Israel Dakwa Ia Berjaya Bunuh Yahya Sinwar

Menurut tentera Israel, pemimpin Hamas yang didakwa bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap negara itu pada 7 Oktober tahun lepas yang mencetuskan konflik terbaru, terbunuh pada Rabu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel mendakwa ia berjaya membunuh pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dalam pertempuran di Rafah, Semenanjung Gaza.
Menurut tentera Israel, pemimpin Hamas yang didakwa bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap negara itu pada 7 Oktober tahun lepas yang mencetuskan konflik terbaru, terbunuh pada Rabu.
“Selepas menyelesaikan proses mengenalpasti mayat, ia boleh disahkan bahawa Yahya Sinwar telah dibunuh,” menurut kenyataan oleh tentera Israel.
“Tentera Israel dan perkhidmatan keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet telah melaksanakan pelbagai operasi sejak setahun yang lalu dan beberapa minggu kebelakangan ini di kawasan mana beliau terbunuh.”
“Pergerakan beliau telah dihadkan, membolehkan kami (tentera Israel) memburu dan seterusnya membunuh beliau,” kata tentera Israel sebagaimana dipetik oleh stesen televisyen berpangkalan di Doha, Qatar “Al Jazeera.”

Buat masa ini, Hamas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang dakwaan oleh tentera Israel bahawa mereka telah berjaya membunuh Yahya Sinwar.
Tentera Israel dilaporkan telah menggunakan rekod pergigian Yahya Sinwar untuk mengesahkan mayat yang ditemuinya di celah-celah runtuhan bangunan di Rafah itu adalah pemimpin Hamas terbabit.
Menurut laporan, ketika mayat Yahya Sinwar ditemui, beliau masih memakai vest kombat manakala kain keffiyeh yang begitu simbolik dengan perjuangan Palestin masih melilit lehernya dan sebelah tangannya masih memegang senjata api AK-47 manakala sebelah lagi tangannya memegang tasbih.
Di dalam bajunya pula ditemui buku bacaaan doa.
Turut sama terbunuh dalam pertempuran itu adalah dua pengawal Yahya Sinwar.

Menurut pemerhati, pemimpin Hamas itu terbunuh ketika bersama-sama pejuang Palestin berjuang di medan peperangan menentang tentera penjajah Israel.
Sekiranya kematian Yahya Sinwar itu disahkan sebagaimana didakwa oleh pihak tentera Israel, maka tempat beliau berkemungkinan besar akan diambil alih oleh Khaled Meshaal, pemimpin nombor dua Hamas.
Yahya Sinwar mengambil alih tampuk pemerintahan Hamas selepas kematian pemimpin nombor satunya, Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam satu kejadian letupan bom yang didakwa dilakukan oleh pihak perisikan Israel di Teheran beberapa bulan lepas. — DSA
featuredIsraelPalestinYahya Sinwar
Comments (0)
Add Comment