Jika Israel Ada “Iron Dome”, Turkiye Pula Bakal Bangunkan “Steel Dome”

Menurut laporan media Turkiye, keputusan tentang pembangunan Sistem Pertahanan Udara Berlapis “Steel Dome” itu telah diambil semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Industri Pertahanan Turkiye yang dipengerusikan oleh presiden negara itu, Recep Tayyep Erdogan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jika Israel mempunyai sistem pertahanan udara “Iron Dome”, maka Turkiye juga bakal memiliki Sistem Pertahanan Udara Berlapis (Layered Air Defence System) “Steel Dome.”

Menurut laporan media Turkiye, keputusan tentang pembangunan Sistem Pertahanan Udara Berlapis “Steel Dome” itu telah diambil semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Industri Pertahanan Turkiye yang dipengerusikan oleh presiden negara itu, Recep Tayyep Erdogan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Presiden Turkiye berkenaan perkara itu, ia menyatakan bahawa sistem pertahanan udara itu dibangunkan secara tempatan dan dalam negara.

“Sistem Pertahanan Udara Berlapis Steel Dome itu memastikan sistem pertahanan udara berlapis, sensor serta persenjataan bekerja secara bersepadu di antara satu sama lain di bawah jaringan berstruktur yang membolehkan gambaran udara diwujudkan dan diberikan kepada pusat operasi  dalam real-time dan diserahkan kepada pembuat keputusan dengan bantuan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).”

Sistem Pertahanan Udara Berlapis Steel Dome dibangunkan untuk menjadi “sistem di dalam sistem” oleh industri pertahanan Turkiye.

Peluru berpandu sistem pertahanan udara jarak jauh “SiPER”

 

Menurut maklumat oleh media pertahanan Turkiye, sistem pertahanan udara itu dibangunkan oleh industri pertahanan Turkiye dan menggabungkan pelbagai sistem pertahanan udara yang dibangunkan oleh negara itu.

Sistem-sistem pertahanan udara itu termasuklah — KORKUT, HİSAR-A+, GÖKDEMİR , GÖKER, GÖKBERK, HİSAR-O+ dan SİPER akan berkemampuan untuk beroperasi secara bersepadu.

Selain itu, komponen radar, sistem elektro-optik yang bertugas untuk mengenalpasti, menjejaki dan mengklasifikasi sasaran juga akan berfungsi secara bersepadu di dalam Sistem Pertahanan Udara Berlapis Steel Dome itu.

Sistem Pertahanan Udara Berlapis “Steel Dome” akan menempatkan pelbagai sistem pertahanan udara, radar, sistem elektro-optik, modul komunikasi, stesen pemerintahan dan kawalan dengan Kecerdasan Buatan (AI) menjadi “otak” kepada sistem itu.

Sistem pertahanan udara jarak jauh “SiPER” yang dibangunkan oleh firma ASELSAN yang dikatakan adalah pesaing kepada sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia, akan beroperasi menjaga ruang udara Turkiye bermula pada akhir tahun ini, menggunakan peluru berpandu SiPER Block 1.

Kenderaan pelancar Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana “HISAR-O”

 

Peluru berpandu SiPER Block 1 itu berkeupayaan membedil sasaran udara daripada jarak 70km manakala peluru berpandu SiPER Block II yang sedang diuji pada ketika ini dijangka mula dioperasikan oleh Tentera Udara Turkiye pada tahun depan.

Peluru berpandu SiPER Block II yang mula diuji pada tahun lepas direkabentuk untuk lebih berkeupayaan dan berkemampuan dalam menangani ancaman udara untuk menembak jatuh sasaran udara sehingga 150km jauhnya.

Manakala bagi peluru berpandu SiPER Block 3 yang sedang dibangunkan akan menyaksikan sistem pertahanan udara itu berkemampuan menangani sasaran udara sehingga jarak lebih 200km.

Sistem pertahana udara jarak jauh SiPER mula dibangunkan pada tahun 2018 selepas kontrak ditandatangani antara agensi pembangunan pertahanan Turkiye, SSB dengan ASELSAN, ROKETSAN dan TUBITAKSAGE.

Sasaran utama projek pertahanan udara jarak jauh SiPER adalah untuk memenuhi keperluan Turkiye bagi sistem pertahanan udara altitude tinggi.

Selain sistem pertahanan udara SiPER, Turkiye turut membangunkan sistem pertahanan udara dipanggil “HISAR”.

Sistem pertahanan udara “Iron Dome”

 

Sistem pertahanan udara “HISAR” itu terdiri daripada HISAR-A untuk aras rendah yang telah pun ditauliahkan dalam tentera Turki dan HISAR-U untuk jarak jauh yang bakal menyertai perkhidmatan dalam tentera negara itu.

Sistem pertahanan udara HISAR itu dibangunkan oleh ROKETSAN yang menyumbang peluru berpandu itu manakala syarikat ASELSAN pula membangunkan sistem elektronik bagi sistem pertahanan itu.

Turki membangunkan sistem pertahanan udara HISAR itu dalam usahanya ntuk mewujudkan lapisan pertahanan udara (multi-layered air defence system) daripada aras rendah (HISAR-A), aras sederhana (HISAR-O) dan aras tinggi atau jarak jauh (HISAR-U). — DSA

featuredIron DomeSteel DomeTurkiye