“Fair Winds And Following Seas”, KD Lekir Belayar Ke RIMPAC 2022

KD Lekir dan anak-anak kapalnya akan menempuh pelayaran getir merentasi lautan luas menuju ke Kepulauan Hawaii untuk menyertai eksesais maritim terbesar dunia anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat dipanggil Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Fair Winds And Following Seas” kepada kapal korvet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekir dan anak-anak kapalnya yang hari ini memulakan pelayaran daripada Pangkalan TLDM Lumut menuju ke Kepulauan Hawaii untuk menyertai latihan maritim terbesar dunia anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat dipanggil  Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022.

Majlis Pelepasan KD Lekir disempurnakan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis.

Eksesais RIMPAC 2022 itu secara rasminya akan bermula pada 29 Jun hingga 4 Ogos depan dan KD Lekir dijadual tiba semula ke Pangkalan TLDM Lumut 6 Sept depan.

(TLDM)

 

“Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais akan mengambil masa selama 99 hari di laut.”

“Penyertaan KD Lekir diketuai Pegawai Memerintah Kdr Mohd Asri Dasman pada eksesais kali ini adalah merupakan penglibatan kali kedua buat TLDM setelah kejayaan penyertaan kali pertama pada 2018 menerusi KD Lekiu dari Skuadron Frigat Ke-23.”

“Penyertaan TLDM bagi siri eksesais pada kali ini membuktikan ketersediaan dan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga ke tahap yang tertinggi seiring angkatan tentera laut di peringkat global,” menurut kenyataan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut.

RIMPAC 2022 akan menyaksikan penyertaan 28 tentera laut pelbagai negara dan 41 kapal perang permukaan, lima buah kapal selam, 150 pesawat udara dan hampir 25,000 anggota tentera.

(TLDM)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Objektif eksesais pada kali ini menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan ‘Capable, Adaptives, Partners’.

Buat julung kalinya menurut kenyataan itu,  TLDM menerusi KD Lekir diberi penghormatan untuk melaksanakan penembakan misil EXOCET MM40 Block II semasa Sinking Exercise (SINKEX) RIMPAC 2022 sebagaimana yang dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini.

“Penghormatan ini merupakan detik bersejarah buat TLDM kerana buat pertama kalinya kapal TLDM akan melaksanakan latihan penembakan misil di luar perairan Malaysia,” menurut kenyataan itu. — DSA

 

featuredKD LekirRIMPAC 2022TLDM