(VIDEO) Iran Lancar 200 Peluru Berpandu Ballistik Terhadap Israel, Guna “Fattah” Buat Pertama Kali

(VIDEO) "Jika rejim Zionis bertindak balas terhadap operasi Iran, ia akan menghadapi serangan yang lebih dahsyat," kata Kor Pengawal Revolusi Islam  dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Fars. 
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengancam untuk melancarkan “serangan balas yang lebih dahsyat” terhadap Israel jika negara Yahudi itu bertindak balas terhadap serangan kira-kira 200 butir peluru berpandu ballistik oleh Israel terhadap Israel.
“Jika rejim Zionis bertindak balas terhadap operasi Iran, ia akan menghadapi serangan yang lebih dahsyat,” kata Kor Pengawal Revolusi Islam  dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Fars.
IRGC menyatakan bahawa serangan tersebut adalah “selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”
Ia menyatakan bahawa serangan peluru berpandu ballistik itu dilakukan “selepas tempoh bersabar” oleh Iran berikutan “serangan terhadap kedaulatan” Iran – merujuk kepada pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada akhir Julai.
Antara peluru berpandu yang digunakan terhadap Israel termasuk peluru berpandu hypersonik “Fattah” dan juga Kheybar-Shekan.
Ini merupakan kali pertama Iran melancarkan peluru berpandu hypersonik “Fattah” sejak diperkenalkan.
 Peluru berpandu hypersonik Iran yang pertama dipanggil “Fattah” dan boleh meluncur selaju Mach 15, dengan Teheran mendakwa ia tidak boleh dipintas oleh mana-mana sistem pertahanan udara disebabkan kelajuannya yang tinggi.
Pihak berkuasa Iran mendakwa peluru berpandu hypersonik “Fattah”yang dicat serba hitam itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,400 km.
Menurut media Iran, “Fattah” mampu meluncur dengan kelajuan Mach 15 atau lebih 5,000 meter satu saat dan tidak ada sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dan Israel yang canggih mampu memintasnya.
Pemerhati ketenteraan serantau menyatakan bahawa pembangunan peluru berpandu hypersonik “Fattah” itu akan meningkatkan lagi kebimbangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap kemampuan teknologi peluru berpandu yang dimiliki oleh Teheran.
Iran melancarkan beberapa siri peluru berpandu yang menyasarkan hab komersial Israel, Tel Aviv dan beberapa pangkalan tentera serta pangkalan udara tentera Israel yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang tentera Yahudi termasuk F-35.
Amerika Syarikat sebelum ini telah memberi amaran mengenai serangan peluru berpandu balistik Iran yang bakal berlaku ke atas Israel dan menyatakan bahawa ia akan membawa “akibat yang teruk” kepada Tehran.
Media Iran menyiarkan rakaman dalam talian yang mereka dakwa menunjukkan peluru berpandu dilancarkan ke arah Israel.
Televisyen kerajaan memainkan muzik rancak di atas rakaman itu sambil penyampai beritanya bercakap mengenai “keberanian rakyat Iran.”
Serangan peluru berpandu Iran itu merupakan serangan kedua Iran ke atas Israel dalam tempoh enam bulan yang lalu, selepas serangan peluru berpandu dan dron pada bulan April sebagai balasan terhadap serangan udara maut Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik.
Serangan Israel ke atas Beirut pada hari Jumaat telah membunuh pemimpin Hizbollah, Hassan Nasrallah.
Nasrallah terbunuh bersama Jeneral Abbas Nilforoushan, seorang komander tertinggi Pasukan Quds, cabang operasi luar negara IRGC.
Iran berikrar bahawa pembunuhan Nilforoushan “tidak akan dibiarkan begitu sahaja.”
Peluru berpandu hypersonik Iran “Fattah”
Pada Perhimpunan Agung PBB bulan lalu di New York, Presiden Masoud Pezeshkian menuduh Israel sebagai penghasut perang ketika Iran mengambil pendekatan bersabar.
Beliau mencadangkan bahawa Tehran menahan diri daripada bertindak balas terhadap pembunuhan Haniyeh, kerana bimbang ia akan menggagalkan usaha damai yang disokong Amerika Syarikat dalam perang Gaza.
“Kami cuba untuk tidak bertindak balas. Mereka terus memberitahu kami bahawa kami hampir mencapai perdamaian, mungkin dalam masa seminggu atau lebih,” katanya.
Pada Ahad, Pezeshkian berkata bahawa janji-janji oleh Amerika Syarikat dan sekutunya mengenai “gencatan senjata sebagai pertukaran kerana Iran tidak bertindak balas terhadap pembunuhan Haniyeh adalah sama sekali palsu.”
Beliau menambah bahawa “memberi peluang kepada penjenayah ini (Israel) hanya akan menggalakkan mereka untuk melakukan lebih banyak jenayah.”
Iran tidak mengiktiraf Israel, dan telah menjadikan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai teras dasar luar negara sejak Revolusi Islam pada tahun 1979.
Tehran memuji serangan sekutunya Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, yang mencetuskan perang Gaza, tetapi menafikan sebarang penglibatan. — DSA

FattahfeaturedIranPeluru berpandu
Comments (0)
Add Comment