Pakistan Bina Beberapa Sub-Sistem Pesawat Gen-5 Turkiye, “KAAN”

Menurut media Pakistan, beberapa sub-sistem yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima itu bakal dibangunkan di negara Asia Selatan itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dijangka mengikuti jejak langkah Azerbaijan dan menandatangani perjanjian dengan Turkiye untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, “KAAN” yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada akhir ini.

Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI), dengan penerbangan sulung pesawat pejuang itu dijangkakan berlaku pada 27 Disember tahun ini. 

Ia akan menjadikan Turkiye antara beberapa negara dunia yang berkemampuan membina pesaawt pejuang generasi kelima.

Menurut media Pakistan, beberapa sub-sistem yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima itu bakal dibangunkan di negara Asia Selatan itu.

Selain itu,  kemudahan pemasangan pesawat itu (production line) juga akan dibina di Pakistan, untuk menghasilkan pesawat “KAAN” yang bakal digunakan oleh tentera udara negara itu, sebagaimana didakwa oleh media negara itu.

Turkiye dan Pakistan sememangnya mempunyai hubungan pertahanan yang erat dengan Ankara terlibat membantu Islamabad membina kapal-kapal perang dan kapal selam yang kini digunakan oleh tentera laut negara Asia Selatan itu.

Pakistan turut menggunakan dron-dron keluaran Turkiye.

Julai lepas, Azerbaijan telah menandatangani perjanjian dengan Turkiye untuk menjadi negara pertama terlibat dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, KAAN itu.

Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, “KAAN”

Azerbaijan yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Turkiye disasarkan menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang KAAN itu.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotif dilaporkan berkata pihaknya akan menyerahkan kira-kira 20 buah pesawat pejuang “KAAN” daripada varian Block 10 kepada Tentera Udara Turki menjelang tahun 2028.

Pesawat pejuang KAAN itu akan menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Negara itu.

Beliau juga berkata bahawa pesawat “KAAN” apabila sudah beroperasi berkemampuan menangani musuh-musuhnya daripada jarak di antara 200km hingga 300km menggunakan radar serta peluru berpandunya.

TAI akan membangunkan 10 buah pesawat prototaip “KAAN”.

Menandatangani perjanjian penyertaan dalam program pembangunan KAAN antara Turkiye dan Azerbaijan.

 

Kesemua pesawat prototaip itu akan dilengkapi dengan dua enjin buatan General Electric  F110, yang amat dikenali oleh pihak Turkiye kerana ia turut digunakan oleh pesawat-pesawat F-16 C/D milik negara itu yang dipasang dalam negara.

Bagaimanapun untuk pesawat-pesawat produksi bersiri (serial production) “KAAN”, ia akan menggunakan enjin-enjin yang lebih berkuasa dihasilkan oleh syarikat Turki sendiri dengan kerjasama syarikat luar sama ada Rolls-Royce atau syarikat lain.

Menurut sumber di dalam kerajaan Turkiye  yang memberitahu media antarabangsa, Turkiye mempunyai tiga program berasingan untuk membangunkan enjin buatan tempatan bagi digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.

Pembangunan enjin bagi pesawat “KAAN” itu disifatkan cabaran paling utama yang boleh menghalang kejayaan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye.

Berbanding pesawat F-35 yang hanya memiliki satu enjin, pesawat “KAAN” dilengkapi dengan dua enjin.

Pesawat pejuang gen-5 Turkiye ini bakal menggabungkan beberapa ciri iaitu ia adalah pesawat air-superiority yang  halimunan dengan kemampuan serangan darat, kepelbagaian sistem penderia (sensors), Active Electronically Scanned Array (AESA) radar, kawalan jaringan drone dan peluru berpandu hypersonic. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

featuredKAANPakistanSistemTurkiye