(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal peronda kelas-Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kelantan (PV175) dilaporkan kini berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) untuk “shadow” (memantau) kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Menurut pemilik akaun Twitter, Ray Powell @GordianKnotRay, kapal peronda TLDM itu tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali semalam untuk memantau kapal pengawal pantai China, CCG 5303.
Menurut beliau, kapal pengawal pantai China terbabit telah berada di kawasan perairan Beting Patinggi Ali sejak 12 Januari lalu untuk mengacau kerja-kerja explorasi gas dan minyak yang sedang giat dilakukan oleh beberapa syarikat di kawasan itu.
Menerusi akaun Twitter milik beliau itu, KD Kelantan telah bertindak memantau kapal pengawal China itu selama seminggu pada akhir Disember lepas.
Terdapat juga laporan mengatakan kapal auxiliari TLDM, Bunga Mas juga terlibat dalam misi “shadow” kapal China itu.
KD Kelantan menurutnya lagi bukanlah asing kepada kerja tugas-tugas “shadow” kapal-kapal pengawal pantai China yang memasuki kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia untuk menguatkuasa apa yang didakwa oleh Beijing sebagai “hak-hak maritim mereka.”
Kapal pengawal pantai China,CCG 5303 yang memiliki panjang 134 meter dan lebar 14 meter juga bukanlah asing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan sekitar Beting Patinggi Ali kerana ia kerapkali “bertugas” di kawasan EEZ Malaysia itu.
Sebagai contohnya, pada Julai 2021 kapal CCG 5303 telah dikesan berada di Lapangan Gas Kasawari di Beting Patinggi Ali menganggu operasi bot-bot bekalan milik syarikat tempatan yang terlibat dalam kerja-kerja di lapangan gas itu.
Untuk yang tidak mengetahui tentang kewujudan beting ini, Beting Patinggi Ali ini merupakan kawasan perairan kompleks batu karang yang paling kurang dikenali dan diterokai di Laut China Selatan.
Beting ini turut dikenali dengan nama Luconia Shoals, Beting Raja Jarum, Běikāng ànshā atau Nánkāng ànshā dalam bahasa Cina.
Nama beting ini pula diberikan sempena nama seorang pemimpin masyarakat Melayu di Sarawak pada awal abad ke-19, Datu Patinggi Ali.
Dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan terletak dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.
Beting ini dikatakan berada di kedudukan paling selatan dalam gugusan Kepulauan Spratly.
Mengapa China “amat berminat” dengan Beting Patinggi Ali ini?
Jawapannnya berkemungkinan besar berkait-rapat dengan apa yang sedang berlaku di Lapangan Gas Kasawari yang ditemui pada 2011 dan sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.
Lapangan Gas Kasawari terletak di dalam Blok SK306 yang dioperasikan oleh PETRONAS.
Kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali dan tidak jauh daripada gugusan terumbu karang itu adalah amat prolifik dengan sumber-sumber minyak dan gas negara.
Sudah banyak penemuan minyak dan gas diumumkan oleh PETRONAS dan rakan-rakan PSC (Production Sharing Contracts) mereka di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali, yang berkemungkinan menarik “kunjungan-kunjungan” kapal-kapal pengawal pantai China ke kawasan itu.
“Di mana ada madu, di situlah ada lebah.”
Bulan lepas, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Nahara-1 di Blok SK306, yang terletak di perairan Balingian, kira-kira 150 kilometer (km) dari Bintulu, Sarawak.
Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.
Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.
Pada 2021, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS dalam satu temuramah dengan agensi berita Reuters awal bulan ini berkata projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari akan memastikan Malaysia kekal menjadi antara lima negara pengeksport terbesar gas asli di dunia.
Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), gangguan oleh kapal-kapal China terhadap kapal-kapal bantuan minyak dan gas milik syarikat-syarikat Malaysia di lapangan minyak di Sarawak itu berlaku “hampir setiap hari selama dua tahun.”
“Mereka (kapal-kapal China) berlegar-legar dengan merbahaya dan secara sengaja menimbulkan risiko pelanggaran (dengan kapal bantuan itu) dengan tujuan supaya syarikat-syarikat (pemilik kapal offshore itu) supaya tidak menerima kontrak (di kawasan Lapangan Gas Kasawari),” katanya. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE