Kapal Pengangkut “JS Kaga” Jepun Lakukan Ujian Operasi Pesawat Pejuang F-35B

JS Kaga dikategorikan oleh Jepun sebagai “helicopter destroyer” tetapi Tokyo telah bertindak mengubahsuai dan menjadikannya “kapal pengangkut pesawat mini” bagi membolehkannya mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-35B miliknya daripada atas kapal perang itu
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jepun akan menghantar menghantar kapal perang terbesarnya, JS Kaga (DDH-184) ke Amerika Syarikat pada bulan depan untuk melakukan ujian operasi pesawat pejuang F-35B VSTOL (Vertical Short Take Off and Landing).
Menurut kenyataan Japan Maritime Self Defence Force (JMSDF), ujian operasi yang akan dijalankan dengan kerjasama Tentera Laut Amerika Syarikat adalah untuk mendapatkan data bagi operasi pesawat pejuang F-35B di kapal pengangkut helikopter kelas-Izumo itu.
Pihak Jepun dijangka akan melakukan pelbagai ujian termasuk perlepasan dan pendaratan pesawat F-35B itu dan pelbagai operasi pesawat pejuang itu ketika berada di atas kapal perang itu.
Ujian operasi pesawat pejuang F-35B di atas kapal JS Kaga itu akan diadakan di perairan California daripada 5 Oktober hingga 18 Oktober.
JS Kaga dikategorikan oleh Jepun sebagai “helicopter destroyer” tetapi Tokyo telah bertindak mengubahsuai dan menjadikannya “kapal pengangkut pesawat mini” bagi membolehkannya mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-35B miliknya daripada atas kapal perang itu.
JS Kaga (JMSDF)
Kerja-kerja pengubahsuaian JS Kaga yang berpangkalan di Kure Naval Base itu telah hampir selesai.
Sejak beberapa tahun lepas, Tokyo telah membelanjakan ratusan juta dollar Amerika untuk mengubahsuai dua buah kapal helicopter destroyer miliknya, JS Kaga dan JS Izumo (DDH-183) kepada kapal pengangkut pesawat mini. (amphibious assault ship)
Ia adalah sebahagian daripada usaha Jepun untuk menangani peningkatan ketegangan di Indo-Pasifik berikutan sikap agresif China.
Apabila kerja-kerja pengubahsuaian terhadap JS Kaga dan JS Izumo siap sepenuhnya,, Jepun buat kali pertama sejak tamatnya Perang Dunia Kedua akan memiliki kapal pengangkut pesawatnya yang tersendiri.
Apabila sudah menjadi kapal pengangkut pesawat kelak, kedua-dua buah kapal perang milik JMSDF itu dirancang akan mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-35B yang berkemampuan berlepas dan mendarat secara menegak serta daripada landasan yang amat pendek.
Pesawat pejuang F-35B melaksanakan ujian di atas kapal JS Izumo.
Kedua-dua buah kapal itu masing-masing mempunyai berat 27,000 tan.
Jepun memutuskan untuk mengubahsuai kedua-dua kapal itu pada tahun 2018.
Kapal JS Izumo sudah selesai melaksanakan kerja-kerja pengubahsuainnya pusingan pertamanya yang menelan belanja US$30 juta (RM120 juta) dan sedang melaksanakan kerja pengubahsuaian seterusnya.
Pada Oktober 2021, dua buah pesawat pejuang F-35B (STOVL) milik Marines Tentera Laut Amerika Syarikat telah melakukan ujian penerbangan dan pendaratan daripada kapal JS Izumo itu.
Jepun telah memesan 105 buah pesawat F-35 untuk tentera udaranya, dengan 40 buah daripada pesawat itu adalah di dalam varian F-35B VSTOL.
Kedua-dua kapal LHD JS Izumo dan JS Kaga milik Jepun yang diubahsuai untuk menjadi kapal pengangkut pesawat mini.
Tindakan Jepun mengubahsuai JS Izumo serta “kembarnya”, JS Kaga daripada kapal-kapal “helicopter destroyer” kepada kapal pengangkut pesawat mini amat tidak disenangi oleh China yang mendakwa Tokyo mempunyai cita-cita untuk kembali menjadi kuasa tentera sebagaimana pada Perang Dunia Kedua.
Beijing pernah menyuarakan kegusaran mereka terhadap rancangan Jepun mengubahsuai JS Izumo dan JS Kaga serta meminta Tokyo supaya membatalkan hasrat mereka itu.
Kedua-dua kapal kelas-Izumo (JS Izumo dan JS Kaga) itu dianggarkan bernilai lebih US$1 billion setiap satu dan mula  ditauliahkan di dalam perkhidmatan JMSDF pada tahun 2015 dan 2017.
Tugas-tugas utama JS Izumo dan JS Kaga ketika mula-mula dibina adalah untuk membawa helikopter bagi tugasan peperangan anti-kapal selam (ASW), operasi kemanusiaan dan untuk tinjauan (surveillance). — DSA
featuredJepunJS KagaKapal
Comments (0)
Add Comment