(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran telah mengumumkan pesawat pejuang buatannya, Qaher-313 (Conquerer atau Penakluk) telah berjaya melakukan penerbangan pertama tanpa pemandu, menandakan detik besar bagi kemampuan industri pertahanan dan aeroangkasa negara Parsi itu.
Bercakap semasa Pameran Aeroangkasa Antarabangsa ke-12 Iran (Iran Airshow) di Pulau Kish, Pengarah Urusan Iran Aviation Industries Aviation (IAIO) Jeneral Afshin Khajefard mengumumkan kejayaan penerbangan pertama pesawat pejuang Qaher-313 tanpa pemandu itu (unmanned).
Pesawat tanpa pemandu Qaher itu adalah berdasarkan kepada pesawat pejuang Qaher-313 yang membuat kemunculan pertamanya pada Februari 2013, yang berkemampuan melakukan penerbangan secara STOL (Short Take Off and Landing).
Jeneral Khajefard turut menekankan inisiatif lain oleh IAIO, termasuk pembangunan pesawat latihan yang dihasilkan dalam negara bagi memastikan keupayaan sendiri dalam latihan juruterbang tanpa perlu bergantung pada pihak luar.
Beliau menyatakan bahawa ini adalah keutamaan utama bagi Kementerian Pertahanan dalam memperlengkapkan Angkatan Tentera.
Ketika diperkenalkan pada umum pada 2013, pentadbiran Iran pada ketika itu mendabik dada bahawa pesawat pejuang generasi kelima buatan industri pertahanannya IAIO itu adalah lebih hebat daripada pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat iaitu F-22 “Raptor” dan F-35 “Lightning.”
Pendedahan “pesawat pejuang generasi kelima” milik Iran itu telah disambut dengan perasaan was-was dan skeptikal oleh penganalisis ketenteraan antarabangsa dan pakar-pakar penerbangan, yang tidak mempercayaai dakwaan bahawa Teheran telah berjaya membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.
Mereka berpendapat bahawa pesawat pejuang gen-5, “Qaher-313” itu hanyalah suatu mock-up untuk menunjukkan kepada rakyat Iran bahawa ia turut memiliki keupayaan untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dan Barat daripada segi teknologi ketenteraan untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.
Pakar-pakar ketenteraan Barat menyifatkan pesawat pejuang gen-5 Iran itu tidak ubah seperti peralatanan prop untuk industri perfileman Hollywood dan tidak mencapai tahap untuk menjadi pesawat pejuang genarasi masa kini.
Malah untuk memanggil Qaher-313 pesawat pejuang generasi keempat juga menurut mereka, adalah sesuatu yang tidak sesuai.
Rekabentuk pesawat itu serta saiznya menurut mereka memiliki terlalu banyak kesalahan daripada segi kejuruteraan avionik menyebabkan mereka percaya bahawa Qaher-313 itu tidak lebih adalah alat propaganda pihak pentadbiran dan ketenteraan Iran pada ketika itu.
Malah pakar-pakar ketenteraan Barat juga mempersoalkan keadaan kokpit pesawat pejuang gen-5 Iran itu yang menurut mereka yang bukan sahaja tidak menunjukkan ciri-ciri gen-5 tetapi juga adalah “terlalu asas” dan lebih sesuai untuk pesawat persendirian yang kecil.
Qaher-313 juga dibina dengan bahagian nose section yang terlalu kecil sehinggakan tidak ada radar yang boleh dimuatkan di dalamnya, manakala bahagian air intakes juga disifatkan terlalu kecil untuk pesawat pejuang gen-5 atau apa-apa pesawat pejuang.
Qaher-313 direka untuk membawa pelbagai jenis persenjataan, termasuk dua bom seberat 2,000 paun, beberapa peluru berpandu pintar berpanduan kecil, atau sekurang-kurangnya enam peluru berpandu udara ke udara yang serupa dengan PL-12.
Pesawat ini dilaporkan dilengkapi dengan satu enjin, yang berkemungkinan merupakan varian reverse engineer daripada enjin turbojet General Electric J85, yang dimiliki Iran daripada pesawat Amerika sebelum tahun 1979 dalam inventori mereka.
Pada Februari 2023, IAIO mengumumkan rancangan untuk menjadikan Qaher-313 menjadi pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memenuhi keperluan unit tentera Iran, dengan penghantaran awal dijangka bermula pertengahan 2024.
Sehingga kini, spesifikasi teknikal terperinci dan data prestasi bagi Qaher-313 masih terhad, dan status operasinya kekal tidak pasti. — DSA