(VIDEO) Iran Kini Operasi Dron Berani Mati Terbaru, Mirip “Lancet” Buatan Russia

(VIDEO) Media-media Iran yang mendedahkan dron berani mati Iran yang rekabentuknya hampir sama dengan dron berani mati Russia “Lancet”, tidak menyatakan nama dron berani mati terbaru Iran itu yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Iran dilaporkan telah mengoperasikan dron berani mati yang rekabentuknya adalah hampir sama dengan dron berani mati “Lancet” milik Russia yang telah digunakan dengan berkesan terhadap tentera Ukraine pada konflik yang sedang berlaku di antara kedua-dua negara itu.

Media-media Iran yang mendedahkan kemunculan dron berani mati terbaru Iran yang rekabentuknya hampir sama dengan dron berani mati Russia “Lancet”, tidak menyatakan nama dron berani mati terbaru Iran itu yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Dron “Lancet” Russia itu dibangunkan oleh syarikat ZALA Aero.

Kehadiran dron berani mati terbaru Iran yang dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu dijangka akan meningkatkan lagi keberkesanan anggota tentera Iran ketika berhadapan dengan tentera musuh.

Pada ketika ini, tentera Iran menggunakan beberapa jenis dron berani mati seperti Meraj 521 dan juga Sina yang dibangunkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan juga Kementerian Pertahanan Iran.

Ketika latihan tentera Great Prophet 18 yang baru sahaja berlangsung, IRGC diketahui telah membuat pelaburan yang besar di dalam aspek dron berani mati dan melengkapkannya unit-unitnya dengan dron-dron berani mati seperti “Shahed 131” dan juga “Shahed-136”.

Iran berkemungkinan tertarik dengan kemampuan dan prestasi dron berani mati Russia, “Lancet” yang telah menunjukkan kemampuan dalam memusnahkan pelbagai jenis sasaran di Ukraine termasuk kereta-kereta kebal yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

 Diantara Februari 2022 hingga Disember 2023, pihak tentera Russia telah mengerah sejumlah 872 buah dron berani mati Lancet dan ia telah berjaya memusnahkan sejumlah 698 sasaran pihak Ukraine.

ZALA Aero, syarikat Russia yang membangunkan dron berani mati Lancet itu berkata sistem itu telah berjaya memusnahkan 80 peratus daripada sasaran-sasaran tentera Ukraine daripada keseluruhan 872 dronnya yang dikerahkan sejak konflik antara dua negara jiran itu berlaku.

ZALA Aero merupakan anak syarikat kepada Kalashnikov Concern, syarikat pembuat senjatapi AK-47 yang  terkenal bukan sahaja di Russia tetapi di seluruh dunia.

Dron berani mati”Lancet” dibangunkan syarikat Russia, ZALA Aero.

 

Dron berani mati “Lancet” itu amat digeruni oleh tentera Ukraine dan kini senjata itu menjadi lebih berbahaya selepas dinaiktaraf oleh syarikat pembuatnya itu dengan melengkapkan dron kamikaze itu dengan kemampuan Artificial Intelligence (AI).

Jikalau sebelum ini, dron berani mati itu dikawal oleh anggota tentera Russia daripada jauh tetapi kini laporan terbaru mengatakan dron “Lancet” itu kini beroperasi secara otonomi tanpa sebarang kawalan daripada manusia menerusi kemampuan AI miliknya.

Dalam ertikata sebenarnya, dron berani mati keluaran ZALA Aero itu kini boleh mengesan, mengenalpasti dan membedil sasarannya sendiri tanpa sebarang campurtangan atau kawalan daripada pengendalinya.

Dalam video-video yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluarnya, dron “Lancet” itu telah berjaya memusnahkan pelbagai senjata sepanjang dua tahun konflik di Ukraine seperti kereta kebal, meriam, kereta perisai dan bot-bot pendaratnya.

Salah satu peningkatan yang paling ketara dilakukan terhadap dron berani mati Lancet itu adalah kemampuannya untuk beroperasi dalam keadaan sukar dikesan oleh pihak musuh terutamanya apabila ia dilengkapkan dengan modul optical.

Pihak tentera Ukraine mengesan penggunaan modul optical yang menyaksikan dron itu mampu beroperasi dalam keadaan paling sukar dan waktu malam pada Disember tahun lepas.

Anggota tentera Iran melancarkan dron kamikaze “Sina.”

 

Bernilai hanya US$35,000 (RM157,000) sebuah, Russia menggunakan dron berani mati “Lancet” itu untuk memusnahkan senjata-senjata milik Ukraine yang harganya jauh lebih mahal seperti sistem artilleri dan sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Syarikat pembuat dron berani mati Russia itu, ZALA Aero menyatakan bahawa “Lancet” berkemampuan untuk terbang dan menyerang sasarannya pada jarak di antara 60km hingga 110km.

Menurut Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu, sebanyak 45 peratus daripada kelengkapan tentera Ukraine terutamanya sistem artilleri yang dibekalkan oleh negara-negara NATO telah dimusnahkan oleh dron berani mati “Lancet”.

Sumber-sumber tentera Russia sebagaimana dipetik oleh media negara itu mengatakan bahawa dron berani mati bertanggungjawab terhadap kemusnahan 80 peratus sistem artilleri bergerak M109 Paladin dan 25 peratus daripada meriam M777 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat. — DSA

 

featuredIranLancetRussia