Kenapa Kapal Penyelidik China “Dikawal” Begitu Ketat Ketika Di Laut China Selatan?

Apakah tugas yang begitu penting dilaksanakan oleh kapal penyelidikan milik China di Laut China Selatan sehinggakan ia terpaksa dikawal dengan begitu banyak kapal dan bot negara itu?

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apakah yang sedang dilakukan oleh kapal penyelidikan milik China, “Xiang Yang Hong 10” di Laut China Selatan sehinggakan ia terpaksa “dikawal” dengan begitu ketat oleh dua buah kapal pengawal pantai negara itu dan  11 buah bot militia maritimnya?

Apakah tugas yang begitu penting dilaksanakan oleh kapal penyelidikan milik China di Laut China Selatan sehinggakan ia terpaksa dikawal dengan begitu banyak kapal dan bot negara itu?

Maklumat terkini menyatakan bahawa kumpulan kapal-kapal dan bot milik China telah pun memasuki kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Vietnam yang menempatkan lapangan gas dioperasi oleh syarikat minyak dan gas daripada Vietnam serta Russia.

Kapal Penyelidik Xiang Yang Hong 10.

 

Apa yang dilakukan oleh kapal penyelidikan China itu, sambil diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu dan bot militia maritimnya bukan sahaja berlaku di Vietnam,tetapi juga semakin kerap berlaku di perairan ZEE Malaysia dan Indonesia.

Di mana  sahaja ada aktiviti minyak dan gas di perairan Laut China Selatan negara-negara Asia Tenggara, maka disitu jugalah kapal-kapal penguatkuasa milik China akan berada untuk “menganggu” kerja-kerja carigali minyak dan gas itu.

Setiap kali dibantah, Beijing akan menyatakan bahawa ia sedang beroperasi di dalam perairan “miliknya.”

Jika di Malaysia, sudah pasti perairan sekitar Beting Patinggi Ali yang kaya dengan sumber minyak dan gas adalah lokasi “kegemaran” kapal-kapal China itu manakala bagi Indonesia adalah di Laut Natuna.

Kapal penyelidikan China itu, Xiang Yang Hong 10 dan dua buah kapal pengawal pantai serta 11 buah bot militia maritim dikesan memasuki Blok 04-03 yang sedang dioperasikan oleh Vietsovpetro,yang merupakan usahasama di antara syarikat Zarubezhneft and Petrovietnam.

kredit Ray Powell

 

Menurut dua buah badan pemerhati sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Reuters menyatakan bahawa kesemua kapal dan bot milik China itu masih berada di kawasan minyak dan gas Vietnam.

Kumpulan kapal dan bot China itu juga berada tidak jauh daripada Blok 05-1B dan 05-1C yang dioperasikan oleh Idemitsu Oil and Gas, sebuah unit syarikat Idemitsu Kosan daripada Jepun.

Bercakap kepada Reuters, ketua projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Amerika Syarikat, Raymond M.Powell berkata apa yang berlaku di perairan Laut China Selatan dan ZEE Vietnam beberapa hari ini adalah “amat menakjubkan.”

Ia “menakjubkan” kerana bilangan kapal pengawal pantai China dan bot militia maritim yang terlibat.

Kapal pengawal pantai China.

 

“Nampaknya mereka (China) menghantar mesej tentang kedaulatan China terhadap operasi minyak dan gas Vietnam,” katanya sambil menambah bahawa tiga buah kapal Jabatan Perikanan Vietnam bertindak menghampiri kumpulan kapal dan bot China itu.

Penganalisis mengatakan kapal penyelidikan China itu berkemungkinan sedang melakukan survei dasar laut di kawasan perairan Vietnam itu berdasarkan kepada kelajuan kapal itu ketika belayar.

Melakukan survei di dalam kawasan perairan ZEE milik sesebuah negara tanpa pemakluman terlebih dahulu kepada negara pemilik perairan itu dianggap sebagai suatu tindakan pemusuhan dan provokatif. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChinafeaturedKapal PenyelidikLaut China SelatanXiang Yang Hong 10