Iraq Akan Perolehi 12 Buah Pesawat Pejuang Rafale, Namun Tidak Mendapat “Pakej Penuh”

Namun, sebagaimana yang berlaku terhadap Mesir, pesawat pejuang Rafale yang akan dioperasikan oleh Iraq tidak akan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh atau “Beyond Visual Range” iaitu “Meteor”, dengan alasan untuk memelihara "kelebihan ketenteraan Israel."
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara Arab, Iraq dilaporkan telah bersetuju untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis bernilai USD$3.2 billion (RM13.2 billion), dengan perolehan itu akan dibayar menggunakan minyak.
Iraq adalah antara negara pengeksport minyak terbesar dunia.
Laporan daripada media-media Arab menyatakan bahawa kerajaan Iraq telah pun membuat bayaran pertama berjumlah USD$240 juta (RM1 billion) sama ada dalam bentuk tunai atau penghantaran kargo minyak telah pun dilaksanakan.
Perolehan pesawat pejuang Rafale itu merupakan usaha terkini daripada kerajaan Iraq untuk memodenkan angkatan tenteranya dengan senjata-senjata buatan negara Barat dan “meninggalkan” senjata-senjata buatan Russia yang menjadi tulang belakangnya semasa era pemerintahan Saddam Hussein.
Selain pesawat pejuang Rafale, Iraq juga melakukan perolehan 12 buah helikopter Airbus H225M Caracal dan radar Ground Master yang dibangunkan oleh firma Thales.
“Rafale”
Helikopter H225M itu adalah untuk menggantikan helikopter Mi-17 yang digunakan oleh angkatan tentera Iraq.
Dengan perolehan pesawat pejuang Rafale buatan Perancis itu, Iraq akan menyertai negara pengguna pesawat pejuang Rafale di Timur Tengah yang lain termasuk, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan juga Oman yang bercadang memperolehi di antara 18 hingga 24 buah pesawat pejuang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.
Tentera Udara Iraq mahu menggunakan pesawat pejuang Rafale miliknya itu sebagai salah satu komponen utama dalam sistem pertahanan udaranya, yang turut meliputi pesawat pejuang F-16.
Pesawat pejuang Rafale buatan Perancis kini disifatkan seperti “goring pisang panas” kerana popularitinya dikalangan negara-negara serantau dan luar.
Malah syarikat Dassault Aviation juga telah berjaya menembusi pasaran di Asia Tenggara, dengan Indonesia bersetuju untuk memperolehi sejumlah 42 buah pesawat pejuang Rafale.
“Rafale”
Namun, sebagaimana yang berlaku terhadap Mesir, pesawat pejuang Rafale yang akan dioperasikan oleh Iraq tidak akan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh atau “Beyond Visual Range” iaitu “Meteor”.
Keengganan Perancis membekalkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “Meteor” itu berkemungkinan adalah disebabkan tekanan daripada Israel dan mungkin juga Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan “kelebihan ketenteraan Israel.”
Iraq berkemungkinan akan hanya dibekalkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana “Mica”.
Walaupun adalah antara negara pengguna terbesar pesawat pejuang Rafale di Timur Tengah, namun, Mesir tetap tidak diberikan “pakej penuh” yang bermaksud – Kaherah tidak diberikan kebenaran memiliki peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “Meteor” dan persenjataan strategik yang lain dengan alasan untuk memelihara Kelebihan Kualiti Ketenteraan (Qualitative Military Edge – QME) tentera Israel.
Kaherah dilaporkan terus menekan Perancis supaya memberikannya peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR” yang dibangunkan oleh firma MBDA untuk digandingkan dengan pesawat pejuang Rafale tetapi usahanya gagal.
Peluru berpandu “Meteor BVRAAM”
Israel dikatakan “bimbang” tentang nasib pesawat-pesawat pejuangnya terutama F-16 dan F-15 apabila bertembung dengan pesawat-pesawat pejuang Mesir yang dilengkapkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor BVR” sekiranya konflik bersenjata antara kedua-dua negara itu tercetus.
Iraq bakal menjadi negara pengguna terbaru pesawat pejuang Rafale di Timur Tengah selepas Mesir yang tidak akan diberikan “pakej penuh” peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “Meteor BVR”, hanya semata-mata untuk memelihara kelebihan ketenteraan Israel.
Negara Arab itu berkemungkinan akan hanya dibekalkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana “Mica”, sebagaimana Tentera Udara Mesir. — DSA

featuredIraqMeteorRafale