Pesawat Pejuang Generasi Kelima Turkiye “KAAN” Tarik Perhatian TUDM?

Pesawat pejuang generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dinamakan "KAAN" dijangka melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil menyatakan bahawa Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah “menerbangkan” pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” menggunakan simulator pesawat itu.

Pesawat pejuang generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh TAI itu dijangka melakukan penerbangan sulung pada akhir tahun ini.

“Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia telah menerbangkan pesawat pejuang generasi kelima ‘KAAN’ itu menggunakan simulator pesawat itu. Beliau amat berpuashati dengannya,” menurut akaun Twitter platform pertahanan Turkiye, SavunmaSanayiST yang memetik Temel sebagai berkata begitu.

Simulator “KAAN”

 

Tidak dinyatakan dimana Panglima TUDM menguji simulator pesawat pejuang “KAAN” tetapi admin percaya ia berlaku ketika beliau menghadiri Paris Air Show 2023 yang sedang berlangsung pada ketika ini.

TAI merupakan salah sebuah syarikat yang menyertai Paris Air Show 2023.

Beberapa hari lalu, Temel berkata pihak TAI telah membangunkan dua buah lagi pesawat prototaip “KAAN.”

Menurutnya, menjelang tahun 2028 pihaknya akan menyerahkan kira-kira 20 buah pesawat pejuang “KAAN” daripada varian Block 10 kepada Tentera Udara Turki.

Beliau juga berkata bahawa pesawat “KAAN” apabila sudah beroperasi berkemampuan menangani musuh-musuhnya daripada jarak di antara 200km hingga 300km menggunakan radar serta peluru berpandunya.

Temel Kotil sebelum ini menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya pada tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil.

 

Pada mulanya, pihak TAI meletakkan sasaran pada 2025 untuk pesawat pejuang itu melakukan penerbangan sulungnya sebelum mengubah jadual itu kepada pada akhir tahun 2024 dan mengubahnya lagi kepada akhir tahun ini.

“KAAN” dijangka akan melakukan penerbangan sulungnya pada 29 Oktober 2023 ini sempena sambutan 100 tahun negara itu dan memasuki perkhidmatan Tentera Darat Turkiye pada tahun 2029.

Pesawat pejuang itu akan menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Negara itu.

TAI akan membangunkan 10 buah pesawat prototaip “KAAN”.

Kesemua pesawat prototaip itu akan dilengkapi dengan dua enjin buatan General Electric  F110, yang amat dikenali oleh pihak Turkiye kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 C/D milik negara itu yang dipasang dalam negara.

Bagaimanapun untuk pesawat-pesawat produksi bersiri (serial production) “KAAN”, ia akan menggunakan enjin-enjin yang lebih berkuasa dihasilkan oleh syarikat Turki sendiri dengan kerjasama syarikat luar sama ada Rolls-Royce atau syarikat lain.

Panglima TUDM ketika di Paris Air Show 2023. (TUDM)

 

Menurut sumber di dalam kerajaan Turkiye  yang memberitahu media antarabangsa, Turkiye mempunyai tiga program berasingan untuk membangunkan enjin buatan tempatan bagi digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.

Pembangunan enjin bagi pesawat “KAAN” itu disifatkan cabaran paling utama yang boleh menghalang kejayaan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye.

Berbanding pesawat F-35 yang hanya memiliki satu enjin, pesawat “KAAN” dilengkapi dengan dua enjin.

Pesawat pejuang gen-5 Turkiye ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu ia adalah pesawat air-superiority yang  halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), Active Electronically Scanned Array (AESA) radar, kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hypersonic. — DSA

 

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKAANTAITUDMTurkiye