(VIDEO) Kereta Kebal VT4 Buatan China Alami Insiden “Memalukan”

(VIDEO) Kerosakan dialami oleh kereta kebal VT4 itu telah menyebabkan ia terhenti secara tiba-tiba sehingga akhir persembahan dan video tentang insiden itu telah menjadi viral di media-media sosial menunjukkan kereta kebal bergelut untuk menaiki bukit terbabit. 
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu insiden yang dianggap memalukan dan menimbulkan persoalan tentang reliabiliti sistem persenjataan buatan China,  sebuah kereta kebal utama buatan industri pertahanannya telah mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti semasa demonstrasi dinamik di Pameran Udara Zhuhai baru-baru ini.
Kerosakan dialami oleh kereta kebal VT4 itu telah menyebabkan ia terhenti secara tiba-tiba sehingga akhir persembahan dan video tentang insiden itu telah menjadi viral di media-media sosial menunjukkan kereta kebal bergelut untuk menaiki bukit terbabit.
Kerosakan “memalukan” dialami oleh kereta kebal utama VT4 itu berlaku semasa satu demonstrasi bertujuan untuk mempamerkan keupayaan kereta kebal tersebut, namun masalah mekanikal dialaminya menyebabkan ia tidak dapat bergerak dan terhenti secara tiba-tiba.
Menurut laporan, kereta kebal VT4 yang dijangka menyertai keseluruhan program pameran pada Air Show di Zhuhai itu gagal berfungsi disebabkan kerosakan mekanikal dan tidak dapat menyelesaikan demonstrasi tersebut.
Insiden ini menonjolkan masalah berulang dengan beberapa peralatan tentera buatan China, yang sering mengalami pelbagai permasalahan semasa pameran serupa.
Peristiwa ini mengingatkan kepada insiden hampir sama pada 2016, apabila kereta kebal China Type-96B, juga mengalami kerosakan semasa pertandingan “Tank Biathlon” di pusat latihan Alabino, Rusia.
Kereta kebal Type-96B buatan China itu telah mengalami kegagalan mekanikal semasa pertandingan sukan ketenteraan yang dianjurkan oleh tentera Rusia.
Kegagalan kereta kebal itu pada acara antarabangsa tersebut menimbulkan persoalan berterusan mengenai kebolehpercayaan kenderaan berperisai buatan China.
VT4 adalah kereta kebal utama generasi ketiga yang dihasilkan oleh Norinco (China North Industries Corporation).
Kereta kebal ini direkabentuk untuk pasaran eksport, dengan beberapa negara seperti Pakistan, Thailand, dan Nigeria telah memperolehnya untuk angkatan tentera mereka.

Kereta kebal VT4 atau MBT-3000 untuk pasaran eksport dilengkapi dengan meriam 125mm smoothbore dengau automatic loader boleh menempatkan kira-kira 22 buah projektil dan bahan-bahan lain.
Selain itu ia kereta kebal VT4 yang memiliki berat keseluruhan 52 tan itu dengan enjin berkuasa 1,200 kuasa kuda itu turur dilengkapki dengan mesingan 7.62mm dan juga 12.7mm.
Selain itu, kereta kebal VT4 juga boleh melancarkan peluru berpandu termasuk 9K119 Refleks dengan jarak bedilan sehingga 5km.
Kereta kebal itu dioperasikan oleh tiga orang krew termasuk komander, gunner dan juga pemandu.
Selain itu ia juga dilengkapi dengan armor komposit dan juga Explosive Reactive Armor (ERA) bagi memberikan perlindungan tambahan kepada kereta kebal VT4 itu, 
Kerosakan semasa Pameran Udara Zhuhai ini berkemungkinan menimbulkan kebimbangan mengenai prestasi dan kemampuan kereta kebal V-4 untuk pembeli berpotensi serta pengendali sedia ada.
Pameran Udara Zhuhai, yang juga dikenali sebagai Pameran Aeroangkasa & Pertahanan Antarabangsa China, merupakan platform utama untuk mempamerkan kemajuan terkini dalam teknologi pertahanan China.
Kerosakan VT4 semasa pameran besar ini menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan beberapa eksport ketenteraan China, terutamanya apabila negara itu berusaha untuk memperluaskan pengaruhnya dalam pasaran senjata antarabangsa. — DSA

ChinafeaturedVT4Zhuhai
Comments (0)
Add Comment