatakan menjejaki beliau menggunakan maklumat didapati daripada aplikasi (app) “Strava”.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 10 Julai yang lalu, seorang bekas komander kapal selam Russia dikenali dengan nama Stanislav Rzhytsky telah ditembak mati ketika beliau sedang berjoging di laluan rutin beliau di bandar Krasnodar, yang terletak di selatan Russia.

Mengikut laporan media, bekas komander kapal selam diesel elektrik kelas-Kilo  “Krasnodar” Tentera Laut Russia itu ditembak sebanyak empat das oleh pembunuh yang dikatakan menjejak beliau menggunakan maklumat didapati daripada aplikasi (app) “Strava”.

Kapal selam “Krasnodar” itu didakwa bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu kruis terhadap bandar Vinnytsia pada 22 Julai tahun lepas yang mengorbankan 23 orang awam.

Bekas komander kapal selam Russia, Stanislav Rzhytsky.

 

Agensi berita Reuters juga melaporkan bahawa nama bekas komander kapal selam Russia itu berada di dalam senarai jenayah perang oleh kerajaan Ukraine.

Pada hari kejadian, Stanislav sedang berjoging menggunakan aplikasi “Strava” yang dibangunkan oleh firma perisian Amerika Syarikat dan menggunakan Global Positioning System (GPS) untuk menjejak aktiviti pelanggannya yang kebanyakannya terdiri daripada atlet.

“Strava” digambarkan sebagai aplikasi media sosial untuk atlet, dimana pengguna membenarkan perkongsian tentang laluan senaman mereka, prestasi dan tempoh diperlukan untuk menamatkan laluan senaman mereka.

Menurut laporan Kyiv Post, ketika kejadian bekas komander kapal selam itu sedang berjoging di bandar Krasnodar dalam cuaca hujan lebat, sebelum beliau ditembak beberapa das dan menemui ajal secara serta-merta.

Beliau sememangnya diketahui sebagai pengguna aplikasi “Strava” yang tegar dan beliau dilaporkan sentiasa berlari di laluan yang sama, yang didedahkan oleh akaun aplikasi milik beliau.

Stanislav dikatakan tidak merasa bimbang tentang kemungkinan menjadi sasaran balas dendam atas perkhidmatan di dalam Tentera Laut Russia.

Malah, beliau tidak pernah menerima sebarang ancaman, mesej daripada mereka tidak dikenali dan tidak pernah terlibat dalam sebarang konflik termasuk di tempat kerjanya.

Pada hari terakhir sebelum beliau dibunuh, bekas komander kapal selam Russia itu berkelakuan seperti biasa.

Walaupun pihak perisikan Ukraine tidak mengambil sebarang tanggungjawab terhadap pembunuhan itu, namun ia telah menerbitkan artikel yang terperinci tentang insiden itu dalam laman webnya.

Agensi perisikan Ukraine yang dikenali dengan akronim “GUR” mendakwa bahawa Stanislav dibunuh kira-kira jam 6 pagi di Taman Rekreasi dan Budaya Krasnodar oleh individu bersenjatakan pistol Makarov.

Beliau mati ditempat kejadian dan akibat hujan lebat maka tiada saksi.

Jika benar ejen-ejen perkhidmatan perisikan Ukraine bertanggungjawab terhadap pembunuhan bekas komander kapal selam Russia menggunakan aplikasi “Strava”, maka, ia bukanlah kali pertama di mana maklumat daripada aplikasi itu digunakan sebagai sumber perisikan.

Pada 2018, penyelidik-penyelidik keselamatan menggunakan 13 trilion titik GPS yang didapati dalam aplikasi “Strava” itu untuk mengenalpasti mereka yang bekerja daripada lokasi-lokasi yang terpencil di seluruh dunia.

Akhirnya, lokasi-lokasi terpencil itu terbukti adalah pangkalan-pangkalan tentera yang terletak di kawasan konflik.

Berdasarkan kepada maklumat didapati dalam aplikasi “Strava,” seorang penyelidik keselamatan telah mengenalpasti pangkalan tentera milik Amerika Syarikat, kawasan rondaan tentera Turkiye dan kedudukan anggota tentera Russia yang sedang bertugas di sebuah pangkalan tentera di Syria. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKapal SelamKomanderKrasnodarRussiaUkraine
Comments (0)
Add Comment