Kementerian Pertahanan Thailand Sokong Pemilihan JAS39 Gripen Berbanding F-16

Menteri Pertahanannya  Phumtham Wechayachai yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata RTAF mahu memperolehi sebuah lagi skuadron pesawat pejuang Gripen bagi menambah 11 buah pesawat pejuang Gripen yang sudah pun dimilikinya pada ketika ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Thailand menyokong keputusan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen buatan Sweden berbanding F-16 buatan Amerika Syarikat.
Menteri Pertahanannya  Phumtham Wechayachai yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata RTAF mahu memperolehi sebuah lagi skuadron pesawat pejuang Gripen bagi menambah 11 buah pesawat pejuang Gripen yang sudah pun dimilikinya pada ketika ini.
“Tentera Udara Diraja Thailand kini mengoperasi dua jenis pesawat pejuang iaitu Gripen dan F-16. Kedua-dua jenis pesawat ini mampu melindungi kedaulatan negara.
“Memandangkan RTAF berhasrat untuk memperoleh satu skuadron lagi, saya menyerahkan kepada pihak Tentera Udara untuk memilih model yang mereka anggap paling sesuai bagi mempertahankan negara kita kerana mereka lebih memahami keperluannya.”
“Proses perolehan ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini,” kata Phumtham sebagaimana dipetik oleh akhbar Bangkok Post.
Beliau berkata telah bercakap dengan juruterbang pesawat pejuang Gripen yang menyatakan prestasi dan kemampuan pesawat itu dengan pesawat pejuang F-16 adalah hampir sama.
Pesawat pejuang JAS39 Gripen C/D milik Tentera Udara Diraja Thailand
Menteri Pertahanan Thailand itu melahirkan keyakinan terhadap keputusan yang diambil oleh RTAF dalam memilih pesawat pejuang buatan Sweden itu berbanding Amerika Syarikat.
“Saya akan meluluskan pembelian pesawat pejuang Gripen oleh Tentera Udara Diraja Thailand  sekiranya harganya tidak melebihi bajet kita dan melibatkan pemindahan teknologi,” katanya.
Keputusan kerajaan Thailand untuk membeli skuadron pesawat pejuang baru telah ditangguhkan selama beberapa tahun akibat pemotongan bajet pertahanan disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19.
Sebelum ini Amerika Syarikat menawarkan pinjaman (hutang) dengan kadar faedah yang rendah bagi membolehkan Thailand membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan syarikat pertahanannya, Lockheed Martin.
Namun Menteri Pertahanan Thailand memaklumkan bahawa beliau telah memberitahu Duta Amerika Syarikat ke Thailand bahawa negara Asia Tenggara itu tidak mempunyai dasar yang membolehkan ia berhutang untuk membeli pesawat pejuang.
Pada Julai tahun lepas, Tentera Udara Diraja Thailand dilaporkan telah pun membuat keputusan untuk memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Sweden, Saab Group berbanding pesawat pejuang F-16 Block 70 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat.
Pesawat pejuang Gripen
Panglima RTAF ACM Phanphakdee Phattanakul dilaporkan telah mengemukakan perincian tentang pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F dan F-16 Block 70 kepada Menteri Pertahanan Sutin Klungsang dan Perdana Menteri Srettha Thavisin pada ketika itu untuk membuat keputusan.
Panglima RTAF telah mengesyorkan kerajaan Thailand supaya memilih pesawat pejuang buatan Sweden itu berbanding pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat.
RTAF mengoperasikan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-16 dan 11 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen pada ketika ini.
Sebelum ini, pengarah kempen Gripen Thailand Robert Bjorklund sebagaimana dipetik oleh akhbar utama Thailand itu berkata syarikat SAAB menawarkan kepada Thailand jaringan sistem penderia fusion (networked sensor fusion) dan tiga jenis radar yang canggih.
Radar-radar canggih yang ditawarkan untuk melengkapi pesawat pejuang Gripen E/F Thailand itu adalah Raven ES-05-AESA, Skyward G-IRST and Mode 5-IFF.
Mengenai sistem data link pula, beliau berkata, pesawat pejuang Gripen E/F yang ditawarkan kepada Thailand itu adalah bersesuaian dengan sistem datalink Link-16 dan juga sistem datalink yang dibangunkan sendiri oleh RTAF iaitu Link-TH. 
“Gripen”
Spesifikasi Teknikal JAS 39 Gripen-E
1. Umum:
  • Pengilang: Saab AB (Sweden)
  • Jenis: Pesawat pejuang pelbagai peranan (Multirole Fighter)
  • Generasi: 4.5
2. Dimensi:
  • Panjang: 15.2 meter
  • Rentang Sayap: 8.6 meter
  • Tinggi: 4.5 meter
  • Berat Kosong: 8,000 kg
  • Berat Maksimum Berlepas (MTOW): 16,500 kg
3. Prestasi:
  • Enjin: 1 × General Electric F414G turbofan dengan afterburner
  • Daya Tolakan: 22,000 lbf (98 kN)
  • Kelajuan Maksimum: Mach 2 (lebih 2,400 km/j)
  • Jarak Operasi: 1,500 km (tanpa pengisian bahan api udara)
  • Jarak Ferry (maksimum): 4,000 km
  • Ketinggian Maksimum: 16,000 meter (52,000 kaki)
  • Kadar Pendakian: 254 m/s
4. Avionik dan Sistem:
  • Radar: AESA Radar Raven ES-05 (Radar Active Electronically Scanned Array)
  • Sistem Elektronik Perang (EW): Terma dan radar amaran serangan, sistem gangguan elektronik, dan dispenser umpan (countermeasure)
  • Kokpit: Paparan skrin sentuh digital penuh (Full Glass Cockpit), HUD dan Helmet Mounted Display (HMD)
5. Persenjataan:
  • Meriam: 1 × meriam automatik Mauser BK-27 27 mm
  • Pylon: 10 titik hardpoint untuk pelbagai jenis persenjataan dan pod
  • Peluru Berpandu Udara-ke-Udara:
    • AIM-9 Sidewinder
    • IRIS-T
    • AIM-120 AMRAAM
    • Meteor BVRAAM
  • Peluru Berpandu Udara-ke-Darat:
    • AGM-65 Maverick
    • KEPD 350 Taurus
  • Bom:
    • Bom panduan laser (GBU-12 Paveway II)
    • Bom pintar (JDAM)
  • Roket: Roket tidak berpandu pelbagai jenis
6. Kebolehan Lain:
  • Pengisian bahan api udara: Disokong (probe and drogue)
  • Link Data: Tautan data taktikal (Link 16)
  • Operasi dari landasan pendek dan tidak sempurna
Gripen-E direka untuk menjadi pesawat tempur yang canggih, kos efektif, dan fleksibel dalam pelbagai operasi udara. — DSA

 

 

 

F-16GripenPhumthan WechayachaiThailand
Comments (0)
Add Comment