Kereta Kebal Abrams Amerika Tidak Berikan Apa-Apa Kesan Diharapkan di Ukraine

Orang kanan Presiden Amerika Syarikat Jo Biden itu berkata bahawa penilaiannya tentang prestasi "mengecewakan" kereta kebal Abrams di Ukraine adalah selari dengan kesimpulan yang dibuat oleh tentera Amerika Syarikat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat Jake Sullivan membuat pengakuan terbuka bahawa kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh negara itu kepada Ukraine tidak memberikan apa-apa kesan yang diharapkan di medan peperangan.
Orang kanan Presiden Amerika Syarikat Jo Biden itu berkata bahawa penilaiannya tentang prestasi “mengecewakan” kereta kebal Abrams di Ukraine adalah selari dengan kesimpulan yang dibuat oleh tentera Amerika Syarikat.
“Mengenai kereta kebal Abrams, kami telah menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine. Namun, unit-unit kereta kebal Abrams itu sebenarnya kurang berkesan (di medan peperangan) kerana ia bukan peralatan yang paling berguna untuk mereka (tentera Ukraine) dalam peperangan ini,” kata Sullivan.
Kereta kebal buatan Amerika itu terbukti mempunyai kegunaan yang terhad dalam situasi peperangan dengan Rusia apabila banyak daripada kereta kebal yang dibekalkan oleh Washington itu telah dimusnahkan oleh anggota tentera Russia.
Sebahagian daripada kereta kebal Abrams berjaya ditawan oleh tentera Russia dan dihantar ke Moscow untuk dipamerkan sebagai trofi perang (war trophy) daripada Ukraine.
Sebelum ini pegawai-pegawai tentera Ukraine melaporkan bahawa kereta kebal Abrams yang dihantar ke Ukraine tidak dilengkapi dengan perisai Depleted Uranium dan sistem kombat serta komunikasi yang moden.
Kereta kebal Abrams yang rosak teruk dibedil dipamerkan pada orang ramai di Victory Park, Moscow

RINGKASAN:

Kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat, yang dihantar ke Ukraine untuk memperkuat pertahanan negara itu, didapati kurang berkesan dalam konflik dengan Rusia. Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, mengakui bahawa prestasi kereta kebal tersebut di medan perang adalah terhad, sejajar dengan penilaian tentera Amerika. Sebahagian daripadanya telah dimusnahkan atau ditawan oleh tentera Rusia, sementara ada yang tidak berfungsi semasa penghantaran.

Pegawai Ukraine melaporkan bahawa kereta kebal ini dihantar tanpa perisai Depleted Uranium dan sistem moden, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada serangan, terutamanya dari dron dan peluru berpandu anti-kereta kebal. Serangan dari atas, seperti yang sering digunakan oleh Rusia, didapati menjadi kelemahan utama kereta kebal Abrams.

Laporan menyebut bahawa 20 daripada 31 kereta kebal Abrams telah dimusnahkan dalam masa enam bulan pertama selepas digunakan. Akibatnya, Ukraine, atas desakan Washington, telah menarik balik kereta kebal ini dari medan pertempuran sementara taktik baru dirancang bersama Amerika Syarikat.

Kereta kebal Abrams, walaupun terkenal dengan keupayaan bertahan terhadap tembakan langsung, didapati tidak sesuai untuk menghadapi realiti peperangan moden di Ukraine, di mana ancaman serangan udara dan dron sangat dominan. 

Sebahagian daripada kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine itu itu dilaporkan tidak boleh berfungsi semasa penghantaran dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan oleh pasukan Kiev sebelum ia boleh dikerahkan ke medan peperangan.
Pada Januari 2023, Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menghantar 31 buah kereta kebal Abrams ke Ukraine untuk membantu membentuk sebuah batalion kereta kebal.
Kumpulan pertama kereta kebal Abrams tiba di Ukraine beberapa bulan lebih awal daripada jadual, dengan tujuan digunakan dalam serangan balas musim panas Ukraine terhadap tentera Rusia, menurut laporan New York Times.
Pada Sept lalu, seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat mengakui bahawa kereta kebal M1A1 Abrams kebanggaan negara itu tidak bersedia untuk berhadapan dengan realiti peperangan pada konflik antara Russia dan Ukraine.
Menurut Pengarah Kenderaan Kombat Masa Hadapan Tentera Amerika Syarikat Brigadier Jeneral Geoffrey Norman, kereta kebal Abrams terpaksa menimba pengalaman buruk ketika beroperasi di Ukraine.
“Kereta kebal Abrams adalah amat baik (daripada segi pertahanan) apabila berhadapan dengan tembakan langsung daripada kereta kebal lain dan kenderaan armor yang lain.”
“Bagaimanapun kereta kebal Abrams tidak direka untuk bertahan daripada serangan daripada atas atau dipanggil ‘top attack’  sebagaimana yang kita lihat di Ukraine, sama ada daripada peluru berpandu anti-kereta kebal yang menjunam untuk membedil bahagian atasnya atau daripada dron-dron sama ada FPV (First Person View) atau dron berani mati ,” kata beliau.
Sebuah lagi kereta kebal Abrams rosak dibedil tentera Russia
Pada Ogos lalu, laporan pemerhati pertahanan Russia mendakwa sebanyak 20 daripada 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada Ukraine, telah pun musnah dibedil Russia.
Penganalisis ketenteraan Russia mendakwa 20 buah kereta kebal M1A1 Russia yang musnah itu berlaku di dalam tempoh enam bulan pada tahun ini, tidak lama selepas kereta kebal Amerika Syarikat itu mula dikerahkan ke medan peperangan.
Disebabkan “tidak tahan” dibedil oleh dron-dron Russia, maka Ukraine dilaporkan telah mengeluarkan arahan diatas permintaan Washington untuk mengeluarkan kereta-kereta kebal M1A1 SA Abrams itu daripada medan-medan pertempuran.
Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.
Kereta-kereta kebal Abrams itu “dikeluarkan” daripada medan pertempuran, sementara Amerika Syarikat bekerjasama dengan Ukraine untuk mengubahsuai taktik, kata Timbalan Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat Laksamana Christopher Grady yang muncul sebagai antara pegawai tentera negara itu yang mengesahkan “nasib” kereta kebal Abrams di Ukraine itu. — DSA

AbramsAmerikafeaturedUkraine
Comments (0)
Add Comment