Jeneral Tentera Amerika Akui Kereta Kebal Abrams Hadapi “Mimpi Buruk” di Ukraine

Menurut Pengarah Kenderaan Kombat Masa Hadapan Tentera Amerika Syarikat Brigadier Jeneral Geoffrey Norman, kereta kebal Abrams terpaksa menimba pengalaman buruk ketika beroperasi di Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA)—Seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat mengakui bahawa kereta kebal M1A1 Abrams kebanggaan negara itu tidak bersedia untuk berhadapan dengan realiti peperangan pada konflik antara Russia dan Ukraine.
Menurut Pengarah Kenderaan Kombat Masa Hadapan Tentera Amerika Syarikat Brigadier Jeneral Geoffrey Norman, kereta kebal Abrams terpaksa menimba pengalaman buruk ketika beroperasi di Ukraine.
“Kereta kebal Abrams adalah amat baik (daripada segi pertahanan) apabila berhadapan dengan tembakan langsung daripada kereta kebal lain dan kenderaan armor yang lain.”
“Bagaimanapun kereta kebal Abrams tidak direka untuk bertahan daripada serangan daripada atas atau dipanggil ‘top attack’  sebagaimana yang kita lihat di Ukraine, sama ada daripada peluru berpandu anti-kereta kebal yang menjunam untuk membedil bahagian atasnya atau daripada dron-dron sama ada FPV (First Person View) atau dron berani mati ,” kata beliau.
Secara taktikalnya, kereta kebal Abrams lebih berkesan jika ia bergerak ke hadapan dan melakukan serangan.
Kereta kebal Abrams yang musnah di Ukraine dipamerkan di Victory Park di Moscow
“Namun apabila ia berhenti daripada bergerak, kereta kebal Abrams itu terdedah kepada pelbagai ancaman daripada loitering munitions kepada dron-dron berani mati yang amat murah untuk dibina.
Menurut jeneral tentera Amerika Syarikat itu, kenderaan-kenderaan kombat termasuk kereta kebal kini berhadapan masalah besar dengan dron-dron “FPV” (First Person View) serta sistem persenjataan lain seperti peluru berpandu anti-ketreta kebal.
Seorang pakar armor berkata, apa yang kini adalah mana-mana kenderaan kombat yang  dikerah ke medan peperangan di Ukraine akan berhadapan dengan serangan daripada dron-dron FPV yang dilancar oleh tentera Ukraine atau Russia.
Dron-dron FPV yang boleh dibina daripada harga semurah US$500 (RM2000) seunit adalah amat mudah untuk dikendalikan iaitu hanya dua orang.
Pada Ogos lalu, laporan pemerhati pertahanan Russia mendakwa sebanyak 20 daripada 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada Ukraine, telah pun musnah dibedil Russia.

Kemusnahan terbaru kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan oleh tentera Ukraine itu dilaporkan berlaku di wilayah Kursk, Russia ketika tentera Ukraine menceroboh wilayah Russia itu yang terletak berhampiran sempadan kedua-dua negara itu.
Penganalisis ketenteraan Russia mendakwa 20 buah kereta kebal M1A1 Russia yang musnah itu berlaku di dalam tempoh enam bulan pada tahun ini, tidak lama selepas kereta kebal Amerika Syarikat itu mula dikerahkan ke medan peperangan.
Buat masa ini, sebagaimana dinyatakan oleh penganalisis tentera Russia, majoriti daripada 20 buah kereta kebal M1A1SA Abrams buatan Amerika Syarikat yang telah musnah di Ukraine adalah disebabkan oleh bedilan-bedilan dron FPV (First Person Viev) pihak Russia dan juga dron berani mati “Lancet.”
Kemusnahan dialami kereta-kereta kebal buatan Barat di medan peperangan di Ukraine telah membuatkan penganalisis ketenteraan Barat mempersoalkan sama ada kereta kebal masih mempunyai peranan dalam era peperangan masa kini dan masa depan.
Disebabkan “tidak tahan” dibedil oleh dron-dron Russia, maka Ukraine beberapa bulan lalu telah mengeluarkan arahan diatas permintaan Washington untuk mengeluarkan kereta-kereta kebal M1A1 SA Abrams itu daripada medan-medan pertempuran.
Dron-dron FPV dengan bahan letupan.
Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.
Dron-dron pemantau dan berani mati Russia telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar.
Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.
Kereta-kereta kebal Abrams itu “dikeluarkan” daripada medan pertempuran manakala Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Ukraine untuk mengubahsuai taktik, kata Timbalan Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat Laksamana Christopher Grady yang muncul sebagai pegawai tentera negara itu yang ketiga mengesahkan “nasib” tentang kereta kebal Abrams di Ukraine itu.
Dron Lancet milik Russia
Konflik Ukraine-Russia diperakui sebagai konflik yang paling banyak melihat penggunaan dron atau aset tanpa pemandu — sama ada dron-dron FPV, dron berani mati, dron ISR, Unmanned Surface Vessel (USV) dan pelbagai lagi.
Amerika Syarikat membekalkan 31 buah kereta kebal Abrams berharga US$10 juta (RM45 juta) setiap sebuah kepada Ukraine pada tahun lepas bagi membantu tenteranya menangani serangan armor oleh pihak Russia. — DSA

 

 

AbramsfeaturedFPVUkraine
Comments (0)
Add Comment