(VIDEO) Kereta Kebal M1A1 Abrams Pertama Diguna Ukraine Berjaya Dimusnah Tentera Russia?

(VIDEO) Dipanggil M1150 Assault Breacher Vehicle (ABV), kenderaan kejuruteraan itu berasaskan kepada chasis kereta kebal M1A1 Abrams mula digunakan oleh tentera Ukraine pada November tahun lepas selepas dibekalkan oleh tentera Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kenderaan kejuruteraan yang sukar didapati dan berasaskan kepada chasis kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat dilaporkan telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia di Petrvis’ke berhampiran Avdiivka di Ukraine baru-baru ini.

Dipanggil M1150 Assault Breacher Vehicle (ABV) yang berasaskan kepada chasis kereta kebal M1A1 Abrams mula digunakan oleh tentera Ukraine pada November tahun lepas selepas dibekalkan oleh tentera Amerika Syarikat.

Kenderaan kejuruteraan itu amat penting untuk tentera Ukraine, malah dikatakan kepentingan sebuah kenderaan M1150 ABV itu adalah bersamaan tiga atau empat buah kereta kebal M1A1 Abrams.

Ketika kehadirannya di Ukraine itu diumumkan, presiden negara itu Volodymr Zelensky turut mengambil gambar dengan kenderaan yang unik itu.

Sehingga kini tidak diketahui berapa jumlah kenderaan kejuruteraan M1150 ABV dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine.

Kenderaan kejuruteraan itu dilapor mula digunakan oleh Kor Marin Amerika Syarikat di Afghanistan pada 2010.

Video kemusnahkan kenderaan kejuruteraan dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine itu telah tersebar di media-media sosial, selepas kenderaan itu dipercayai dibedil oleh senjata anti-kereta kebal oleh anggota tentera Russia.

Terdapat laporan menyatakan bahawa kenderaan kejuruteraan M1150 ABV itu musnah selepas ia terkena tembakan artillery oleh tentera Russia yang menggunakan bantuan pemantauan dan panduan daripada dron.

Video yang sama turut menunjukkan tiga krew kenderaan kejuruteraan itu sempat keluar daripada kenderaan mereka sebelum ia dibedil buat kali kedua.

Laporan daripada media sosial Russia menyatakan bahawa kenderaan kejuruteraan itu telah dibedil oleh kereta kebal negara itu, menyebabkan ia tidak boleh bergerak dan tersadai di medan peperangan di Avdiivka yang kini telah berjaya ditawan oleh tentera Russia.

Mengapa kenderaan kejuruteraan seperti M1150 ABV yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat itu amat penting kepada tentera Ukraine? Jawapannya adalah kerana tentera Ukraine hanya memiliki beberapa buah kenderaan kejuruteraan itu.

Kehilangan sebuah kenderaan kejuruteraan semakin membataskan opsyen serangan oleh tentera Ukraine, pada ketika ia juga mengalami kekurangan sistem artilleri dan bekalan peluru-pelurunya.

“Kehilangan (kenderaan kejuruteraan) adalah lebih menyakitkan bagi pihak musuh berbanding kemusnahan beberapa kereta kebal. Ini disebabkan tentera Ukraine kekurangan kenderaan kejuruteraan dan kewujudan beberapa lapangan-lapangan periuk api yang besar, maka bantuan peralatan-peralatan seperti kenderaan kejuruteraan M1150 ABV adalah semakin kritikal (untuk tentera Ukraine).”

“Kenderaan kejuruteraan adalah amat penting untuk anggota bersiap-sedia melakukan serangan,” kata Rybar.

M1A1 Abrams.

 

Selain dilengkapkan dengan peralatan khas untuk memusnahkan periuk-periuk api, kenderaan kejuruteraan M1150 ABV yang dibekalkan oleh tentera Amerika Syarikat itu turut memiliki pelancar roket untuk memusnahkan periuk-periuk api yang ditanam di lapangan.

Sementara itu media-media sosial Ukraine dan Russia telah melaporkan bahawa kereta kebal M1A1 telah dikesan berada di kawasan pertempuran pada 17 Februari yang lalu.

Pemerhati pertahanan menyatakan bahawa kereta kebal buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada tentera Ukraine dilengkapi dengan  ARAT Explosive Reactive Armor (ERA) Dynamic Defense System. — DSA

(LEBIH BANYAK ARTIKEL TENTANG KERETA KEBAL M1A1 “ABRAMS”)

AbramsAmerikafeaturedM1150 ABVRussia
Comments (0)
Add Comment