Kapal Selam Pertama Thailand “Kehilangan” Enjin

Walaupun kerja-kerja pembinaan kapal selam Thailand itu sudah hampir ke penghujungnya di China, namun kini ia berhadapan dengan satu masalah yang tidak dijangkakan melibatkan komponen paling penting dalam keseluruhan kapal selam itu iaitu enjin. Kapal selam pertama Thailand itu tidak memiliki enjin.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Thailand tertunggu-tunggu kapal selam pertamanya “S-26T” yang dibeli daripada China kerana proses pembinaannya sudah pun hampir siap, dengan Bangkok dijangka menerima kapal selamnya yang pertama itu pada tahun depan atau 2024.

Tentera Laut Thailand sememangnya amat mengidamkan perolehan kapal selam dalam usahanya untuk meningkatkan lagi kemampuan angkatan tenteranya.

Namun “malang tidak berbau”,  walaupun kerja-kerja pembinaan kapal selam Thailand itu sudah hampir ke penghujungnya di China, namun kini Bangkok berhadapan dengan satu masalah yang tidak dijangkakan melibatkan komponen paling penting dalam keseluruhan kapal selam itu.

Anggota tentera laut Thailand sedang melihat lebih dekat model kapal selam buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand.

 

Masalah itu melibatkan enjin – kapal selam pertama Thailand yang sedang dibina di China itu tidak mempunyai enjin.

Ketika menandatangani perjanjian pembelian kapal selam itu dengan China, Bangkok dijanjikan bahawa kapal selamnya yang pertama itu akan menggunakan enjin buatan syarikat Jerman , MTU Friedrichshafen GmbH.

Bagaimanapun Thailand mungkin tidak menyedari bahawa China telah dikenakan sekatan ekonomi oleh Kesatuan Eropah yang menghalang penggunaan enjin buatan negara kesatuan itu terhadap mana-mana sistem pertahanan buatan China termasuk kapal selam.

Kapal selam kelas-Yuan yang bakal diperolehi oleh Thailand.

 

Disebabkan itu, kapal selam pertama Thailand itu yang amat ditunggu-tunggu oleh tentera lautnya sejak berdekad lamanya tidak mempunyai enjin.

Penasihat pertahanan Jerman di Thailand Philip Doert berkata pihak China tidak pernah membincangkan dengan negara berkenaan cadangan mereka untuk menggunakan enjin buatan Jerman pada kapal-kapal selam mereka.

Beliau mengesahkan bahawa Jerman tidak akan menyerahkan enjinnya untuk digunakan oleh kapal selam China.

Mendengar berita bahawa pembinaan kapal selam untuk Thailand berhadapan dengan masalah ketiadaan enjin, Kementerian Luar China mengatakan tindakan embargo Kesatuan Eropah itu tidak konsisten dengan keadaan semasa di dunia serta hubungan di antara China dengan EU.

China berharap EU akan membetulkan keputusannya secepat mungkin.

Bagi pihak Tentera Laut Thailand pula ia akan merundingkan semula dengan China yang berkemungkinan akan menangguhkan lagi penghantaran kapal selam pertamanya ke negara Asia Tenggara itu.

Tentera Laut Thailand juga dikatakan telah menolak cadangan daripada China untuk menggunakan enjin buatannya sendiri di kapal selam yang dipesan oleh Thailand.

 Baru-baru ini, seorang anggota parlimen di Thailand mendakwa pembelian kapal selam S26T buatan China oleh tentera laut negara itu diselubungi oleh kontroversi termasuk dakwaan paling serius mengatakan bahawa kapal selam yang dibeli daripada negara Tembok Besar China itu tidak memiliki enjin.

Dakwaan itu dibuat oleh anggota Parlimen itu, Yutthapong Charasathian mewakili kawasan Maha Sarakham daripada parti Pheu Thai. 

Portal berita Bangkok Post mengatakan anggota parlimen itu mendakwa bahawa syarikat China yang membina kapal selam itu, China Shipbuilding and Offshore International Co (CSOC) tidak mewakili China menjadikan kontrak yang ditandatangani oleh Thailand itu bukan di antara dua buah negara (government to government deal).

Yutthapong juga mendakwa bahawa kapal selam pertama itu yang akan diperolehi oleh Thailand tahun depan tidak memiliki sebarang enjin diesel elektrik.

Dibawah kontrak yang ditandatangani antara kerajaan Thailand dengan CSOC, kapal selam buatan China itu akan dilengkapi dengan enjin buatan syarikat MTU daripada Jerman tetapi syarikat terbabit enggan menjualnya kepada China sebagaimana di dakwa oleh anggota Parlimen Thailand itu.

Disebabkan keengganan syarikat Jerman itu membekalkan enjin kepada kapal selam buatan China yang akan digunakan oleh Tentera Laut Thailand, maka, syarikat CSOC mungkin akan menggunakan enjin diesel elektrik yang dibina oleh China sendiri.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Yutthapong berkata beliau akan membawa masalah ini kepada Perdana Menteri negara itu, Jeneral Prayut Chan-o-cha bagi memastikan kapal selam yang bakal diperolehi oleh Thailand itu tetapi dilengkapi dengan enjin buatan Jerman dan bukan enjin buatan China.

Beliau bimbang kapal selam pertama Thailand itu bakal berhadapan dengan masalah sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa di kalangan krew kapal selam negara itu jika kapal selam itu menggunakan enjin buatan China dan bukan Jerman. — DSA

 

ChinaEnjinfeaturedKapal SelamThailand