(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan keengganan Amerika Syarikat untuk “berkongsi” teknologi radar AESA (Active Electronically Scanned Array), maka Korea Selatan terpaksa membangunkan sendiri sistem radar itu yang akan digunakan oleh pesawat generasi 4.5 buatannya, KF-21 Boramae yang berjaya melakukan penerbangan sulungnya baru-baru ini.
Keengganan Washington berkongsi teknologi pembuatan radar AESA dengan Korea Selatan dalam projek pesawat KF-21 itu hampir-hampir menggagalkan keseluruhan program pembangunan pesawat kebanggaan industri pertahanan negara Asia Timur itu.
Sehinggalah Defense Acquisition Program Administration (DAPA) milik kerajaan Korea Selatan berpendapat syarikat-syarikat negara itu berkemampuan untuk membangunkan radar AESA-nya sendiri tanpa mendapatkan bantuan daripada Amerika Syarikat.
DAPA memilih syarikat tempatan, Hanwha Systems untuk membangunkan radar AESA bagi pesawat KF-21 dan pada Ogos 2020, prototaip radar AESA bagi pesawat generasi 4.5 yang dipanggil “F-22 versi Asia” itu telah didedahkan pada awam buat pertama kali.
Menurut Hanwha Systems, radar AESA bagi pesawat KF-21 itu disifatkan sebagai “mata dan otak pesawat” yang membolehkan ia “melihat” dengan lebih jauh segala bentuk ancaman yang mendatang.
“Radar AESA KF-21 adalah satu daripada sensor avionik yang paling penting yang melaksanakan pelbagai misi seperti pemantauan, pengesanan sasaran udara dan darat serta menghasilkan imej-imej video,” menurut syarikat Korea Selatan itu.
Pihak DAPA menggunakan pesawat khas (test-bed aircraft) Boeing 737 untuk mengadakan ujian terhadap radar AESA yang dibangunkan oleh Hanhwa.
Radar AESA bagi KF-21 itu direka untuk mengesan dan mengenalpasti pelbagai sasaran serentak pada jarak ratusan kilometer (kemampuan sebenar masih dirahsiakan).
Selain melengkapi pesawat KF-21 dengan radar AESA, syarikat Hanwha dan DAPA juga merancang untuk melengkapkan pesawat-pesawat pejuang buatan negara itu termasuk FA-50 dengan radar AESA buatan Hanwha itu.
Kemungkinan besar TUDM juga akan menggunakan radar AESA sekiranya pesawat FA-50 Block 20 dipilih sebagai pemenang tender Kementerian Pertahanan bagi perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pembangunan radar AESA bagi pesawat KF-21 itu merupakan cubaan kali pertama Korea Selatan terhadap pembuatan radar AESA yang kini merupakan komponen penting bagi pembinaan pesawat-pesawat termoden dunia.
Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil, sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.
Sebab itu, negara-negara di dunia ini mahukan pesawat pejuang mereka dilengkapi dengan radar-radar AESA.
Bagaimanapun, untuk menghasilkan radar AESA adalah amat susah dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kemampuan untuk membangunkan radar AESA.
Malah Russia juga dikatakan berhadapan dengan kesukaran untuk menghasilkan radar AESA.
Negara-negara yang berkeupayaan membangunkan radar AESA adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden, Perancis dan Israel.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Korea Selatan dikatakan adalah negara benua Asia yang pertama mampu menghasilkan radar AESA (mungkin China tetapi tiada maklumat mengenai radar yang digunakan oleh pesawat J-20 Mighty Dragon)
Selain membekalkan radar AESA untuk pesawat KF-21, Hanwha Systems juga menghasilkan sistem Electro Optical Targeting Pod, Infra Red Search and Track (IRST) dan Multi-Function Primary Cockpit Display.
Sementara itu sebuah lagi syarikat tempatan Korea, LIG Nex1 telah membangunkan sistem peperangan elektronik bagi pesawat KF-21. — DSA