(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Walaupun kedua-dua pemimpin Indonesia dan Korea Selatan telah mengadakan sidang kemuncak pada akhir Julai, namun isu mengenai bayaran tertunggak 20 peratus oleh Jakarta terhadap program pembangunan pesawat KF-21 “Boramae” masih gagal diselesaikan.
Portal berita Korea Selatan, Korea Times menyatakan bahawa masih tiada jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan pembayaran yang sudah tertunggak sejak beberapa tahun itu.
Portal itu berkata kedua-dua pemimpin tidak menjelaskan dengan lanjut tentang usaha-usaha yang bakal diambil untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kedua-dua negara mengesahkan lagi komitmen mereka untuk terus bekerjasama bagi memastikan program pesawat pejuang itu dapat terus dilaksanakan dengan baik sehingga ke ke penghujungnya,” kata presiden Korea Selatan semasa sidang media bersama dengan Presiden Jokowi.
Berlainan dengan sikap yang ditonjolkan oleh presiden Korea Selatan itu, Jokowi tidak menyentuh apa-apa mengenai program pembangunan pesawat itu atau kelewatan pihak Indonesia dalam menyelesaikan isu bayaran yang tertunggak.
Sidang kemuncak antara Presiden Indonesia Joko Widodo dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeok berlangsung di Seoul pada 28 Julai lepas.
Sebelum berlangsungnya sidang kemuncak itu, pemerhati pertahanan kedua-dua negara menaruh harapan yang tinggi bahawa Presiden Jokowi dan rakan sejawatnya daripada Korea Selatan itu mampu menyelesaikan masalah pembayaran yang telah tertangguh sejak sekian lama.
Ini ditambah pula, beberapa hari sebelum ketibaan Jokowi ke Seoul, pesawat KF-21 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) itu telah berjaya menerbangkan penerbangan sulungnya.
Pesawat dua enjin KF-21 itu merupakan pesawat pejuang pelbagai guna generasi 4.5 yang dibangunkan secara dalam negara sepenuhnya oleh Korea Selatan.
Kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu.
Indonesia telah bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada kos keseluruhan pembangunan pesawat pejuang itu yang dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion) sebagai pertukaran untuk membina sejumlah pesawat KF-21 itu di Indonesia untuk tentera udara negara itu serta pemindahan teknologi.
Bagaimanapun, Jakarta gagal membayar kira-kira 800 bilion Won (daripada 1.6 trilion Won) yang dijanjikannya kepada Korea Selatan sejak 2017.
Sebelum ini, terdapat seruan di Korea Selatan supaya negara itu membatalkan penyertaan Indonesia dan meneruskan program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu secara bersendirian.
Bagaimana seruan untuk membatalkan penyertaan Jakarta dalam program pembangunan pesawat KF-21 itu ditentang berikutan hubungan pertahanan yang rapat diantara kedua-dua pihak.
Pada 2011, Indonesia memperolehi 16 buah pesawat latihan lanjutan T-50 daripada Korea Selatan bernilai US$400 juta (RM1. 6 bilion) .
TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE SECURITY ASIA:
Selain itu, Jakarta turut memperolehi tiga buah kapal selam seberat 1,400 tan setiap satu yang dibangunkan oleh firma Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering (DSME).
“Indonesia telah memainkan peranan yang penting dalam membantu syarikat-syarikat pertahanan Korea Selatan bertapak di pasaran antarabangsa. Isu ini (pembayaran program pesawat KF-21) perlu dilihat daripada segi jangka panjang,” menurut seorang penganalisis pertahanan Korea Selatan. – – DSA
Jom follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.