Kapal Friget HMAS Anzac Milik Australia “Tidak Sesuai” Untuk TLDM – Khaled Nordin

Memiliki berat keseluruhan 3,600 tan dan panjang 118 meter, HMAS Anzac berusia 28 tahun itu merupakan kapal friget Tentera Laut Diraja Australia yang berkemampuan melaksanakan misi-misi anti-udara, anti-permukaan dan anti-bawah permukaan, pemantauan dan pemintasan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan tidak berminat untuk memperolehi kapal friget HMAS Anzac (FFH-150) berusia 28 tahun yang baru sahaja dilucutkan tauliah oleh Tentera Laut Diraja Australia pada Mei lalu untuk menampung keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perkara itu telah dijelaskan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kapal friget HMAS Anzac seberat 3,600 tan yang ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Australia pada Mei 1996 itu “tidak bersesuaian untuk kegunaan sementara TLDM.”

“Setelah diteliti, TLDM merumuskan kapal yang dimaksudkan itu (HMAS Anzac)… ia tidak bersesuaian. Ia adalah berdasarkan perkara seperti isu commonality peralatan selain kos perolehan yang tidak menguntungkan kepada kerajaan, lebih-lebih lagi jika kita lakukan perolehan terhadap kapal HMAS Anzac.

“Proses perolehan itu dijangka akan mengambil masa yang lama, sehingga 2027 dan pada tahun itu kita sudah dibekalkan dengan dua kapal LCS (Littoral Combat Ship). Kapal itu akan diserah kepada TLDM dan mula beroperasi dalam tahun 2027,” katanya.

HMAS Anzac

 

Selain itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan baru-baru ini juga telah membuat perolehan bagi mendapatkan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) dari Turkiye yang dijangka siap menjelang akhir 2027.

“Jadi lima kapal (dua LCS dan tiga LMS) akan mula berkhidmat dengan TLDM.”

 “Oleh kerana hampir keseluruhan kapal HMAS Anzac ini menggunakan peralatan yang berbeza, maka kita membuat keputusan ia tidak sesuai (diperolehi oleh TLDM) dan bukan untuk kepentingan kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya.

Memiliki berat keseluruhan 3,600 tan dan panjang 118 meter, HMAS Anzac merupakan kapal friget yang berkemampuan melaksanakan misi-misi anti-udara, anti-permukaan dan anti-bawah permukaan, pemantauan dan pemintasan.

Dibina oleh Tenix Defence Systems, kapal friget itu yang membawa 177 anak kawap berkemampuan meluncur selaju 27 knot dan beroperasi pada radius 6000 Batu Nautika.

Ia dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” dan Evolved Sea Sparrow Missile (ESSM) untuk operasi anti-udara, selain meriam 127mm, torpedo dan sebuah helikopter MH-60R Seahawk.

HMAS Anzac

 

Kapal friget HMAS Anzac itu dilucut tauliah pada 18 Mei 2024.

Sementara itu Mohamed Khaled juga berkata bahawa status pembinaan kapal LCS kedua ketika ini telah mencapai kemajuan 64.66 peratus.

Menurutnya, status terkini bagi kapal LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima 42.33 peratus.

Beliau berkata kementerian menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima kapal LCS itu dapat diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026.

Katanya jumlah bayaran yang dibuat bagi pembinaan kapal LCS kedua itu adalah berdasarkan kontrak yang telah ditandatangani, dan bukannya mengikut kemajuan setiap kapal secara individu.

Kapal LCS 1 “Maharaha Lela” telah diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu. (kredit Bernama)

 

“…kerajaan telah membayar RM7.15 bilion iaitu bersamaan 63.69 peratus, berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan LCS kelima-lima kapal secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang bertanyakan peratus terkini pembinaan kapal LCS kedua serta jumlah bayaran yang telah diselesaikan Kementerian Pertahanan kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS). — DSA

featuredHMAS AnzacKhaled NordinTLDM
Comments (2)
Add Comment