Iran Dilapor Mulakan Langkah Pertama Untuk Peroleh JF-17 Block III Dibangun Pakistan, China
Beberapa media pertahanan Arab mendakwa tujuan utama kunjungan Panglima Tentera Udara Iran itu ke Pakistan adalah untuk memulakan langkah awal bagi membolehkan Iran memiliki pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Tentera Udara Iran Brig Jen Hamed Wahidi dilaporkan kini berada di Pakistan, mengetuai delegasi pegawai-pegawai kanan tentera negara itu bagi mengeratkan lagi hubungan pertahanan di antara dua negara yang berjiran.
Semasa kunjungannya ke Pakistan, beliau akan menyaksikan latihan udara Indus Shield 2024 dan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya daripada Pakistan Marshal Zaheer Ahmad Babar di Islamabad.
Beberapa media pertahanan Arab mendakwa tujuan utama kunjungan Panglima Tentera Udara Iran itu ke Pakistan adalah untuk memulakan langkah awal bagi membolehkan Iran memiliki pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG).
Iran dlaporkan berminat untuk melihat dengan lebih dekat varian terkini pesawat pejuang itu, JF-17 Block III yang turut mengintergrasikan beberapa teknologi pesawat pejuang generasi kelima.
Minat Tentera Udara Iran terhadap varian terkini JF-17 itu dikatakan meningkat selepas usahanya untuk memiliki pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh China tidak berjaya disebabkan keengganan Beijing untuk membekalkannya.
Pada mulanya Teheran dikatakan cuba untuk memiliki sejumlah 36 buah pesawat pejuang J-10C, tetapi rundingan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan disebabkan isu bayaran bagi pembelian pesawat-pesawat itu.
China dikatakan mahu Iran membayar penjualan pesawat itu dengan wang tunai, manakala Teheran mahu melunaskan pembeliaan itu menggunakan minyak.
Iran dikatakan telah melipatgandakan usaha untuk memodenkan tentera udaranya, yang dianggap cabang ketenteraannya yang paling lemah, disebabkan oleh sekatan ekonomi negara-negara Barat sehingga menyebabkan Tentera Udara Iran terpaksa menggunakan pesawat-pesawat pejuang yang telah usang.
Disebabkan sekatan ekonomi yang ketat, Tentera Udara Iran masih menggunakan pesawat-pesawat pejuang usang seperti F-14 Tomcat, F-5 dan F-4 buatan Amerika Syarikat yang diperolehinya ketika negara Parsi itu masih diperintah oleh Shah Iran.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memodenkan tentera udaranya, Iran dilaporkan telah berjaya mencapai persetujuan dengan Russia untuk memasang pesawat-pesawat pejuang Su-35 (Flanker-E) dan juga Su-30 di dalam negara.
Persetujuan dengan Russia itu dilaporkan adalah sebahagian daripada kerjasama pertahanan kedua negara yang semakin erat selepas Iran bertindak mengeksport pelbagai jenis senjata daripada dron-dron berani mati kepada peluru-peluru berpandu ballistik ke Russia untuk membantu Kremlin dalam kempen ketenteraannya di Ukraine.
Menurut pemerhati, dengan pemasangan dalam negara, bilangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Iran boleh mencecah lebih daripada 100 buah pesawat dalam tempoh terdekat.
Kerjasama di antara Iran dan Russia berkenaan pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 dalam negara itu merupakan suatu “berita buruk” kepada beberapa negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah, kerana kekuatan udara yang selama didominasi mereka kini bakal dicabar oleh Teheran.
Laporan menyatakan bahawa Iran akan memasang di antara 48 buah hingga 77 buah pesawat pejuang Su-35 (Flanker-E) di dalam negara dengan kerjasama Russia, manakala bilangan pesawat pejuang Su-30 yang akan dipasang dalam Iran masih tidak pasti,tetapi ia berkemungkinan adalah lebih tinggi ketimbang pesawat pejuang Su-35.
Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block III itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block II adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India. — DSA