India “Hadiah” Kapal Korvet Miliknya, INS Kirpan Kepada Vietnam

Menteri Pertahanan India menyatakan bahawa pemberian kapal perang kepada Vietnam itu merupakan suatu detik bersejarah dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan tentera laut negara Asia Tenggara itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India “menghadiahkan” sebuah kapal korvet miliknya, INS Kirpan kepada Vietnam dalam usaha kedua-dua negara meningkatkan kerjasama pertahanan ketika tentera China meningkatkan tindakan agresifnya.

Pemberian kapal korvet kepada Vietnam itu diumumkan ketika Menteri Pertahanan negara Asia Tenggara, Jeneral Phan Van Giang bertemu dengan rakan sejawatannya daripada India Rajnath Singh di New Delhi.

Kedua-dua negara itu terpaksa berhadapan dengan China yang semakin bertindak agresif di Laut China Selatan dan Lautan Hindi serta di perbatasan pergunungan antara India dan Beijing.

INS Kirpan

 

Menteri Pertahanan India menyatakan bahawa pemberian kapal perang kepada Vietnam itu merupakan suatu detik bersejarah dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan tentera laut negara Asia Tenggara itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China kerap menghantar kapal-kapal pengawal pantainya serta kapal penyelidik untuk menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Vietnam bertujuan menganggu aktiviti minyak dan gas di perairan terbabit.

Insiden terbaru berlaku beberapa minggu lepas, dengan China telah menghantar “segerombolan” kapal-kapal pengawal pantainya ke dalam perairan ZEE Vietnam untuk mengiringi kapal penyelidik marinnya menjalankan kajian dasar laut.

Kapal korvet kelas-Khukri, INS Kirpan itu merupakan kapal perang yang dibina dan direkabentuk oleh industri pertahanan India, memiliki berat sebanyak 1,350 tan dan telah ditauliahkan ke dalam Tentera Laut India pada tahun 1991.

Kapal korvet INS Kirpan itu dilengkapkan dengan empat butir peluru berpandu anti-kapal buatan Russia,P-20 , sistem pertahanan udara “Strela” serta sebuah helikopter, HAL Chetak.

Brahmos

 

Dengan kelajuan 25 knot, kapal perang India yang bakal dimiliki oleh Tentera Laut Vietnam itu mampu membawa kira-kira 80 orang anak kapal dan berkemampuan beroperasi sejauh 4,000 batu nautika.

Selain menghadiahkan sebuah kapal korvet kepada Vietnam, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di dalam bidang industri pertahanan dan latihan tentera termasuk membabitkan kapal-kapal selam kedua-dua negara.

India juga dikatakan sedang berusaha keras untuk menjadikan Vietnam sebagai negara Asia Tenggara yang kedua selepas Filipina untuk memiliki peluru berpandu anti-kapal “BrahMos” yang dibangunkannya bersama-sama Russia.

Selain peluru berpandu anti-kapal “Brahmos”, India juga sedang cuba “memujuk” Vietnam untuk memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara “Astra Mk1 ” bagi digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang buatan Russia milik tentera udara. 

Peluru berpandu BVR “Astra” buatan India

 

Peluru berpandu yang dibangunkan oleh industri tempatan India, Bharat Dynamics akan digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang negara itu seperti Su-30MKI, Tejas dan MiG-29K serta pesawat-pesawat pejuang lain,  sekaligus mengurangkan kebergantungannya terhadap sistem persenjataan negara luar.

India mensasarkan negara-negara yang menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia seperti Malaysia yang mengoperasikan 18 buah pesawat Su-30MKM dan Vietnam yang mengoperasikan 32 buah pesawat pejuang Su-30MK2 sebagai pelanggan berpotensi untuk peluru berpandu udara-ke-udara “Astra Mk1” itu.

Dengan jarak lebih 100km itu, pesawat-pesawat pejuang yang membawa Astra Mk1 sememangnya memiliki kelebihan dalam pertempuran udara BVR. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChinafeaturedINS KirpanKapal PerangKorvet
Comments (0)
Add Comment