Iran Persiap Juruterbangnya Untuk Operasikan Su-35 Bakal Diterimanya Dari Russia

Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Iran dilaporkan telah memilih 40 orang juruterbang MiG-29 untuk memulakan latihan bagi mengoperasikan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang akan diterimanya daripada Russia tidak lama lagi.

Sebahagian daripada juruterbang MiG-29 itu akan menerima latihan di Russia manakala selebihnya akan menjalani latihan mereka di Iran menggunakan pesawat latihan lanjutan (advanced trainer) Yak-130 milik Tentera Udara Iran.

Memandangkan juruterbang  Tentera Udara Iran sudah pun mahir dan berpengetahuan dalam menerbangkan pesawat pejuang buatan Russia sebelum ini, maka latihan pengendalian pesawat pejuang Su-35 itu dijangka akan berlangsung tanpa sebarang masalah.

Pada November tahun lepas,  Timbalan Menteri Pertahanan Iran Brig Jen Mahdi Farahi menyatakan bahawa negara itu telah memuktamadkan perjanjian dengan Russia untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 dan helikopter tempur Mil Mi-28 “Havoc”.

Iran telah pun menerima pesawat pejuang ringan merangkap pesawat FLIT (Fighter Lead-In Trainer) Yak-130 “Mitten” buatan Russia pada September tahun lalu

Su-35

 

Pesawat latihan Yak-130 “Mitten” itu akan membolehkan Iran melatih juruterbang-juruterbangnya mengendalikan pesawat pejuang generasi 4+++ seperti Su-35 dan juga pesawat pejuang generasi kelima seperti Su-57 “Felon.”

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Iran itu,  proses untuk memastikan pesawat pejuang Su-35 dan helikopter tempur itu dimiliki oleh Iran telah pun selesai dan kesemua aset Angkatan Tentera Iran itu akan berada di dalam pegangan negara itu tidak lama lagi.

Iran tidak membeli sebarang pesawat pejuang baru beberapa tahun kebelakangan ini, kecuali beberapa pesawat pejuang MiG-29 yang diperolehinya pada tahun-tahun 1990-an.

Sejak tercetusnya konflik bersenjata di antara Russia dan Ukraine dua tahun lepas, Teheran dan Moscow telah meningkatkan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara.

Iran dilaporkan memperolehi sebanyak 24 buah pesawat pejuang Su-35 buatan Russia itu.

Pada awalnya, kesemua 24 buah pesawat pejuang Su-35 sepatutnya dijual kepada Mesir, tetapi Kaherah membatalkan pembelian itu selepas diancam oleh Amerika Syarikat akan dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekira ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.

Selepas Mesir membatalkan pembelian pesawat Su-35 itu, Russia bertindak menjual pesawat itu kepada Iran.

Penerimaan pesawat pejuang generasi 4++ buatan Russia itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.

Pesawat latihan YAK-130 milik Iran

 

 

Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.

Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.

Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.

Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.

Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China. — DSA

 

featuredIranMiG-29RussiaSu-35