UAE Ganti Indonesia Dalam Program Pembangunan Pesawat KF-21 “Boramae”?

Kegagalan Indonesia menepati janjinya untuk melunaskan bayaran sebanyak 20 peratus untuk kos pembangunan pesawat pejuang itu merupakan faktor utama disebalik kemungkinan tempatnya digantikan oleh UAE.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan bakal menggantikan tempat Indonesia sebagai rakan program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan oleh Korea Selatan dan industri pertahanannya.

Kegagalan Indonesia menepati janjinya untuk melunaskan bayaran sebanyak 20 peratus untuk kos pembangunan pesawat pejuang itu merupakan faktor utama disebalik kemungkinan tempatnya dalam program itu digantikan oleh UAE.

Akhbar Korea Selatan, The Financial News dalam laporannya berkata Pejabat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan telah menerima surat daripada Majlis Ekonomi Tawazun, UAE yang menyatakan minatnya untuk menyertai secara langsung di dalam program itu.

Akhbar itu mencadangkan bahawa UAE berkemungkinan akan menggantikan peranan Indonesia dalam program pembangunan pesawat pejuang itu.

Indonesia memiliki 20 peratus pegangan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu tetapi telah gagal melunaskan bayaran penyertaannya dalam program itu sejak 2017.

Salah satu pesawat prototaip KF-21 “Boramae”

 

Jakarta juga bercadang memperolehi sejumlah 50 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.

Bagi UAE pula, selepas membatalkan pembelian pesawat pejuang F-35 daripada Amerika Syarikat, negara Teluk itu telah bertindak membelanjakan US$19 bilion (RM85.5 bilion) untuk memperolehi 80 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

UAE sepatutnya memperolehi 50 buah pesawat F-35 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin, tetapi tidak bersetuju dengan “syarat” dikenakan oleh Washington yang mahukannya memutuskan hubungan dengan syarikat telekomunikasi China, Huawei.

Kini nampaknya KF-21 “Boramae” akan menggantikan tempat F-35 dalam Tentera Udara UAE.

Kerjasama pertahanan di antara UAE dengan Korea Selatan juga semakin erat selepas negara Teluk itu membelanjakan US$3.5 bilion (RM15.7 bilion) untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM Block II yang dibangunkan oleh syarikat LIG Nex1 (Cheongung).

Sehingga Julai 2022, Jakarta dikatakan masih “berhutang” dengan Korea Selatan sebanyak US$557 juta (RM2.59 bilion) dalam bayaran tertunggak bagi program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae.”

Pesawat KF-21 dengan empat butir peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” BVR ketika melakukan penerbangan sulung tahun lepas.

 

Bagaimanapun akhbar Financial News Korea Selatan itu menyatakan jumlah sebenar yang perlu dibayar oleh Indonesia terhadap program itu adalah lebih besar iaitu sebanyak US$745 bilion (RM3.35 bilion).

Julai lalu, agensi perolehan senjata Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) mendakwa bahawa Indonesia telah gagal memberitahu Korea Selatan tentang jadual pembayaran baru bagi program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae”.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan tentang komitmen negara Asia Tenggara itu terhadap program itu.

Jurucakap DAPA berkata, sebagai rakan kerjasama program pesawat itu, Indonesia sepatutnya sudah memberikan tarikh jadual pembayaran itu namun sehingga kini ia telah gagal untuk berbuat demikian.

Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu, dengan Jakarta dikatakan akan menerima prototaip pesawat KF-21 yang kelima itu.

Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana “KM-SAM” sedang beraksi.

 

Sebagai rakan kerjasama bagi program pembangunan pesawat KF-21,Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu yang dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion).

Menurut DAPA,  kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

Bagaimanapun laporan oleh portal pertahanan Janes beberapa bulan lepas menyatakan bahawa Indonesia telah mula melakukan pembayaran semula selepas tiga tahun.

Portal itu mengatakan bahawa pada 1 Nov tahun lepas, Indonesia telah melakukan pembayaran sebanyak US$6.63 juta (RM26.52 juta). — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BoramaefeaturedIndonesiaKF-21Korea SelatanPesawat