Pesawat Pejuang Gen 4.5 “KF-21 Boramae” Lakukan Penerbangan Sulung

Penerbangan sulung pesawat prototaip KF-21 itu berlaku hari ini, iaitu kira-kira tujuh tahun selepas program pembangunan peswat pejuang oleh Korea Aerospace Industries (KAI) bermula pada Disember 2015.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi 4.5 “buatan tangan” Korea Selatan, KF-21 Boramae yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) dengan kos sebanyak US$6.67 bilion (RM26.7 bilion manakala 20 peratus kos disumbang oleh Indonesia) telah melakukan penerbangan sulungnya hari ini.

Penerbangan sulung pesawat prototaip KF-21 itu berlaku hari ini, iaitu kira-kira tujuh tahun selepas program pembangunannya bermula pada Disember 2015.

Pesawat prototaip KF-21 yang pertama daripada enam dibina itu berlepas kira-kira 3.40 petang (wakti tempatan) daripada sebuah pangkalan Tentera Udara Korea Selatan di bandar Sacheon, South Gyeongsang Province.

Bandar Sacheon juga menempatkan KAI.

Kenyataan daripada Defense Acquisition Program Administration (DAPA) menyebut pesawat prototaip KF-21yang dipandu Mejar Ahn Jun-hyun daripada Tentera Udara Korea Selatan berada di udara selama 33 minit sebelum mendarat di pangkalan udara itu pada 4.13 petang.

“Penerbangan sulung itu adalah untuk memeriksa prestasi penerbangan asas pesawat KF-21 seperti perlepasan (take-off) dan mendarat. Ia juga untuk memeriksa ketahanan struktur pesawat itu sebelum ia menjalani ribuan penerbangan ujian selepas ini.”

“Ujian daratan (ground test) seperti low, medium dan high-speed taxi testing serta engine ignition testing telah dilakukan sebelum penerbangan sulung itu dilakukan,” menurut kenyataan oleh DAPA.

Pesawat prototaip KF-21 itu terbang selaju 400km sejam ketika penerbangan sulung selama 33 minit itu.

 

Pesawat prototaip KF-21 itu dilengkapi dengan mock-up penuh (full-scale mockups empat butir peluru berpandu udara-ke-udara Meteor yang merupakan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR), infrared search and track system, menurut pihak tentera Korea Selatan.

Dengan berakhirnya penerbangan sulung hari ini, enam buah pesawat prototaip KF-21 akan melaksanakan 2,200 penerbangan ujian bermula daripada bulan ini sehingga tahun 2026.

Pembangunan pesawat itu dan sistem-sistemnya akan selesai pada tahun 2026 selepas mengesahkan pelbagai prestasi dan kemampuan pesawat itu dan keberkesanannya dalam melaksanakan misi udara-ke-udara.

Sekiranya segala ujian terhadap pesawat KF-21 berjaya dilakukan pada 2026, maka Korea Selatan akan menjadi negara kelapan didunia yang berjaya menghasilkan pesawat pejuang supersonik moden.

Pesawat KF-21 “Boramae” ketika melakukan ground testing baru-baru ini.

 

 

Walaupun segala ujian dijangka akan hanya selesai pada 2026, tetapi pihak Korea Selatan berazam untuk menyelesaikan segala ujian awalan pada 2023 bagi membolehkan ia mempercepatkan proses pembangunan dan produksi pesawat KF-21.

Sekiranya kesemua ujian penerbangan itu berjalan dengan lancar, maka kontrak pengeluaran pesawat KF-21 itu akan ditandatangani pada tahun 2024 dengan penghantaran kepada Tentera Udara Korea Selatan bermula pada tahun 2026.

Penghantaran pertama sudah semestinya akan dilakukan terhadap Tentera Udara Korea Selatan yang mahu menggunakan pesawat-pesawat KF-21 itu untuk menggantikan pesawat F-5 dan Phantom miliknya yang telah berusia.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2032.    

Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

 

featuredKAIKF-21 BoramaePenerbangan