Insiden KRI Nanggala Imbau Kembali Kehilangan Kapal Selam “Ara San Juan” Pada 2017

Kapal selam “Ara San Juan” adalah daripada jenis TR-1700 yang dibangunkan oleh syarikat Jerman, Thyssen Nordseeweke dan mula digunakan oleh tentera laut Argentina pada 1983.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Insiden “kehilangan” kapal selam Indonesia, KRI Nanggala-402 beberapa hari lepas telah mengimbau kembali insiden yang berlaku pada pada 15 November 2017, apabila sebuah kapal selam Tentera Laut Argentina iaitu “Ara San Juan S-42” juga gagal dikesan selepas terlibat dalam satu latihan di kawasan pesisiran pantai negara itu.

Ara San Juan (S-42) dan KRI Nanggala-402, nombor pennant pun hampir sama dan kedua-dua kapal selam pun dibuat di Jerman.

Kapal selam “Ara San Juan” adalah daripada jenis TR-1700 yang dibangunkan oleh syarikat Jerman, Thyssen Nordseeweke dan mula digunakan oleh tentera laut Argentina pada 1983.

Pada awal November tahun tersebut, kapal selam Argentina itu telah terlibat dengan satu latihan di Tierra del Fuego yang turut melibatkan penembakan sasaran iaitu bekas kapal tentera laut negara itu, ARA Comodoro Sommelera.

Selepas menamatkan latihan itu, kapal selam ARA San Juan itu berkunjung ke Ushuaia dan selepas itu barulah ia memulakan pelayaran ke pangkalannya yang terletak di Mar de Plata.

Bagaimanapun pada 17 November 2017, tentera laut Argentina mengumumkan bahawa ia gagal berkomunikasi dengan kapal selam itu, kira-kira dua hari selepas Ara San Juan itu “hilang” tidak dapat dikesan ketika belayar balik ke Mar de Plata.

Bangkai kapal selam “Ara San Juan” di kedalaman 907 meter.

 

Serentak dengan itu, Argentina juga melancarkan misi mencari dan menyelamat kapal selam yang malang itu dengan bantuan beberapa negara asing.

Musuh ketat Argentina iaitu Britain turut terlibat dalam misi mencari kapal selam Ara San Juan itu.

Kapal selam tentera laut Argentina seberat 2100 tan berkuasa diesel-elektrik itu membawa 44 orang anak kapal termasuk anggota kapal selam pertama negara itu, Eliana Krawczyk.

Tentera Laut Argentina turut mengumumkan bahawa kapal selam Ara San Juan itu membawa bekalan oksigen selam tujuh hari.

Pada 20 November 2017, tentera laut Argentina mengumumkan bahawa peringkat kritikal semakin menghampir misi mencari dan menyelamat kapal selam itu berikutan bekalan oksigen selama 7-9 hari ini walaupun bekalan makanan mencukupi untuk kira-kira 90 hari ini.

Pada 21 November 2017, kawasan misi SAR kapal selam itu meliputi kawasan seluas 482, 507 km per-segi tetapi masih gagal mengesan lokasi kapal selam Ara San Juan dan 44 anak kapalnya.

Pada 30 November 2017, tentera laut Argentina mendedahkan bahawa terdapat kebocoran pada snorkel kapal selam itu membolehkan air laut memasukinya dan mengalir ke bahagian simpanan bateri terletak di hadapan kapal selam sehingga menyebabkan kebakaran.

Bagaimanapun krew kapal selam itu berjaya memadam kebakaran dengan memutuskan fungsi bekalan bateri itu.  Kapal selam meneruskan pelayaran ke Mar de Plata menggunakan bateri yang terletak di bahagian belakangnya.

Pada hari yang sama juga tentera laut Argentina mengumumkan ia telah menamatkan misi menyelamat krew dan hanya memfokuskan misi mencari Ara San Juan,  atau dalam lain perkataan ia menerima kenyataan bahawa krew kapal selam itu kemungkinan besar telah menemui ajal.

Pada 17 November 2018 iaitu selepas satu tahun dua hari, usaha mengesan kapal selam itu berhasil apabila ia berjaya berjaya ditemui di dasar Lautan Atlantik di kedalaman 907 meter.

Ia ditemui oleh syarikat seabed survey Amerika Syarikat iaitu “Ocean Infinity” yang menerima habuan sebanyak US$7.5 juta kerana menemui kapal selam Ara San Juan itu.

Ara San Juan itu ditemui terdampar di kedalaman tersebut dengan beberapa bahagiannya bersepah di beberapa lokasi, berkemungkinan akibat tekanan yang amat kuat di kedalaman laut yang terlalu ekstrim itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Ara San JuanArgentinaKapal SelamKRI NanggalaMar de Plata