Jordan “Senyap-Senyap” Beli Sistem Roket Berganda Buatan China. Elak “Kemarahan” Amerika??

Perolehan sistem roket berganda SR5 dan WM-120 buatan China North Industries Corporation (NORINCO) itu telah mencetuskan pelbagai persoalan tentang hubungan ketenteraan yang “tersembunyi” di antara Jordan dengan China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berkemungkinan besar mahu mengelak “kemarahan” sekutu utamanya Amerika Syarikat, Jordan dilaporkan telah memperolehi sistem roket berganda (Multiple Launch Rocket System) daripada China, tetapi perolehan itu dikatakan dilakukan secara “senyap-senyap.”

Perolehan sistem roket berganda SR5 dan WM-120 buatan China North Industries Corporation (NORINCO) itu telah mencetuskan pelbagai persoalan tentang hubungan ketenteraan yang “tersembunyi” di antara Jordan dengan China.

Ini menjadikan persoalan yang amat menarik kerana sebagaimana yang diketahui ramai di Timur Tengah, Jordan merupakan antara sekutu paling rapat kepada Amerika Syarikat, malah Washington memberikan bantuan ketenteraan berbillion-billion Dolar kepada Amman setiap tahun.

Ia juga menandakan keupayaan China dalam menembusi pasaran pertahanan di salah sebuah negara Timur Tengah yang diketahui adalah sekutu rapat kepada Amerika Syarikat.

Jordan secara tradisinya merupakan negara pembeli sistem persenjataan buatan Amerika Syarikat dan Eropah.

“WM-120 MLRS”

 

China dan syarikat-syarikat pertahanannya semakin berjaya menembusi pasaran persenjataan di Timur Tengah yang sebelum ini dikuasai oleh Amerika Syarikat dan konco-konconya daripada Eropah.

Satu demi satu negara di Timur Tengah “tumbang” dan menjadi pembeli senjata-senjata buatan China dan trend itu akan semakin meningkat pada tahun-tahun mendatang, sekiranya Washington terus-menerus memberikan sokongan membuta-tuli kepada Israel dan menutup mata kepada kekejaman rejim Yahudi itu terhadap penduduk Palestin.

Bagi China pula, ia akan menjadi pemain geo-politik yang utama di Timur Tengah, memberikan saingan kepada Amerika Syarikat.

Walaupun perolehan sistem roket berganda daripada itu tidak diumumkan secara rasmi,tetapi Kor Artilleri Diraja Jordan telah menyiarkan video yang memaparkan aset terbaru tentera Jordan iaitu sistem roket berganda, SR-5 dan WM-120.

Menurut SIPRI (Stockholm International Peace Research Institute), Jordan telah memperolehi empat unit sistem roket berganda WM-80 pada tahun 2010 dan perolehan WM-120 itu membuktikan negara itu telah memperolehi varian terkini sistem roket berganda buatan China itu.

“SR5 MLRS”

 

Sistem roket berganda WM-120 adalah sistem yang baru dibangunkan oleh China,berdasarkan kepada sistem roket berganda WM-80 dan memiliki beberapa penambahbaikan berbanding varian terdahulunya.

Dengan kaliber 273mm dan menggunakan bahan api pepejal (solid fuel), sistem roket berganda WM-120 itu berkeupayaan membedil sasaran sejauh 120km (maksimum) dan 34km (minimum), dengan Circular Error Probable (CEP) 20 meter.

Sistem panduannya pula adalah inertial guidance dan global positioning system (gps).

Sementara itu, sistem roket berganda SR5 pula boleh melancarkan roket-roket dengan kaliber 122mm dan 220mm, sekaligus memberikan fleksibiliti dan kesesuaian di medan peperangan.

Ini membolehkan sistem roket berganda itu dikerahkan untuk beroperasi di pelbagai senario medan peperangan, menjadikan ia aset yang amat berguna untuk tentera Jordan.

“WM-120 MLRS”
“WM-120 MLRS”

 

Menggunakan kenderaan 6×6, sistem roket berganda SR5 memberikan mobiliti, membenarkannya dikerah dengan pantas ke lokasi konflik, suatu ciri-ciri yang penting di dalam peperangan moden dimana kepantasan dan fleksibiliti adalah amat penting.

Sistem roket berganda SR5 itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 70km, sekaligus meningkatan kemampuan artilleri tentera darat Jordan. — DSA

ChinafeaturedJordanRoket
Comments (0)
Add Comment