Kapal USS Nimitz Terima Pendaratan Pesawat Ke 350,000 Kali

Pendaratan pesawat ke 350,000 itu adalah suatu detik yang bersejarah kepada kapal pengangkut pesawat tertua dalam perkhidmatan tentera laut Amerika Syarikat USS Nimitz, yang kini berumur 48 tahun.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 22 April yang lalu bertempat di Laut China Selatan, sebuah pesawat pejuang F/A-18E/F  Super Hornet telah mendarat untuk ke 350,000 kali di atas dek penerbangan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Nimitz.

Ia adalah suatu detik yang bersejarah kepada kapal pengangkut pesawat tertua dalam perkhidmatan tentera laut Amerika Syarikat, yang kini berumur 48 tahun.

Ia adalah kali pertama sebuah kapal pengangkut pesawat mencapai tahap ini kerana pendaratan pesawat tertinggi direkodkan sebelum ini adalah milik kapal pengangkut pesawat USS Dwight D.Eisenhower yang mencatat sebanyak 326,000 pendaratan.

(U.S Navy)

Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Nimitz telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada Mei 1975.

Kapal pengangkut pesawat itu diberikan nama USS Nimitz sempena nama komander tentera laut Amerika Syarikat ketika Perang Dunia Kedua Laksamana Chester William Nimitz Sr.

Ia adalah antara kapal perang terbesar dunia pada ketika pentauliahannya dan ia telah terlibat dalam pelbagai operasi ketenteraan di seluruh dunia daripada di Iraq,Afghanistan sehinggalah di Selat Taiwan, di mana ia berada di barisan hadapan menangani sikap pembuli Beijing terhadap pulau itu.

Bulan lepas, Tentera Laut Amerika Syarikat telah mengeluarkan notisp pemberitahuan tentang usahanya yang bakal dilakukannya untuk memulakan kerja-kerja untuk “melupuskan” USS Nimitz sebagai besi buruk.

USS Nimitz akan hanya menjadi kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat yang kedua akan “dilupuskan”sebagai besi buruk selepas USS Enterprise.

Kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz.

 

Kapal pengangkut pesawat itu sepatutnya meninggalkan perkhidmatan Tentera Laut negara itu pada 2025 tetapi jangka hayatnya dilanjutkan lagi selama 13 bulan, menjadikan tahun 2026 sebagai tahun terakhir sebelum USS Nimitz ditamatkan perkhidmatan sebelum dilupuskan.

Selepas kerahan terakhirnya itu, USS Nimitz akan belayar ke limbungan kapal milik syarikat Huntington Ingalls untuk memulakan proses penamatan khidmatnya, selepas hampir separuh abad berkhidmat untuk Tentera Laut Amerika Syarikat.

Bakal pengganti USS Nimitz iaitu USS Gerald R.Ford telah pun memulakan kerahan kombatnya yang pertama ke Eropah baru-baru ini.

Bernilai US$13 billion (RM52 billion), USS Gerald Ford (CVN-78) adalah kapal pengangkut pesawat kelas Gerald Ford yang pertama daripada empat kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear baharu Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kapal pengangkut pesawat kedua dalam kelas Gerald Ford iaitu USS John F-Kennedy (CVN-79) dijangka memasuki perkhidmatan tentera laut Amerika Syarikat seawalnya pada 2024 diikuti oleh USS Enterprise (CVN-80) pada 2028 dan USS Doris Miller (CVN-81) pada 2032. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

F/A-18E/FfeaturedPesawatUSS Nimitz
Comments (0)
Add Comment