Arab Saudi Dilapor Tolak Tawaran China Jual Pesawat Pejuang Generasi Kelima J-35A
Sebuah akhbar India memetik pakar mendakwa Xi Jinping berharap jika kuasa besar Teluk seperti Arab Saudi membeli pesawat pejuang J-35 buatan China, ia bukan sahaja akan menutup ruang bagi senjata buatan Amerika di Timur Tengah, tetapi juga meningkatkan jualan senjata Beijing di rantau itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi dilaporkan menolak tawaran China untuk menjual pesawat pejuang generasi kelimanya, J-35A, sekaligus memberikan tamparan hebat kepada strategi Timur Tengah Presiden China, Xi Jinping, yang mahukan negara-negara Teluk menggantikan sistem persenjataan buatan Amerika dengan senjata keluaran China.
Sebuah akhbar India memetik pakar mendakwa Xi Jinping berharap jika kuasa besar Teluk seperti Arab Saudi membeli pesawat pejuang J-35 buatan China, ia bukan sahaja akan menutup ruang bagi senjata buatan Amerika di Timur Tengah, tetapi juga meningkatkan jualan senjata Beijing di rantau itu.
Namun, walaupun Beijing berusaha menembusi pasaran senjata di Timur Tengah, Arab Saudi tetap mengadakan perbincangan dengan United Kingdom, Itali, dan Jepun semasa sidang kemuncak G-20 di India untuk membangunkan pesawat pejuang generasi keenam.
Keengganan Arab Saudi memperoleh pesawat pejuang generasi kelima J-35A itu dilihat sebagai tamparan hebat terhadap usaha China untuk melemahkan dominasi Barat di rantau Timur Tengah serta memperluaskan pasaran senjatanya di rantau yang kaya dengan sumber minyak itu.
Selain pesawat pejuang generasi kelima J-35A, pada akhir tahun lepas Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye akhir tahun lepas itu.
Ketika lawatannya ke Turkiye itu, Putera Turki telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pertahanan negara Mediterranean itu termasuk Roketsan, Aselsan dan syarikat pembuat “KAAN” iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI).
China’s J-35A
Selain KAAN, Tentera Udara Arab Saudi turut dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat pembuat pesawat Rafale, F-15EX dan juga Eurofighter Typhoon.
Selain itu, dengan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, Arab Saudi memasang cita-cita untuk memiliki pesawat pejuang F-35 Lightning II.
Pada ketika, hanya Pakistan yang telah pun menyuarakan hasratnya untuk memiliki pesawat pejuang J-35A.
Selepas beberapa bulan menjadi bahan spekulasi media-media, akhirnya Pakistan pada Dis tahun lepas menyatakan bahawa ia bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.
Laporan tentang perolehan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu muncul selepas panglima tertinggi Angkatan Tentera China (PLA) Jeneral Zhang Youxia, melawat Islamabad dan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Panglima Angkatan Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir.
Pesawat pejuang generasi kelima J-35A buatan China
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Pada Airshow China 2024 yang berlangsung di Zhuhai November lalu,China telah mendedahkan gambar rasmi pertama pesawat pejuang generasi kelima J-35A.
J-35A merupakan pesawat pejuang generasi kelima kedua buatan China selepas J-20 “Mighty Dragon”, yang tidak dieksport ke luar negara kerana sensitiviti komponen dan teknologinya.
Pesawat J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation, merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima yang direka untuk operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
Shenyang J-35A merupakan pesawat pejuang pelbagai peranan generasi kelima terkini buatan China yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC). Walaupun spesifikasi teknikal rasmi masih terhad, maklumat yang tersedia termasuk:
Reka Bentuk dan Peranan:
J-35A adalah pesawat pejuang halimunan dua enjin yang mampu beroperasi dalam semua keadaan cuaca. Ia direka untuk misi penguasaan udara dan serangan darat. Pesawat ini adalah pesawat pejuang generasi kelima kedua China selepas J-20 “Mighty Dragon.”
Kelajuan:
Laporan menunjukkan bahawa J-35A mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 2.0, melebihi kelajuan maksimum F-35 yang hanya Mach 1.6.
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
Enjin:
Pesawat ini dilengkapi dengan dua enjin, meningkatkan daya tujahan (thrust) dan keupayaan manuvernya.
Ciri Halimunan (Stealth):
J-35A dilengkapi dengan teknologi halimunan canggih, termasuk radar cross section yang dikurangkan dan ruang senjata dalaman untuk meminimumkan pengesanan musuh.
Avionik dan Sensor:
Pesawat ini dilengkapi dengan avionik dan sistem sensor moden yang direka untuk meningkatkan kesedaran situasi dan keupayaan sasaran.
Varian:
Terdapat dua varian yang dilaporkan: versi darat untuk Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF) dan versi berasaskan kapal pengangkut yang dioptimumkan untuk pelepasan menggunakan catapult bagi Tentera Udara Lautan Pembebasan Rakyat (PLANAF).