Indonesia Tempatkan Rafale Miliknya di Pangkalan Udara Pekanbaru dan Pontianak

Kedua-dua LANUD yang akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) adalah LANUD Roesmin Nurjadin di Pekanbaru dan di LANUD Supadio di Pontianak.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale yang diperolehinya daripada Perancis di dua Pangkalan Angkatan Udara (LANUD) iaitu di Pekanbaru, Riau dan Pontianak di Kalimantan Barat.
Kedua-dua LANUD yang akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) adalah LANUD Roesmin Nurjadin di Pekanbaru dan di LANUD Supadio di Pontianak.
Pesawat-pesawat pejuang Rafale yang bakal memasuki perkhidmatan TNI-AU itu akan  menggantikan armada pesawat pejuang ringan BAE Hawk 100/200 yang pada ketika ini dioperasikan oleh Skudron Udara 1 di Pontianak dan Skuadron Udara 12 di Pekanbaru
Penempatan pesawat-pesawat pejuang Rafale di LANUD di Pekanbaru dipercayai adalah usaha TNI-AU untuk meningkatkan pemantauan udara terhadap Selat Melaka manakala penempatan Rafale di Pontianak kemungkinan bertujuan memantau lebih rapat sebarang perkembangan di perairan sekitar Natuna yang kaya dengan sumber minyak dan gas,
Perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale oleh Indonesia merupakan elemen penting dalam program permodenan Tentera Nasional Indonesia terutama Angkatan Udaranya.
Indonesia dijangka menerima pesawat pejuang Rafale miliknya yang pertama pada tahun 2026.
“Rafale”
Kemudahan di kedua-dua LANUD seperti hangar, kemudahan penyimpanan peluru dan bom serta pelbagai kemudahan lain itu telah dinaiktaraf sebelum ia menerima pesawat-pesawat pejuang Rafale.
 Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Indonesia dalam kenyataan berkata Menteri Pertahanan republik itu  Sjafrie Sjamsoeddin telah mengadakan pertemuan dengan Air Chief Marshal M. Tonny Harjono di Jakarta untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu untuk mengintergrasikan aset terbaru TNI-AU itu.
Antara langkah paling penting dalam usaha mengintegrasikan pesawat pejuang Rafale ke dalam armada TNI-AU menyentuh tentang aspek latihan juruterbang yang dijangkakan akan bermula pada Julai tahun ini.
Sekumpulan juruterbang TNI-AU akan dihantar ke Perancis untuk menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh instructor Tentera Udara Perancis.
Menurut Air Chief Marshal Harjono latihan juruterbang TNI-AU itu adalah kritikal bagi memastikan pengoperasian pesawat pejuang Rafale yang berkesan, selain meningkatkan lagi kemampuan udara negara itu.
Awal tahun ini, Indonesia telah memuktamadkan proses perolehan 18 buah lagi pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis, menjadikan keseluruhan pesawat yang telah dimuktamadkan pembeliannya oleh negara Asia Tenggara itu kepada 42 buah.
Pesawat pejuang “Rafale” Mesir
Pemuktamadan proses perolehan 18 buah pesawat pejuang itu menyusuli proses yang sama pada Ogos tahun lepas untuk 18 buah pesawat dan pada Sept 2022 untuk perolehan enam buah pesawat, menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Rafale diperolehi Indonesia sebanyak 42 buah.
Perolehan 42 buah pesawat Rafale oleh Jakarta itu dianggarkan menelan belanja RM32 bilion.
Indonesia dan Perancis menandatangani perjanjian perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale diperbuat Dassault Aviation pada awal tahun 2022.
Pembelian pesawat pejuang Rafale oleh Indonesia telah menarik perhatian para penganalisis pertahanan, yang melihat langkah ini sebagai tindakan strategik untuk meningkatkan kemampuan pertahanan udara dan meningkatkan kedudukan geopolitik Indonesia di kawasan Indo-Pasifik.
Menurut Alfin Febrian Basundoro dalam Jurnal Hubungan Internasional, perolehan pesawat pejuang Rafale akan menjadi instrumen penting dalam strategi strategic hedging Indonesia di Indo-Pasifik.
Langkah ini memungkinkan Indonesia untuk menjaga keseimbangan kekuatan di tengah meningkatnya ketegangan, khususnya berkaitan dengan peningkatan kemampuan ketenteraan Tentera Laut China di Laut China Selatan.
“Rafale”
Berikut adalah spesifikasi teknikal pesawat pejuang Dassault Rafale:
Umum
  • Pengeluar: Dassault Aviation (Perancis)
  • Jenis: Pesawat pejuang pelbagai peranan (multirole fighter)
  • Varian: Rafale B (dua tempat duduk), Rafale C (satu tempat duduk), Rafale M (varian kapal pengangkut pesawat)
Dimensi
  • Panjang: 15.3 meter
  • Rentang Sayap: 10.9 meter
  • Tinggi: 5.3 meter
  • Luas Sayap: 45.7 meter persegi
Berat
  • Berat Kosong: 10,300 kg
  • Berat Maksimum Ketika Berlepas (MTOW): 24,500 kg
  • Berat Bahan Api Dalaman: 4,700 kg
Prestasi
  • Kelajuan Maksimum: Mach 1.8 (sekitar 2,222 km/j)
  • Jarak Operasi: 3,700 km (dengan tangki bahan api tambahan)
  • Jarak Tempur: 1,852 km
  • Ketinggian Maksimum: 50,000 kaki (15,240 meter)
  • Kadar Daki: 305 meter/saat
Enjin
  • Jenis: 2 × Snecma M88-2 turbofan
  • Thrust: 50 kN (tanpa afterburner) / 75 kN (dengan afterburner) setiap satu
Persenjataan
  • Meriam: 1 × meriam GIAT 30 mm (125 butir peluru)
  • Stesen Senjata: 14 (Rafale B/C) / 13 (Rafale M)
  • Roket/Peluru Berpandu:
    • Udara-ke-Udara: MICA IR/EM, Meteor
    • Udara-ke-Darat: AASM Hammer, SCALP EG
    • Anti-Kapal: Exocet AM39 Block 2, ASMP-A (nuklear)
  • Bom Pintar: Laser-Guided Bombs (LGB), Paveway II/III, AASM
Rafale M (Marine)
Sistem Avionik
  • Radar: Thales RBE2 AESA (Active Electronically Scanned Array)
  • Sistem EW: Thales SPECTRA (perlindungan elektronik)
  • Sistem Sasaran: Damocles / Talios targeting pod
  • Helmet Display: Sistem paparan helmet generasi terkini
Kemampuan Operasi
  • Multirole: Mampu menjalankan misi udara-ke-udara, udara-ke-darat, peninjauan, pengeboman strategik, dan serangan maritim
  • Pengisian Bahan Api Udara ke Udara: Boleh diisi bahan api di udara menggunakan probe
Pesawat pejuang Rafale direka untuk menjadi pesawat tempur yang fleksibel, mampu melaksanakan pelbagai misi dalam satu penerbangan, sekaligus menjadikannya aset penting dalam pertahanan udara negara. — DSA
Dassault AviationIndonesiaPekanbaruPerancisPontianakRafaleTNI-AU
Comments (0)
Add Comment